Sunday 4 December 2016

PROLOG PELANGI BUAT WARDAH

 

Ada orang apabila diuji,
Dia semakin dekat dengan Ilahi,
Ada orang apabila diuji,
Dia semakin menjauh dari Pencipta sendiri.


TANAH kubur yang masih merah itu disentuh perlahan. Air mata yang membasahi pipi hanya dibiarkan saja mengalir. Dia sudah tak mampu untuk menyeka air matanya sendiri. Tangan yang kotor apabila menyentuh tanah yang basah akibat hujan renyai malam tadi sedikit pun tak dipedulikannya. Jiwanya seolah-olah sudah mati. Pergi bersama si dia yang berada di dalam sana. Di dalam tanah yang  sedang disentuh kini.

            “Abang..” Perlahan nada suaranya. Sebak. Pedih. Terasa seolah-olah dia ikut sama pergi dan yang tinggal hanya jasadnya. Jiwanya memang sudah mati.

            Dipandangnya sekeliling, ada seorang lelaki sedang mendukung anak kecil. Memujuk anak kecil yang sedang menangis itu. Bagaikan mengerti yang dia tak akan lagi berjumpa dengan ayahnya. Dia sendiri tak kuat untuk terus memujuk anak itu. Dia sendiri rapuh. Dia sendiri sudah jatuh menyembah bumi dengan ujian Allah kali ini. Dibiarkan orang lain yang memujuk anak itu. Sungguh dia tak kuat!

            “Abang..” Bisiknya sayu. Wajah manis suaminya yang tersenyum masih lagi terbayang di matanya. Wajah yang rajin mengusiknya. Wajah yang tenang memujuk rajuknya. Sungguh baru sehari berpisah dia sudah mahu gila!

            “Macam mana sayang nak hidup tanpa abang? Abang.. kenapa abang tinggalkan sayang??” Bisiknya perlahan. Sungguh dia tak bersedia dengan kehilangan ini. Dia tak kuat untuk semua yang berlaku.

            “Abang. Kenapa tinggalkan sayang. Abang.. Macam mana sayang nak besarkan anak kita seorang diri. Abang dah janji...” Ayatnya tergantung di situ. Dia sebak. Gagal menahan tangisannya apabila terkenangkan anaknya akan membesar tanpa ayah di sisi. Sungguh dia takut untuk membayangkan masa depannya. Dia takut!

            “Dik. Jom balik.” Bahunya ditepuk perlahan. Menyedarkan dia dari terus meratap di hadapan pusara suaminya.

            “Lima minit lagi.” Pintanya, meminta sedikit lagi masa untuk dia terus berbual dengan suaminya.

Dia tak akan pernah puas untuk berbicara dengan suaminya walaupun yang ada di hadapannya cuma tanah kubur yang tak bernyawa. Dia tahu suaminya mendengar luahan hatinya. Dia tahu.

“Abang, sayang nak balik. Esok sayang datang lagi.” Bisiknya perlahan. Tiga tahun perkahwinan dia dan suaminya sedikit pun tak pernah membuatkan dia derita. Lelaki itu, sangat sempurna sebagai suami dan papa kepada anaknya.

“Ma.. Papa tak balik rumah kita lagi? Papa tidur sini ke ma?” Dalam pelat anak itu menyoal. Anak kecil yang masih belum mengerti hakikat yang papanya tak akan kembali lagi.

“Papa balik kan ma. Pa balik kan ma. Nak pa, nak pa..” Tangisan anak itu menambah lagi sedih di hatinya. Lecun sudah pipinya dengan air mata. Hidung dan mukanya terasa panas. Lantas diambil anak itu dan dipeluk erat.

‘Papa tak akan balik lagi sayang.’ Dalam hati dia menuturkan ayat itu. Pedih hatinya meskipun ayat itu keluar dari bibirnya sendiri. Sakit. Sakit dengan hakikat kehidupannya yang sebenar.

Pelukan dilepaskan. Tudung anak kecil itu dibetulkan. Air mata di pipi anak itu diusap penuh kasih. Anak itu, anak yang terlalu manja dengan papanya. Bagaimana anak itu mampu membesar tanpa papanya di sisi? Baru sehari berpisah, sudah berpuluh kali soalan tentang papa disoal.

“Sayang. Nanti kita jumpa papa. Nanti... nanti.. kita jumpa.” Bisiknya terputus-putus. Tangisannya sudah pecah. Dia tak mampu menipu diri sendiri. Melihat anak itu, hatinya pilu. Sedih mengenangkan yang anak itu akan membesar tanpa papanya.

“Kenapa mama nangis? Nanti papa marah Nina sebab buat mama nangis.” Anak itu mengelap air matanya pula. Anak itu semakin bijak. Cuba memujuk dirinya pula.

“Tak sayang. Mama tak menangis. Mama kuat. Sayang pun kena kuat.” Dia mengelap air matanya sendiri dan sekali lagi dia memeluk anaknya. Seakan tak mahu melepaskan anak itu.

Hanya puterinya yang tinggal sebagai hartanya yang paling berharga. Amanah yang ditinggalkan oleh suaminya untuk dijaga. Hanya anak itu yang tinggal bukti kasih sayang dia dan suami.

“Abang.. sayang balik dulu.” Perlahan dia bangun sambil mendukung puterinya. Berat kakinya mahu melangkah pulang. Tapi dia harus kuat. Paling tidak, untuk anak yang sedang berada di dalam pelukannya sekarang.

