Friday, 30 August 2013

Penghijrahan Cinta 22


BAB 22

            Tepat jam empat pagi itu Humaira terjaga dari tidur. Angin pagi yang menerobos masuk ke dalam bilik melalui tingkap yang tidak ditutup menyegarkan lagi matanya. Sejuknya meresap sehingga ke tulang!

            Humaira mengerling ke sisi, mencari seraut wajah yang dicintai. Memang sudah menjadi kebiasaannya menatap wajah Wafiq setiap pagi. Mencari sedikit semangat dengan menatap wajah tenang itu.

            Dahi Humaira berkerut apabila ruang di sebelahnya kosong. Pelik! Dia bingkas bangun dan mengikat rambutnya yang sedikit tidak terurus.

            “Dah bangun ke?” soal Humaira sendiri. Biasanya dia yang terjaga awal.

            Humaira melangkah keluar dari bilik, mencari kelibat Wafiq. Dia jadi hairan sendiri, Wafiq jarang terjaga seawal pagi. Dari ruang tamu, dia menjengah ke bilik kerja apabila terperasankan lampu bilik itu masih terpasang.

            Humaira menguak sedikit pintu bilik kerja dan dia melangkah masuk ke dalam. Kepalanya digeleng berkali-kali apabila terperasankan Wafiq yang sudah terlentok di atas meja kerja.

            “Astaghfirullah. Kat sini rupanya.” Gumam Humaira.

            “Abang, bangun. Kenapa tidur kat sini?” tanya Humaira hairan. Keningnya sudah terjongket tinggi.

            Badan Wafiq gerak sedikit apabila dikejut Humaira.

            “Emm..” dalam mamai Wafiq mengangkat muka. Tengkuknya diurut sedikit, lenguh apabila tertidur di meja kerja.

            “Kenapa tidur kat sini?” soal Humaira lagi, tak pernah-pernah lagi Wafiq terlena di meja kerja. Tak ke pelik tu?

            Wafiq garu kepala yang tak gatal. Akhirnya dia terlena juga setelah menyimpan diari Humaira semalam. Pukul berapa dia terlelap, dia sendiri tak sedar.

            “Emm, abang masuk bilik dulu.” Wafiq membalas ringkas. Langkahnya agak tidak teratur, kantuknya masih menguasai diri.

            Humaira hanya memandang langkah Wafiq. Dia mengoyak senyuman terpaksa. Kepala yang tidak gatal digaru beberapa kali. Haih peliknya dengan Wafiq Rizqi ni!

            Tiba di depan pintu kamar mereka, langkah Wafiq terhenti. Mindanya mula merencana asbab dia tertidur di bilik kerja. Ya, kerana diari itu! Dia merengus kasar. Dalam keadaan terpaksa diatur juga langkah menuju ke katil. Rambutnya diramas kasar sebelum dia merebahkan kepala di bantal.

            Sungguh, kepalanya sedang serabut tika ini. Matanya merenung kosong siling bilik. Apabila kelibat Humaira menghampiri bilik, cepat-cepat dipejamnya mata rapat-rapat. Berpura-pura tidur sedangkan otaknya mula giat mencari jawapan kepada persoalan sendiri.

            Humaira tenang melangkah masuk ke dalam bilik, dilihatnya tubuh Wafiq yang sedang keletihan berbaring di atas katil. Humaira tersenyum memandang seraut wajah yang mula bertakhta di hatinya. Pantasnya masa berlalu, sudah tiga bulan usia perkahwinan mereka.

Dalam tempoh tiga bulan ini macam-macam yang telah berlaku. Wafiq akan tamat praktikalnya tidak lama lagi dan dia juga akan menamatkan semester keempatnya tidak lama lagi. Sungguh masa yag berlalu dirasakan sangat pantas, tambahan pula tugasnya sebagai seorang pelajar dan isteri membuatkan diri sering kesuntukan masa.

Syuhada juga sudah mengikat tali pertunangan dengan pilihan umminya. Akhirnya gadis itu akur dengan pilihan ummi tersayang. Insya-Allah tak lama lagi Syuhada bakal mengikut jejak langkahnya mendirikan rumah tangga. Tapi saat berlangsungnya pertunangan Syuhada, Humaira tidak dapat hadir kerana majlis tersebut dilangsungkan di kampung ummi Syuhada di Kelantan. Walaupun berasa sedikit terkilan namun Humaira turut gembira dengan pertunangan sahabatnya itu.

Humaira melangkah ke arah katil, mahu mengejutkan Wafiq untuk bertahajjud bersama. Masa-masa sunyi seperti inilah masa terbaik untuk mereka berdating dengan Pencipta sendiri. Kalau seharian berpenat lelah dengan urusan dunia, sekarang adalah masa terbaik untuk urusan akhirat pula.

