Sunday, 19 June 2016

BAB 8 JODOH DARI HATI

BAB 8

MALAM ITU,  Faiz bertemu dengan Khaleef di warung seperti yang dijanjikan mereka. Sebelum keluar tadi, sempat Faiz singgah di rumah Mak Su nya. Melihat keadaan Mak Su nya menghantar rasa sebak dalam hati.

Tabahnya Mak Su membesarkan anak-anak sendiri. Dan tegar sungguh Pak Su nya meninggalkan anak sendiri kerana perempuan lain. Ahh, apabila cinta itu dipandu mengikut nafsu, akal manusia takkan mampu berfikir waras lagi.

‘Faiz takkan biarkan nasib Mak Su selama begini. Faiz akan cuba bantu semampu Faiz.’ Itu monolog kata hatinya.

Dalam diam Faiz memasang tekad yang tinggi. Khaleef harus disedarkan. Anak muda itu harus dipimpin untuk terus ke hadapan.

            “Khaleef, aku rasa better kau sambung semula belajar. Khadeeja pun dah nak habis belajar kan?” Tiba-tiba usul itu yang dikemukakan Faiz sebaik sahaja minuman dan makanan mereka tiba.

            Hampir tersedak air yang baru saja menuruni kerongkong Khaleef. Dia sambung belajar? Untuk apa? Nak sara adik-adiknya yang empat orang itu pun dia tak mampu. Kalau dia sambung belajar bagaimana pula nasib adik-adiknya?

            “Sambung belajar? Untuk apa? Siapa nak sara adik aku nanti? Aku bukan pandai sangat Faiz.” soal Khaleef bertalu-talu. Gelas minuman diletakkan semula di atas meja. Tak jadi minum dah. Hilang terus selera dengan cadangan Faiz tadi.

            “Em, kau jangan salah faham Khaleef. Tentang adik-adik kau dan perbelanjaan belajar tu kau jangan risau. Insya-Allah ada jalannya.” Faiz cuba menerangkan satu-satu. Takut bicaranya salah tafsir oleh Khaleef pula.

            “Tak mudah macam yang kau fikir Faiz. Tanggungjawab aku besar sangat. Adik-adik aku semua tengah belajar lagi.” Luah Khaleef jujur. Bukan dia tak minat langsung untuk belajar tapi keadaan seolah-olah tak mengizinkan dia untuk meneruskan pengajiannya.

“Takpe Khaleef, bukan sekarang aku suruh kau sambung belajar. Lepas Khadeeja habis ni slow-slow. Bukhari pun tengah SPM kan. Lagipun bukan suruh kau ambil diploma yang tiga tahun tu Leef. Peluang belajar ni banyak. Kau boleh try ambil sijil kemahiran dulu.” Terang Faiz lagi. Minuman di atas meja mula dicapai. Nak menerangkan dengan Khaleef ini perlukan kesabaran yang tinggi. Tak perlu tergopoh-gopoh.

                        “Em. Entahlah Faiz. Aku tak pernah terfikir nak sambung belajar lagi. Kau sendiri tahu kan, keputusan SPM aku taklah baik mana. Aku dah dapat kerja ni pun aku dah bersyukur Faiz. Paling tak, ada duit untuk bantu mak dan adik-adik.” Luah Khaleef jujur. Akalnya bagai tak mampu pula menerima cadangan Faiz.

                        Sudah hampir lima tahun dia bekerja, sudah terbiasa memegang duit sendiri. Dan sekarang nak disuruh sambung belajar, tak ke pelik sangat tu? Bagi Khaleef asalkan adik-adik dan maknya cukup makan pakai, itu sudah membahagiakan. Dia tak minta pun hidup mewah. Asalkan mak dan adik-adiknya ada di sisi dia itu sudah bahagia.