“Pa, Nina balik dulu. Bye pa. Nanti pa balik tau pa. Jangan tidur lama sangat. Nina rindu pa.” Anak kecil itu sudah menjerit. Dia masih belum mengerti hakikat yang papanya tak akan kembali lagi.


Makin laju air matanya yang mengalir di pipinya saat mendengarkan kata-kata naif puterinya. Apalah yang puterinya faham tentang hakikat hidup? Duhai bidadari kecil mama, kita kena kuat sayang...

Wednesday 22 June 2016

BAB 10 JODOH DARI HATI

“Betapa banyak amalan yang kecil menjadi besar kerana sebab niat. Dan betapa banyak amalan yang besar menjadi kecil kerana sebab niat.”
~Ibnu Mubarak~

HUJUNG MINGGU ITU, seperti yang dijanjikan Faiz, dia berkunjung ke rumah Puan Suraya. Ada niat dan hajat yang ingin disampaikan. Ada langkah yang harus diarah ke hadapan. Dalam hatinya, tak putus doa dikirimkan.

Faiz yakin niat yang baik pasti Allah permudahkan. Niatnya untuk bertaaruf dengan Irdina hanya satu. Dia mahu jadikan Irdina sebagai yang halal untuknya. Dia mahu melengkapkan separuh dari agamanya. Tapi seteliti manapun perancangan dia, Faiz tahu perancangan-Nya lebih baik. Usaha ini hanya sebagai langkah awal sahaja. Selebihnya dia bertawakal kepada Allah.

            Toyota Camry berwarna putih itu diparkir di luar kawasan rumah dua tingkat itu. Faiz memerhati rumah itu, kalau seperti location yang diberi oleh Puan Suraya melalui applikasi Whatsapp memang benarlah ini rumahnya.

            Dari dalam kereta, rumah dua tingkat yang berwarna hijau itu diperhati lama, melihat halaman rumah yang cantik dihias, Faiz yakin penghuninya sangat sukakan kedamaian. Cantik halaman rumah itu dihias dengan pelbagai bunga dan pokok. Ada gazebo dan buaian berwarna putih di luar rumah. Air terjun buatan manusia itu juga nampak cantik terletak di tengah laman itu. Nature dan nampak tenang.

            Enjin kereta dimatikan dan dia melangkah keluar. Dia berdiri lama di luar rumah dan lantas tangannya menekan loceng di tepi pintu masuk itu. Salam diberi. Tapi debar di hati seakan tidak menentu pula. Debar untuk melihat gadis itu.

            Puan Suraya menjenguk ke tingkap apabila terdengar loceng rumah dibunyikan. Rasanya dia tahu siapa yang berkunjung ke rumahnya hari minggu itu. Pasti Faiz. Anak muda itu sudah memberitahunya dari awal lagi dan dia sendiri sudah menyiapkan beberapa juadah istimewa untuk menyambut kedatangan anak muda itu.

            Tepat tekaan Puan Suraya, kelihatan Faiz sedang berdiri di luar pagar rumahnya. Tampak kemas anak muda itu dengan t-shirt polonya. Nampak lebih santai. Ahh, pasti saja anak muda itu menitikberatkan penampilan diri, kerjayanya saja sudah seorang doktor!

            Pantas Puan Suraya membuka pintu, dia memang sudah bersiap dari tadi. Dia memakai jubah berwarna ungu dan bertudung senada dengan jubahnya. Irdina pun sudah diingatkan dengan kedatangan Faiz. Entah apa yang dibuat anak itu di tingkat atas pun Puan Suraya tak tahu! Tadi ada saja anak itu menolongnya di dapur, tapi tiba-tiba hilang pula! Anak itu memang pelbagai kerenahnya.

            “Hah, Faiz. Masuklah, senang tak cari rumah mak cik?” Sambut Puan Suraya ramah. Dia menghadiahkan senyuman buat anak muda itu. Langkah diatur ke arah pintu pagar dan dibuka kuncinya.

            “Alhamdulillah, senang juga mak cik. Guna waze je.” Balas Faiz sambil tergelak kecil. Zaman sekarang zaman teknologi. Teknologi yang memudahkan manusia. Tapi ada juga keburukan teknologi ni. Tapi keburukan dan kebaikan itu terpulang pada kita untuk menggunakannya.

            Zaman sekarang zaman manusia sangat terikat dengan dunia gadget. Pergi ke mana pasti telefon bimbit tak lekang di tangan. Dengan pelbagai applikasi dan media sosial yang sangat terikat dengan manusia. Gadget itu memang memudahkan tapi jika tak diurus sebaiknya akan ada juga mudaratnya.

            Lihat sahaja berapa ramai ibu bapa yang terlampau leka dengan gadget sampai anak di depan mata diabaikan? Anak kecil yang seharusnya diberi perhatian dan kasih sayang terpaksa pula ‘bersaing’ dengan gadget untuk meraih perhatian ibu bapa.

            Itu belum masuk lagi, bab berapa ramai pasangan yang curang dengan menggunakan gadget dan media sosial. Pasangan di depan mata, tak dilayan sewajarnya. Dan media sosial hari ini yang sangat menakutkan. Silap manusia lain habis dicanangnya satu dunia. Katanya biar satu dunia tahu kesilapan orang itu. Dunia viral katanya!

            Bagi Faiz, media sosial ini ada baik dan buruknya. Boleh juga jadi sebagai penaut ukhuwah dan boleh jadi juga sebagai pemecah ukhuwah. Lihat saja berapa ramai yang meluahkan rasa tak puas hati kepada pasangan, keluarga, sahabat hatta jiran sekalipun di media sosial. Padahal boleh saja mereka berbincang face to face berbanding mengutuk dan memerli di media sosial. Ahh betapa kadangkala semakin maju teknologi, semakin mundur akhlak dan ketamadunan manusia! Nampak seperti semakin maju, hakikatnya semakin mundur!

            “Ha, jemput masuk Faiz.” Kedengaran suara Puan Suraya menjemputnya masuk sekaligus mematikan lamunan Faiz.

            “Terima kasih mak cik sudi terima kunjungan Faiz.” Balasnya sambil tersenyum. Mujurlah Puan Suraya ini jenis yang meraikan tetamu. Faiz pun hairan dengan dirinya, entah sebab apa yang membuatkannya nekad sebegini.

            “Sama-sama, tetamu kan datang bawa rezeki. Nanti free bolehlah datang lagi.” Ramah Puan Suraya melayan anak muda itu.

            Mereka masuk ke dalam rumah, Faiz menebarkan pandangannya mencari sosok tubuh si gadis. Manalah gadis tu ya? Nak ditanya segan.

            “Jemput duduk dulu ya Faiz, mak cik panggil Dina jap. Entah apalah yang dibuatnya kat atas.” Kata Puan Suraya. Pening kepalanya dengan telatah anak yang sorang ini. Jangan dibantainya tidur sudah budak ni!

            “Irdina, kamu buat apa ni? Doktor Faiz tu dah datang dah.” Bebel Puan Suraya sambil menolak pintu bilik anak gadisnya itu.

            “Tengah pakai tudung ni ibu. Kejap lagi Dina turun, hidang air.” Balas Irdina, tangannya laju melilit tudung.

            “Ok ibu tunggu kat bawah, jangan lama sangat. Kan ada tetamu tu.” Ujar Puan Suraya mengalah. Dia mula melangkah ke tingkat bawah.

            Irdina tersenyum di hadapan cermin. Puas hati dengan penampilannya dia turun ke tingkat bawah. Air untuk tetamu dia dah buat dah sebentar tadi cuma tinggal hidangkan saja. Dessert pun dah tersedia.

            Irdina turun perlahan-lahan. Rasa lain macam pula walaupun dia dah kenal pun Doktor Faiz tu. Entah apa yang membuatkan doktor muda itu rajin untuk berkunjung ke rumahnya Irdina sendiri tak tahu. Nak eratkan silaturrahim agaknya.

            “Assalamualaikum doktor.” Irdina memberi salam. Kelihatan sosok tubuh pemuda itu sedang membelakanginya. Rancak berborak dengan ibu nampaknya!

            “Eh waalaikumsalam awak. Sihat ke? Dah ok yang luka hari tu?” Soal Faiz, dilihatnya gadis itu manis bertudung pink hari ini.

            “Alhamdulillah, sihat je doktor. Luka sikit je hari tu. Tapi fobia tu ada sikit. Hehe.” Ujar Irdina. Dan di atas meja sudah elok air yang dibuatnya tadi dihidangkan oleh ibunya. Alamak, dia lambat lagilah ni!

            “Ohh alhamdulillah, fobia tu insya-Allah lama-lama hilanglah tu.” Balas Faiz.

            “Insya-Allah doktor, kejap ya doktor. Saya ke dapur kejap ya doktor.” Irdina meminta diri. Ada lagi juadah yang harus dihidangkan untuk tetamunya itu. Lagipun Irdina segan pula nak berbual dengan doktor muda itu. Bukan dia kenal sangat dengan Doktor Faiz tu. Kiranya ke dapur ni adalah cara untuk elakkan dari bersembang dengan doktor tu pun ya jugak, mengelat kata orang!

            “Macam tulah Si Irdina tu Faiz. Kami berdua je kat rumah ni. Irdina tu memang manja orangnya. Anak tunggal.” Puan Suraya mula membuka cerita. Sudah dipanggilnya Faiz sahaja, lebih mesra seperti yang dipinta oleh anak muda itu.

            “Oh mak cik tinggal berdua je dengan Dina ya.” Tanya Faiz inginkan kepastian.

            “Haah, mak cik dengan suami lama dah pisah. Irdina tulah kawan mak cik. Kawan gaduh, kawan bermanja, haa Irdina tulah.”

            “Ohh..” balas Faiz ringkas. Patutlah Irdina nampak manja. Rupanya anak tunggal.

            “Dia tu baru habis belajar, masa kena ragut tu nak pergi cari kerjalah tu. Hah, sekarang dah fobia pulak. Haha.” Tertawa kecil Puan Suraya apabila mengingatkan telatah anak yang sorang itu.

Entah mengapa laju pula mulutnya bercerita perihal Irdina kepada Faiz. Selalunya dia jarang bercerita perihal anaknya itu kepada orang luar. Mungkin dia mulai selesa dengan pemuda itu.

“Biasalah tu mak cik. Memang biasa akan fobia sikit untuk kes ragut ni. Ambil masa, nanti ok lah tu. Mak cik sebenarnya saya ada hajat.” Ujar Faiz berterus terang. Faiz rasa inilah masa terbaik untuk dia berterus terang. Kalau kata orang, masih terlalu awal untuk dia membuat keputusan, tapi baginya benda baik takde sebab untuk dilengahkan.

            “Hajat apa Faiz?” Soal Puan Suraya ingin tahu. Dari nada anak muda itu, dia tahu hal yang akan dibincangkan serius.

            “Em macam ni mak cik. Sebenarnya saya nak mintak izin dengan mak cik untuk berkenalan dengan Irdina. Jika sesuai, untuk dijadikan isteri.” Direct to the point! Faiz ini orangnya memang tak pandai berkias.

            “Ehem..” Tak terluah kata yang keluar dari mulut Puan Suraya.

            Dan Irdina yang sudah mampir ke ruang tamu terus mati langkahnya! Terkejut.

            “Saya datang minta dengan cara baik untuk kenal dengan Dina, mintak izin dulu dari mak cik. Kalau mak cik izinkan barulah saya berkenalan dengan Irdina mak cik.” Ujar Faiz lagi. Melihat reaksi spontan Puan Suraya, dia tahu wanita itu terkejut.

            “Emm, kalau setakat nak kenal tu insya-Allah. Mak cik ok je, selagi Faiz dan Irdina tahu batas, tahu syariat mak cik izinkan.” Putus Puan Suraya.

            Anak muda di hadapannya bukan calang-calang orang. Seorang pemuda yang berani pastinya! Tapi jauh di sudut hati Puan Suraya dia jadi tertanya sendiri, atas dasar apa pemuda itu menyukai anaknya? Sudah lamakah pemuda itu mengenali Irdina sehingga nekad sebegini sekali. Dan dari mana asal pemuda itu, siapa keluarganya, siapa orang tuanya. Ahh banyak sebenarnya persoalan yang masih berbaki untuk ditanya nanti.

            Tapi Puan Suraya yakin Faiz serius dengan kata-katanya untuk berkenalan dengan Irdina. Pemuda itu datang dengan cara terhormat. Meminta izin darinya untuk berkenalan dengan Irdina. Sudah pasti pemuda itu memuliakan dia sebagai orang tua Irdina. Tentang perihal anak muda itu, akan diselidiki kemudian!

            Mendengar jawapan dari mulut ibunya, Irdina jadi terkedu lagi. Apa?? Berkenalan dengan Faiz dan kalau sesuai dia kahwin dengan Faiz?? Ohh drama apakah ini? Pengsan!!


“Dan kahwinlah orang-orang yang masih membujang di antara kamu dan juga yang layak (berkahwin) daripada hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan kurniaan-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberiannya) lagi Maha Mengetahui.” ~An Nur: 32~

Monday 20 June 2016

BAB 9 JODOH DARI HATI

IRDINA masih lagi berselubung di dalam selimut. Sudah seminggu sejak peristiwa dia diragut hari itu. Dan sekarang dia masih lagi enak berselimut di atas katil. Rasa malas untuk mencari kerja sejak peristiwa itu. Rasa fobia pun ada!

            “Irdina, bangun. Haih bilalah kamu ni nak berubah Suri Irdina oii.” Bebel Puan Suraya sambil selamba dia menolak pintu bilik anaknya itu.

            Selimut yang masih menyelimuti anaknya itu ditarik, peha anaknya itu ditepuk kuat. Kepala digelengnya beberapa kali. Geram rasa melihat telatah anak yang seorang itu. Sudahlah Irdina itu saja harta dunia akhiratnya, begini pula perangainya!

            “Dina, bangun!” Naik seoktaf suara Puan Suraya.

            “Em..” Hanya itu yang keluar dari bibir Irdina, matanya masih terpejam rapat. Bagai digam!

            “Ya Allah budak ni, macam manalah rezeki nak masuk Dina oii. Kamu bangun je dah pukul berapa dah. Dah pukul sepuluh pagi! Pening kepala ibu dengan perangai kamu ni.” Puan Suraya membebel lagi.

Kali ini langkah diatur ke arah bilik air. Budak ni, kalau cakap je memang tak makan saman! Kena sekali dengan tindakan. Gayung bilik air diisi dengan air. Haa, siaplah budak ni!

Gedebush! Dan serentak dengan itu...

“Apaaaaa niiii ibuuuu.” Irdina menjerit. Lantas dia bangkit bangun.

“Hah, bangun pun! Dah pergi mandi. Ibu banyak kerja lagi kat bawah tu.” Puan Suraya angkat punggung. Puas rasa hatinya melihat wajah mencuka Irdina. Dah, itu saja caranya untuk kejut anak daranya yang seorang ini.

Kaki diatur semula ke bilik air dan diletakkan semula gayung ditempat asalnya. Sempat dijengah wajah Irdina yang masih masam mencuka dan dalam hati Puan Suraya ada tawa yang disimpan melihat wajah masam itu.

“Haa, jangan nak sambung semula tidur. Pergi mandi sana!”

“Nak tidur apanya ibu. Baju dah basah ni ha.” Makin panjang muncung anak gadis itu.

Puan Suraya hanya tersenyum sebelum beredar ke tingkat bawah. Teringat yang baju di dalam bakul masih belum disidai.

Irdina bangkit perlahan-lahan sambil membetulkan pinggangnya. Kantuknya masih bersisa. Tapi untuk menyambung tidurnya dengan baju basah ni, memang taklah! Langsir bilik dikuak besar. Matahari pagi mula menerobos masuk.

Irdina tersenyum melihat burung yang berpasangan yang hinggap di pohon di laman rumah. Indahnya kalau dia juga punya pasangan. Ahhh, berangan lagi! Bangun pun dah nak tengah hari! Lantas kepala diketuk beberapa kali.

‘Haih Suri Irdina, bila hang nak berubah ni oii!!!’ monolog hatinya memarahi diri sendiri.

Suri Irdina nama yang dipilih oleh ibu. Pasti ibu mahu dia jadi seindah namanya kan? Suri ringkasan nama yang diambil dari Permaisuri. Pasti ibunya mahu dia menjadi permaisuri buat ibunya. Yang selalu menenangkan, yang selalu menggembirakan. Irdina, maksudnya kehormatan kami. Sesuaikah nama itu dengan dirinya? Hati Irdina rasa sayu sendiri. Adakah ibunya sedih mempunyai anak seperti dia?

Lantas nafas ditarik panjang dan dihembus perlahan. Dia melangkah menuju ke bilik air. Mahu menyiapkan diri. Entah dia sendiri tak pasti, kenapalah susah sangat dia nak bangun pagi!

Usai bersiap ala kadar, Irdina turun ke tingkat bawah mencari sosok tubuh si ibu. Dia menjenguk dapur. Kosong. Lantas dilarikan kakinya menuju ke ruang hadapan rumah.

Ibunya itu seorang pegawai senior di bahagian jualan di sebuah syarikat perumahan. Dalam usia yang kian menginjak lima puluh tahun, Irdina kagum dengan ibunya. Seorang wanita yang mampu berdikari di atas kaki sendiri. Seorang wanita yang sangat berdikari. Alahai memang beza sungguh perangai dia dan ibunya. Dalam hati dia kesal, mengapalah dia tak mewarisi sikap di ibu?

Ruang hadapan rumah juga kosong. Lantas kaki diatur ke laman rumah. Pasti ibunya di situ. Pintu gelongsor itu dibuka luas, pandangan matanya ditebarkan ke seluruh kawasan halaman rumah. Masih lagi mencari sosok tubuh si ibu. Dan dari jauh lagi dia sudah nampak sosok tubuh ibunya yang sedang menjemur pakaian.

“Ibu..” Kakinya mula menyarung selipar dan dia mula menghampiri buaian kecil yang terletak di laman itu. Laman itu dihias cantik oleh ibunya. Pelbagai bunga ditanam. Di laman itu juga terdapat air terjun kecil dan sebuah gazebo. Sungguh ibunya wanita yang serba boleh.

“Em, dah sarapan belum?” soal ibunya prihatin. Manalah dia tak manja sebegini, langsung tak berdikari. Kerana memang hakikatnya dia sudah dimanjakan sejak dari kecil! Ya dia seorang puteri ibunya. Permaisuri bagi ibunya.

“Em belum, nak sarapan dengan ibu.” Balas Irdina manja.

“Yelah, tunggu ibu sidai baju ni kejap. Nanti kita sarapan sama. Ni bila nak cari kerja?” Soal Puan Suraya. Bukan dia tak mampu menyara Irdina. Lebih dari mampu, tapi dia mahu Irdina berdikari. Silapnya juga selama ini terlalu memanjakan anak itu. segala kemahuan anak itu sedaya upaya akan dipenuhi.

“Nantilah ibu, Dina nak rehat dulu. Rasa fobia pun tak habis lagi. Tapi nanti kalau Dina dapat kerja, ibu rehat je kat rumah ok? Ibu tak payah kerja dah.” Luah Irdina, ya dia mahu ibunya berehat pula selepas ini. Biar dia saja yang mencari rezeki. Tapi nak diikutkan, hidup mereka taklah sesukar mana. Ibunya itu agak senang juga. Berbekalkan gaji seorang pegawai, lebih dari cukup buat mereka berdua.

“Ok, ibu pun dah rasa nak berehat.” Puan Suraya mengiakan sahaja rancangan Si Irdina. Entah bila si anak gadis dapat kerja pun tak tahulah.

Puan Suraya mencongak di dalam kepala, tapi dia sudah punya simpanan untuk anak itu. Simpanan KWSP nya pun lebih dari cukup untuk mereka berdua. Tapi itulah, dia mahu anak itu berdikari. Berdiri di atas kaki sendiri.

“Ok ibu. Deal!” Irdina tersenyum. Tapi sekejap saja senyumannya itu. Em, kerja pun dia tak dapat lagi sekarang. Haih berangan jelah yang mampu!

“Hah, dah jom masuk. Kita breakfast.” Ajak Puan Suraya, di tangannya terdapat bakul kosong yang sudah disidai bajunya.
“Jom bu.” Irdina bingkas bangun dari buaian dan tangan ibunya dipeluk erat. Ya, dia memang manja.

“So, bila plan nak cari kerjanya?” Soalan maut Puan Suraya mematikan langkah Irdina. Tangan yang erat memeluk tangan ibunya dilepaskan.

‘Haih spoil lah soalan ibu.’ Bisik hati kecilnya.

“Hah, dah. Tak payah nak tarik muncung tu. Takpe ibu faham, slow-slow cari kerja. Yang penting kena rajin. Bukan malas. Ni pun bangun dah tengah hari.” Haa, kan bom atom dah meletup!

“Yelah ibu..” Irdina mengalah. Haruslah dia mengalah, kalau tak mahunya sepanjang hari ini ibunya membebel! Huhu.

Puan Suraya hanya tersenyum. Anak yang seorang ini saja harta dunia yang dia ada. Harta dunia yang paling mahal. Hendak dimarah lebih, kadang dia sendiri rasa tak sampai hati!

“Hari ni ibu buat mee goreng je.” Balas Puan Suraya.

“Mesti sedap ni.” Ujar Irdina. Tudung saji dibuka dan dia mencapai pinggan yang telah tersedia. Dicedok mee goreng tersebut ke dalam dua pinggan. Satu untuk ibunya dan satu lagi untuknya.

“Eh mestilah sedap. Ibu yang masak kan.” Usik Puan Suraya.

Irdina hanya tertawa kecil. Nampaknya ibu memang tak nak kalah! Air di dalam teko dituang masuk ke dalam cawan. Air teh o panas itu memang kegemaran ibunya. Simple bukan?

Sambil makan mereka berborak. Ibunya akan masuk ke kerja pada pukul 11 pagi nanti. Pergi jam 11 pagi dan pulang pada pukul 7 malam. Agak lain bukan dengan pekerja biasa? Ibunya sebagai pegawai senior, kebanyakan tugas ibunya adalah dengan memantau pekerja bawahan. Sebab itu jadual kerja ibunya berbeza dengan orang lain.

Selesai makan, tugas Irdina mula untuk membasuh pinggan dan mengemas meja. Sambil membasuh dia menyanyi kecil. Orang kata, kenyang perut suka hati kan? Hah, memang sahih lah kata-kata orang tu!

Sementara Puan Suraya masih lagi di meja makan, dia menyemak handphone nya, meneliti kalau-kalau ada tugasan penting untuk hari ini. Tapi belum semput dibuka planner di telefon bimbitnya, ada nombor baru yang masuk.

Diangkatnya panggilan tersebut, risau jika dari bos atasannya.

“Assalamualaikum.” Salam diberi oleh si pemanggil.

“Waalaikumsalam.” Jawab Puan Suraya.

“Saya Faiz. Doktor Faiz. Mak cik sihat?” Si pemanggil sudah memperkenalkan diri.

“Ohh Faiz, alhamdulillah mak cik sihat. Kenapa ya Faiz?” Tanya Puan Suraya ingin tahu. Pelik pula anak itu menelefonnya.

“Em mak cik, sebenarnya saya ada hal nak bagitahu mak cik. Boleh saya jumpa mak cik?” Anak muda itu meminta izin.

“Err boleh, boleh. Nanti datanglah rumah mak cik. Mak cik send location nanti.” Dalam hati, Puan Suraya tertanya sendiri. Hal apa yang dibincangkan pemuda itu? Bukan semuanya telah selesai?

“Ok mak cik. Kalau boleh hujung minggu ni saya datang ya mak cik.” Ujar Faiz.

“Oh boleh datanglah, insya-Allah mak cik ada kat rumah hujung minggu ni.”

“Ok mak cik, terima kasih ya. Faiz minta diri dulu. Assalamualaikum.” Ujar Faiz meminta diri. Hatinya sedikit lega sekarang. Lepas satu langkah.

“Er, ok waalaikumsalam.” Rasa ingin tahu Puan Suraya masih lagi menguasai diri. Entah apa sebab, tiba-tiba saja anak itu muncul. Ahh. Tapi Puan Suraya cuba juga tak berfikiran yang bukan-bukan.

Sedang Faiz di hujung sana sudah mempamer senyuman yang bahagia. Dia harus berani untuk memulakan langkah. Dan selepas istikharahnya hatinya agak tenang dan lapang. Orang kata, kalau nakkan si anak gadis, dia sendiri kena berani.

Kata Jabir bin Abdullah,
“Rasulullah SAW mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah daripada al-Quran, sabdanya,
‘Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunnah dua rakaat, kemudian bacalah doa ini...”

~Hadis Sahih Riwayat Bukhari~

P/S: Maaf ada yang perubahan sedikit pada cerita ni, tak sempat edit kat blog. Just sempat edit kat word je.

Sunday 19 June 2016

BAB 8 JODOH DARI HATI

BAB 8

MALAM ITU,  Faiz bertemu dengan Khaleef di warung seperti yang dijanjikan mereka. Sebelum keluar tadi, sempat Faiz singgah di rumah Mak Su nya. Melihat keadaan Mak Su nya menghantar rasa sebak dalam hati.

Tabahnya Mak Su membesarkan anak-anak sendiri. Dan tegar sungguh Pak Su nya meninggalkan anak sendiri kerana perempuan lain. Ahh, apabila cinta itu dipandu mengikut nafsu, akal manusia takkan mampu berfikir waras lagi.

‘Faiz takkan biarkan nasib Mak Su selama begini. Faiz akan cuba bantu semampu Faiz.’ Itu monolog kata hatinya.

Dalam diam Faiz memasang tekad yang tinggi. Khaleef harus disedarkan. Anak muda itu harus dipimpin untuk terus ke hadapan.

            “Khaleef, aku rasa better kau sambung semula belajar. Khadeeja pun dah nak habis belajar kan?” Tiba-tiba usul itu yang dikemukakan Faiz sebaik sahaja minuman dan makanan mereka tiba.

            Hampir tersedak air yang baru saja menuruni kerongkong Khaleef. Dia sambung belajar? Untuk apa? Nak sara adik-adiknya yang empat orang itu pun dia tak mampu. Kalau dia sambung belajar bagaimana pula nasib adik-adiknya?

            “Sambung belajar? Untuk apa? Siapa nak sara adik aku nanti? Aku bukan pandai sangat Faiz.” soal Khaleef bertalu-talu. Gelas minuman diletakkan semula di atas meja. Tak jadi minum dah. Hilang terus selera dengan cadangan Faiz tadi.

            “Em, kau jangan salah faham Khaleef. Tentang adik-adik kau dan perbelanjaan belajar tu kau jangan risau. Insya-Allah ada jalannya.” Faiz cuba menerangkan satu-satu. Takut bicaranya salah tafsir oleh Khaleef pula.

            “Tak mudah macam yang kau fikir Faiz. Tanggungjawab aku besar sangat. Adik-adik aku semua tengah belajar lagi.” Luah Khaleef jujur. Bukan dia tak minat langsung untuk belajar tapi keadaan seolah-olah tak mengizinkan dia untuk meneruskan pengajiannya.

“Takpe Khaleef, bukan sekarang aku suruh kau sambung belajar. Lepas Khadeeja habis ni slow-slow. Bukhari pun tengah SPM kan. Lagipun bukan suruh kau ambil diploma yang tiga tahun tu Leef. Peluang belajar ni banyak. Kau boleh try ambil sijil kemahiran dulu.” Terang Faiz lagi. Minuman di atas meja mula dicapai. Nak menerangkan dengan Khaleef ini perlukan kesabaran yang tinggi. Tak perlu tergopoh-gopoh.

                        “Em. Entahlah Faiz. Aku tak pernah terfikir nak sambung belajar lagi. Kau sendiri tahu kan, keputusan SPM aku taklah baik mana. Aku dah dapat kerja ni pun aku dah bersyukur Faiz. Paling tak, ada duit untuk bantu mak dan adik-adik.” Luah Khaleef jujur. Akalnya bagai tak mampu pula menerima cadangan Faiz.

                        Sudah hampir lima tahun dia bekerja, sudah terbiasa memegang duit sendiri. Dan sekarang nak disuruh sambung belajar, tak ke pelik sangat tu? Bagi Khaleef asalkan adik-adik dan maknya cukup makan pakai, itu sudah membahagiakan. Dia tak minta pun hidup mewah. Asalkan mak dan adik-adiknya ada di sisi dia itu sudah bahagia.

                        “Khaleef, kita lelaki. Satu hari nanti kau pasti punya keluarga sendiri. Aku nak kau terbang lebih tinggi Khaleef, gapai impian kau sendiri. Aku tahu kau boleh.” Ujar Faiz, bahu Khaleef ditepuk perlahan. Khaleef menarik nafas panjang, cuba menghadam kata-kata Faiz. Ya, dia mulai setuju dengan kata-kata Faiz. Dia lelaki, tipu kalau dia tak mahu punya keluarga sendiri. Tipu kalau dia tak mahu punyai isteri.

                        “Fikir betul-betul Khaleef, bukan aku nak kata kerja kau sekarang tak bagus. Tapi, kenapa kalau kau boleh terbang lebih tinggi dan kau sendiri tak mahu gunakan ‘sayap’ yang kau ada untuk capai impian kau.” Nasihat Faiz lagi.

                        Bukan niat Faiz mahu memandang rendah pekerjaan Khaleef sekarang. Bukan niatnya begitu. Tapi dia tahu dan yakin Khaleef boleh terbang lebih tinggi lagi. Anak muda itu mampu mengorak langkah ke depan lagi. Dia sayangkan Khaleef dan atas dasar itu dia menasihati. 

Bekerja sebagai tukang cuci bukan tiket untuk Faiz memandang rendah terhadap Khaleef. Bukan. Faiz tahu apa saja pekerjaan selagi ianya diniatkan untuk mencari redha Allah itu lebih baik. Walaupun Cuma tukang bancuh air tapi jika diniatkan untuk mencari redha-Nya, itu lebih mulia!

                        Tapi Faiz juga yakin, nasib seseorang itu takkan berubah selagi dia sendiri tak megubah nasib dirinya. Hidup ini, biarlah berimpian setinggi langit. Paling tidak, jika kita jatuh, kita akan jatuh di antara bintang-bintang.

                        “Em, tengoklah dulu Faiz. Bagi aku fikir dulu. Tak mudah untuk aku Faiz.” Balas Khaleef perlahan. Ya tak mudah untuknya membuat keputusan sebegini.

                        “Ok Khaleef, kau fikir dulu. Lagipun aku suruh ambil sijil kemahiran je dulu. Kalau kau kuat, sambil belajar boleh kerja sambilan. Lagipun sijil kemahiran ni tak lama Khaleef, setahun lebih je.” Faiz menasihati lagi Khaleef. Tanpa jemu dia cuba menghulurkan semangat buat sepupunya itu.

                        Faiz tahu Khaleef sangat memerlukan seseorang untuk menasihatinya dan Faiz tahu itu tanggungjawabnya sebagai sepupu. Khaleef bukanlah teruk sangat, cuma pemuda itu sedikit tersasar tingkahnya. Mungkin kerana nasib keluarga yang membuatkan dia jadi begitu.

                        “Insya-Allah Faiz, nanti aku fikir semula.” Ujar Khaleef, akalnya mula menerima cadangan Faiz.

Ya tak salah untuk dia memikirkan semula cadangan Faiz. Dia tahu niat Faiz baik. Dan banyak benarnya kata-kata Faiz. Dia yang harus mengubah nasibnya sendiri. Dan tak salah kan jika dia mencuba? Kata orang biar kalah selepas berusaha, dari menyerah sebelum mencuba.

            “Ok good. Dah jom makan. Sejuk dah makanan kita.” Ajak Faiz, sudu dan garpu mula dicapai dan dengan lafaz bismillah laju saja nasi goreng kampung itu menjamah tekaknya.

USAI menghantar Khaleef malam itu, Faiz terus pulang ke rumah. Selesai satu amanahnya. Rasa makin lapang dadanya kini. Apa yang patut diluah, telah diluahkan. Moga Allah beri Khaleef jalan keluar.

            Faiz mula mendaki anak tangga satu persatu, rumahnya sudah gelap menandakan umi dan babahnya sudah lena diulit mimpi. Maklum saja esok umi dan babahnya kerja. Dan memang sudah menjadi kebiasaan bagi umi dan babahnya untuk tidur awal dan bangun awal untuk esok hari. Jam di dinding rumah sudah menunjukkan satu pagi.

            Faiz menolak perlahan pintu biliknya. Sunyi malam bagai mencampakkan rasa tenang yang luar biasa. Perlahan langkah diatur menuju ke bilik air dan membersihkan diri. Lepas ini, ada satu lagi masalah yang harus diselesaikan. Tentang gadis itu.

            Seminggu dia cuba melupakan gadis itu, tapi tak berjaya. Gadis itu, gadis biasa tapi personanya luar biasa. Malam ini, dia harus cari solusi, dia harus menanyakan hati sendiri. Sama ada, kehadiran gadis itu hanya sebagai ujian hati atau untuk menjadi suri dirinya sendiri.

            Faiz mula mengambil wuduk, kesejukan air dingin hari tak langsung menggugat keinginannya untuk mencari petunjuk dari Dia. Dia tak mahu rasa ini hanya saja-saja, rasa untuk menolaknya ke lembah binasa.

            Usai mengambil wuduk, sejadah dihamparkan. Hati dan jiwa mula difokuskan untuk menghadap Dia yang satu. Dia serahkan seluruh hidup dan matinya dalam pengawasan Dia. Dalam jagaan Dia kerana tiada jagaan yang lebih selamat melainkan dalam jagaan Allah.

            Setiap sujud, lamanya dahinya menyentuh tikar sejadah. Terlalu lama, dia mengadu hanya pada Dia. Segala keinginan, masalah diluahkan terus pada Dia. Tanpa malu, air mata hamba itu mengalir laju. Faiz tahu dia hamba yang kerdil.

            Usai dua rakaat solatnya, salam diberi. Menyudahkan penyerahan jiwa pada Yang Maha Esa. Lama dia mengalun istighfar dalam hati. Cuba diselami maksud satu persatu kalimah itu. kalimah ‘ajaib’ yang mampu menyembuhkan kedukaan, yang mampu menyelesaikan masalah dan mampu memberi rezeki dari arah yang tak disangka. Dia cuba menyelami kalimah itu, memaknakan terus dalam hati.

            Lama Faiz berteleku dan bermuhasabah. Betapa lemahnya dia. Diasak dengan ujian dunia sahaja kadang-kala membuatkannya lemah. Dan kini, diuji pula dengan ujian hati dan wanita, Faiz jadi takut sendiri. Dia tak mahu, rasa untuk memilik gadis itu hanya mainan hati.

            Tangan ditadah, memohon petunjuk dari Dia.

            “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk-Mu menurut pengetahuan-Mu, dan aku memohon ketetapan dengan kekuasaan-Mu dan aku memohon dari kelebihan-Mu Yang Maha Agung kerana sesungguhnya Engkaulah yang berkuasa dan aku tidak berkuasa dan Engkau lah mengetahui dan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Tuhan Yang Maha Mengetahui perkara-perkara ghaib.

            Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa Suri Irdina baik untuk diriku, keturunanku, dunia mahupun urusan akhiratku, maka tentukanlah dia untukku. Permudahkanlah dan berkatilah urusan jodoh ini. Dan jika Engkau mengetahui bahawa Suri Irdina bukanlah yang terbaik untuk diriku, keturunanku, agamaku, dunia dan akhiratku. Maka jauhkanlah aku darinya. Dan ajarkanlah aku erti redha dan berlapang dada.” Itu antara bait-bait doa Faiz pada malam itu. sungguh dia menyerahkan segalanya pada Dia.

            Rasa hati bukan dipandu mengikut nafsu tapi dipandu mengikut iman. Bukan mudah untuk memilih teman hidup. Isteri, dia sayap perjuangan buat seorang suami. Dan malam itu, Faiz melepaskan segala rasa hati hanya pada Dia.

            Lama dia berteleku memuhasabah dan memohon hajatnya. Mengakui dia hanya hamba. Harus tunduk pada kekuasaan Dia. Malam yang sepi lagi menambah rasa kehambaan diri.

“Sesungguhnya solat dan ibadah malam lebih kuat kesannya kepada jiwa...”

 ~Al-Muzammil:6~