“Abang..” Kejut Humaira perlahan. Dia mengusap perlahan bahu Wafiq.

“Emm.” Wafiq membalas ringkas. Saat mindanya mula melupakan masalah yang timbul dan ingin terlena ada pula tangan yang mengerakkannya.

“Nak bangun tak?” perlahan suara Humaira bertanya.

“Em, kejut abang pukul enamlah.” Wafiq memutuskan. Matanya semakin memberat kerana kekurangan tidur. Kepalanya juga sudah menunjukkan symptom migrain. Pantang dirinya kalau kurang tidur, mulalah migraine menyerang.

“Okay.” Humaira sedikit kecewa. Lamanya tak bertahajjud dengan suami dalam keheningan pagi. Lamanya dia tak mendengar doa kudus dari Waqfiq saat fajar subuh belum bermula.

Dengan langkah longlai diatur juga langkahnya mengambil telekung yang elok tersidai. Dia mula memakai telekung berwarna putih itu, laju kakinya melangkah ke arah meja solek.

“Beginilah wajahku ketika dikafankan, bezanya sekarang aku mampu tersenyum.” Muhasabah hati Humaira sendiri, dia mengoyak senyuman hambar. Sehambar hatinya yang kecewa dengan tingkah Wafiq sebentar tadi. Tapi dia akan berusaha menjadi isteri yang memahami, dia tahu Wafiq penat semalaman menyiapkan practical reportnya.

Diambilnya pula sejadah dan dihamparkan mengadap kiblat.

            ‘Ya Rabb, hamba dating pada-Mu,’ bisik hatinya syahdu. Dia mula mengangkat takbir menuju Dia yang satu.

            Usai solat sunatnya, Humaira melangkah ke meja belajar. Mahu menyelesaikan sedikit assignment dan tutorialnya. Bagi Humaira suasana pagi yang tenang memudahkan dan menambahkan lagi semangatnya untuk belajar. Dia harus buktikan walaupun bergelar isteri ketika belajar namun itu bukanlah halangan untuknya mencapai kejayaan. Fighting!

Setengah jam berlalu Humaira masih focus mengadap tugasannya. Alarm dari jam loceng di atas meja belajar dimatikan. Sudah pukul lima pagi. Dia meluruskan otot-otot yang mula keletihan. Dikerlingnya pula Wafiq yang sedang lena di katil. Nampak penat sungguh wajah lelaki itu. Dalam hatinya tertanya sendirian, pukul berapa agaknya lelaki itu tertidur? Pasti tidak selesa kerana tertidur di meja kerja.

Humaira menyambung kembali fokusnya yang lari. Dia terus khusyuk mengadap assignment dan tutorialnya sehinggalah azan subuh berkumandang mengejutkan manusia dari lena. Sayup-sayup suara memuji kebesaran Ilahi pada keningan pagi.

Tengah hari itu Wafiq masih di pejabat sedangkan kawan-kawannya yang lain sudah mengisi perut masing-masing. Seleranya seakan lumpuh tengah hari itu. Dia hanya duduk termenung di meja kerjanya. Hanya tinggal seminggu lagi sebelum dia tamat latihan praktikalnya. Selepas itu dia bebas!

            Dibukanya laci kerja lalu diambilnya lagi diari lama itu. Sebelum ke pejabat pagi tadi sempat pula dia memasukkan diari tersebut ke dalam briefcase miliknya. Ada rahsia yang harus dibongkar dan kuncinya hanya ada pada diari tersebut.

            Dia menarik nafas panjang, mencari sedikit kekuatan untuk membaca diari tersebut. Hati yang sedikit sakit dipujuknya. Dia jadi keliru dengan rasa hatinya selepas membaca diari itu. Ada rasa cemburu dan marah dengan kenangan silam Humaira. Dia buntu! Hari ini buat pertama kalinya dia tidak menjamah sarapan yang disediakan Humaira, bukan itu saja solat subuh mereka juga tidak berjemaah pagi ini. Lain dari kebiasaannya. Bukan dia tak perasan wajah mendung dan air mata di wajah isterinya tapi entah tiba-tiba hatinya menjadi sekeras kerikil. Saat ini hatinya pada isteri kosong. Sekosong kanvas yang belum dilakarkan.

10 Dec 2007
Hari ini S menelefonku, suaranya sarat dengan rasa rindu dan cinta. Melalui suaranya aku tahu dia memang menyintaiku. Katanya dia sudah berada di kampung dan sedang mencari kerja sementara menunggu keputusan SPMnya keluar tahun hadapan. Katanya lagi dia mahu kami berjumpa minggu hadapan. Melalui perbualan kami di talian S meluahkan perasaan rindunya. Sungguh S memang bijak menyusun bicara membuatkan aku semakin jatuh cinta! Dan sememangnya diri ini tersangat bertuah kerana mendapat cinta lelaki yang hebat seperti S. Tak sabarnya menanti pertemuan kami seterusnya dan sudah pasti mulai hari ini aku akan terus menghitung pertemuan nanti.

Wafiq melemparkan senyum sinis. Melalui suara saja sudah tahu lelaki itu mencintai dirinya? Ahh cinta monyet, semuanya indah belaka!

Wafiq menyelak lagi helaian seterusnya. Dirinya tertanya sendiri. ‘Hebat sangatkah bekas kekasih Humaira?’

18 Dec 2007
Aku dan dia keluar bersama hari ini. Menatap wajahnya meleraikan rindu yang semakin bermukim di hati. Sukarnya percintaan jarak jauh. Kami ke taman dahulu, bertukar cerita setelah lama tak bersua. Mula-mulanya aku agak malu namun S bijak saja membuatkanku selesa. Katanya dia mahu kami kerap bertemu dan mujurlah jarak Batu Pahat dan rumahnya tidak terlalu jauh. Kami menghabiskan masa bersama, menyulam impian masa depan bersama. Dan sudah pasti pertemuan ini berjaya meleraikan rasa rindu yang menyesakkan dada.

Wafiq melemparkan senyuman hambar, kata-kata romantis Humaira yang terlakar di diari membuatkan dadanya sesak sendiri. Kenapa Humaira jarang sekali menuturkan bicara seperti itu dengannya? Adakah Humaira mencintai S melebihi dirinya? Soal hatinya sendirian.

Dia menyelak lagi helaian seterusnya, keadaan pejabat yang sunyi membuatkan semangat ingin tahu terhadap kisah silam isterinya semakin berkobar. Helaian kali ini agak lain, dakwat pennya seolah telah comot dibasahi air. Hati Wafiq semakin tertanya dan dia kembali meneruskan bacaannya.

25 Dec 2007
Saat aku menulis diari ini hatiku hancur, sehancurnya. Hanya enam bulan percintaan kami dan S telah berjaya memperbodohkan aku. Sedihnya rasa hati hanya Dia yang tahu! Dan aku akan ingat kenangan ini selamanya! Inikah balasan kerana menderhaka kata ibu dan abah? Abah, maafkan Mia! Aku tak kuat untuk mencoret nukilan seterusnya!

            Rasa ingin tahu semakin membukit di dada dan Wafiq pasti dakwat comot pada diairi tersebut kerana kesan air mata Humaira. Humaira menangis sambil menulis, dia pasti itu! Saat rasa ingin tahu semakin membara dalam dirinya, ada pula suara yang menengurnya.

            “Tak keluar rehat bro?” Tanya Asyraf merangkap teman sekerjanya.

            Wafiq terkedu, lidahnya seakan kelu untuk menjawab soalan semudah itu. Saat hatinya teruja untuk meneruskan bacaan, dia disapa pula dengan soalan sebegitu, mahu tak terkedu!

            “Err..” sungguh lidahnya kelu menjawab soalan. Bagaikan pesalah yang sedang tertangkap ketika melakukan kesalahan.

            “Yang kau macam nampak hantu ni kenapa?” Tanya Asyraf pelik. Hairan. Pucatnya wajah Wafiq saat ini, kalau ditoreh pasti tak berdarah!

            “Hah??” soal Wafiq terpinga-pinga. Mindanya mula berfungsi saat ini.

            “Kenapa kau tak lunch hari ni?” Asyraf ulang semula soalannya sebentar tadi. Aihh Wafiq, jauhnyaa kau mengelamun!

            “Ohh tak. Tak lapar.” Wafiq tayang sengih, sedar kesilapan diri yang sudah jauh mengelamun. Tangannya laju memasukkan kembali diari Humaira ke dalam laci. Tertangguh lagi niatnya macam membaca diari tersebut.

            Asyraf mengukir senyuman. Selalunya Wafiq yang akan bersemangat bila lunch time mereka tapi hari ini?

            “Pelik betullah kau hari ni, ada masalah ke?” soal Asyraf prihatin.

            “Er, takdelah bro. Jom solat.” Dalih Wafiq, diajaknya pula Asyraf untuk solat Zuhur bersama.

            Asyraf hanya mengikut langkah Wafiq tapi mindanya mula mengerah jawapan sikap Wafiq hari ini dan dia tahu Wafiq punya masalahnya sendiri. Dia pasti! Mungkin Wafiq memerlukan ruangnya sendiri.

P/s: 3 chapters to go :) kat blog nisa akan letak sampai bab 25 saja :)

And nisa akan letak scene Aisy al Hafiz dan Husna Humaira dalam bab last nanti (bab 25) insya-Allah :D

1 comment:

  1. Huhuhuhuhu... Nk bce smpai abes... Xsbar nk thu ape yg akn jd lpas nie...

    ReplyDelete