                        “Khaleef, kita lelaki. Satu hari nanti kau pasti punya keluarga sendiri. Aku nak kau terbang lebih tinggi Khaleef, gapai impian kau sendiri. Aku tahu kau boleh.” Ujar Faiz, bahu Khaleef ditepuk perlahan. Khaleef menarik nafas panjang, cuba menghadam kata-kata Faiz. Ya, dia mulai setuju dengan kata-kata Faiz. Dia lelaki, tipu kalau dia tak mahu punya keluarga sendiri. Tipu kalau dia tak mahu punyai isteri.

                        “Fikir betul-betul Khaleef, bukan aku nak kata kerja kau sekarang tak bagus. Tapi, kenapa kalau kau boleh terbang lebih tinggi dan kau sendiri tak mahu gunakan ‘sayap’ yang kau ada untuk capai impian kau.” Nasihat Faiz lagi.

                        Bukan niat Faiz mahu memandang rendah pekerjaan Khaleef sekarang. Bukan niatnya begitu. Tapi dia tahu dan yakin Khaleef boleh terbang lebih tinggi lagi. Anak muda itu mampu mengorak langkah ke depan lagi. Dia sayangkan Khaleef dan atas dasar itu dia menasihati. 

Bekerja sebagai tukang cuci bukan tiket untuk Faiz memandang rendah terhadap Khaleef. Bukan. Faiz tahu apa saja pekerjaan selagi ianya diniatkan untuk mencari redha Allah itu lebih baik. Walaupun Cuma tukang bancuh air tapi jika diniatkan untuk mencari redha-Nya, itu lebih mulia!

                        Tapi Faiz juga yakin, nasib seseorang itu takkan berubah selagi dia sendiri tak megubah nasib dirinya. Hidup ini, biarlah berimpian setinggi langit. Paling tidak, jika kita jatuh, kita akan jatuh di antara bintang-bintang.

                        “Em, tengoklah dulu Faiz. Bagi aku fikir dulu. Tak mudah untuk aku Faiz.” Balas Khaleef perlahan. Ya tak mudah untuknya membuat keputusan sebegini.

                        “Ok Khaleef, kau fikir dulu. Lagipun aku suruh ambil sijil kemahiran je dulu. Kalau kau kuat, sambil belajar boleh kerja sambilan. Lagipun sijil kemahiran ni tak lama Khaleef, setahun lebih je.” Faiz menasihati lagi Khaleef. Tanpa jemu dia cuba menghulurkan semangat buat sepupunya itu.

                        Faiz tahu Khaleef sangat memerlukan seseorang untuk menasihatinya dan Faiz tahu itu tanggungjawabnya sebagai sepupu. Khaleef bukanlah teruk sangat, cuma pemuda itu sedikit tersasar tingkahnya. Mungkin kerana nasib keluarga yang membuatkan dia jadi begitu.

                        “Insya-Allah Faiz, nanti aku fikir semula.” Ujar Khaleef, akalnya mula menerima cadangan Faiz.

Ya tak salah untuk dia memikirkan semula cadangan Faiz. Dia tahu niat Faiz baik. Dan banyak benarnya kata-kata Faiz. Dia yang harus mengubah nasibnya sendiri. Dan tak salah kan jika dia mencuba? Kata orang biar kalah selepas berusaha, dari menyerah sebelum mencuba.

            “Ok good. Dah jom makan. Sejuk dah makanan kita.” Ajak Faiz, sudu dan garpu mula dicapai dan dengan lafaz bismillah laju saja nasi goreng kampung itu menjamah tekaknya.

USAI menghantar Khaleef malam itu, Faiz terus pulang ke rumah. Selesai satu amanahnya. Rasa makin lapang dadanya kini. Apa yang patut diluah, telah diluahkan. Moga Allah beri Khaleef jalan keluar.

            Faiz mula mendaki anak tangga satu persatu, rumahnya sudah gelap menandakan umi dan babahnya sudah lena diulit mimpi. Maklum saja esok umi dan babahnya kerja. Dan memang sudah menjadi kebiasaan bagi umi dan babahnya untuk tidur awal dan bangun awal untuk esok hari. Jam di dinding rumah sudah menunjukkan satu pagi.

            Faiz menolak perlahan pintu biliknya. Sunyi malam bagai mencampakkan rasa tenang yang luar biasa. Perlahan langkah diatur menuju ke bilik air dan membersihkan diri. Lepas ini, ada satu lagi masalah yang harus diselesaikan. Tentang gadis itu.

            Seminggu dia cuba melupakan gadis itu, tapi tak berjaya. Gadis itu, gadis biasa tapi personanya luar biasa. Malam ini, dia harus cari solusi, dia harus menanyakan hati sendiri. Sama ada, kehadiran gadis itu hanya sebagai ujian hati atau untuk menjadi suri dirinya sendiri.

            Faiz mula mengambil wuduk, kesejukan air dingin hari tak langsung menggugat keinginannya untuk mencari petunjuk dari Dia. Dia tak mahu rasa ini hanya saja-saja, rasa untuk menolaknya ke lembah binasa.

            Usai mengambil wuduk, sejadah dihamparkan. Hati dan jiwa mula difokuskan untuk menghadap Dia yang satu. Dia serahkan seluruh hidup dan matinya dalam pengawasan Dia. Dalam jagaan Dia kerana tiada jagaan yang lebih selamat melainkan dalam jagaan Allah.

            Setiap sujud, lamanya dahinya menyentuh tikar sejadah. Terlalu lama, dia mengadu hanya pada Dia. Segala keinginan, masalah diluahkan terus pada Dia. Tanpa malu, air mata hamba itu mengalir laju. Faiz tahu dia hamba yang kerdil.

            Usai dua rakaat solatnya, salam diberi. Menyudahkan penyerahan jiwa pada Yang Maha Esa. Lama dia mengalun istighfar dalam hati. Cuba diselami maksud satu persatu kalimah itu. kalimah ‘ajaib’ yang mampu menyembuhkan kedukaan, yang mampu menyelesaikan masalah dan mampu memberi rezeki dari arah yang tak disangka. Dia cuba menyelami kalimah itu, memaknakan terus dalam hati.

            Lama Faiz berteleku dan bermuhasabah. Betapa lemahnya dia. Diasak dengan ujian dunia sahaja kadang-kala membuatkannya lemah. Dan kini, diuji pula dengan ujian hati dan wanita, Faiz jadi takut sendiri. Dia tak mahu, rasa untuk memilik gadis itu hanya mainan hati.

            Tangan ditadah, memohon petunjuk dari Dia.

            “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk-Mu menurut pengetahuan-Mu, dan aku memohon ketetapan dengan kekuasaan-Mu dan aku memohon dari kelebihan-Mu Yang Maha Agung kerana sesungguhnya Engkaulah yang berkuasa dan aku tidak berkuasa dan Engkau lah mengetahui dan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Tuhan Yang Maha Mengetahui perkara-perkara ghaib.

            Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa Suri Irdina baik untuk diriku, keturunanku, dunia mahupun urusan akhiratku, maka tentukanlah dia untukku. Permudahkanlah dan berkatilah urusan jodoh ini. Dan jika Engkau mengetahui bahawa Suri Irdina bukanlah yang terbaik untuk diriku, keturunanku, agamaku, dunia dan akhiratku. Maka jauhkanlah aku darinya. Dan ajarkanlah aku erti redha dan berlapang dada.” Itu antara bait-bait doa Faiz pada malam itu. sungguh dia menyerahkan segalanya pada Dia.

            Rasa hati bukan dipandu mengikut nafsu tapi dipandu mengikut iman. Bukan mudah untuk memilih teman hidup. Isteri, dia sayap perjuangan buat seorang suami. Dan malam itu, Faiz melepaskan segala rasa hati hanya pada Dia.

            Lama dia berteleku memuhasabah dan memohon hajatnya. Mengakui dia hanya hamba. Harus tunduk pada kekuasaan Dia. Malam yang sepi lagi menambah rasa kehambaan diri.

“Sesungguhnya solat dan ibadah malam lebih kuat kesannya kepada jiwa...”

 ~Al-Muzammil:6~

1 comment: