Thursday 29 November 2012

(^^) Assalamu'alaikum, Sedikit sedutan utk yg rindukan SE, heee :)


Bab berapa, itu rahsiaaaa.. jengg2.. haha :D

“Abang.. jangan nangis, Riana tahu abang sedih tapi Riana lagi sedih kalau tengok abang macam ni. Allah pun tak suka hambaNya terus menerus bersedih. Ini ujian Allah, Allah takkan menguji di luar kemampuan hambaNya” Adriana terus memujuk.

“Thanks Riana. Janji dengan abang untuk terus

berada di sisi abang ya sayang?” Faris meleraikan pelukan, menuntut janji agar Adriana terus setia disampingnya. Dia perlukan Adriana sebagai semangatnya untuk terus bangkit mencari kekuatan. Dia perlukan Adriana untuk mentarbiyah dirinya.

“Insya-Allah, selagi abang perlukan Riana selagi itulah Riana akan di sisi abang. Tugas seorang isteri adalah bersama suaminya masa susah dan senang. Insya-Allah Adriana akan setia di sisi abang sebagaimana setianya isteri Nabi Ayyub saat menjaganya ketika sakit” Adriana tersenyum.

Faris mula mengukir senyum, dalam kesedihan kehilangan Haji Mansor dia sedar dia masih mempunyai isteri yang solehah yang akan berada di sisi.

“Tapi abang, kita hanya manusia. Jangan bergantung dan hidup kerana manusia kerana manusia akan tetap tinggalkan kita. Hiduplah kerana Ilahi kerana Dia tak akan pernah tinggalkan kita” dalam diam Adriana bijak menyelitkan nasihat. Benarlah Adriana kelihatan matang dari usianya.

“Terima kasih ingatkan abang sayang”

“Sama-sama cik abang sayang. Abang bersedia nak dengar sesuatu tak?” pancing Adriana.

“Apa dia sayang?”

“Riana tahu masa sekarang tak sesuai untuk bincang apa yang berlaku petang tadi tapi Riana tak nak tidur tanpa redha abang. Riana nak mintak maaf pasal kejadian siang tadi. Insya-Allah selepas ni Riana akan lebih tegas dalam menjaga maruah diri, menjaga maruah abang. Boleh maafkan Riana?” Adriana mencium tangan Faris, ada air hangat yang menitis keluar dari matanya.

Faris memeluk Adriana, sungguh dia yang sepatutnya memohon maaf kerana dia tidak bijak bertindak sebagai suami. Dia gagal melawan amarah dan egonya sendiri.

“Abang maafkan Riana.. abang nak mintak maaf jugak”

Adriana tersenyum bahagia, selesai sudah masalahnya dan Faris, Alhamdulillah, masalahnya dengan Faris telah selesai, mujurlah marah Faris tidak lama. Apa yang berlaku biarlah dia mengambil pelajaran untuk bertindak dengan lebih matang lagi. Resam rumah tangga tidak terlepas dari ujian. Apa yang penting adalah belajar dari kesilapan dan berusaha memperbaikinya lagi, bukannya menunding jari mencari salah siapa.

“Riana sentiasa maafkan abang, abang redha dengan Riana?” Tanya Adriana polos, tangan suaminya diambil lalu diletakkan di pipinya.

Faris tersenyum, untuk apa dia tidak meredhai isteri sesolehah Adriana, isteri yang sentiasa bersabar melayan kerenahnya, isteri yang sentiasa menitip semangat untuk diri saat ujian datang bersinggah? Wanita itu mudah untuk ke syurga hanya dengan mentaati suruhan Allah, mentaati suami dan menjaga kehormatannya, maka wanita itu berhak untuk ke syurga melalui mana-mana pintu syurga seperti maksud sebuah hadis:

“Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.” –HR Ahmad.

Sedangkan seorang suami harus dihisab dan disoal dengan pelbagai tanggungjawab, tanggungjawab mendidik isteri dan anak, tanggungjawab mencari nafkah dan sebagainya. Layakkah dia untuk bersama Adriana di syurga nanti? Apa mahar yang diperlukan untuk meminang isterinya di syurga nanti??

“Abang sentiasa redha untuk isteri sesolehah Riana” Faris menjawab, diciumnya perlahan ubub-ubun Adriana.

“Bahagianya hidup jika dalam redha Allah dan suami” Adriana menjawab. Tangannya menarik Faris ke tepi tingkap kayu itu.

Faris mengikut langkah Adriana, Adriana sentiasa punya cara untuk memperbaharui kemesraan dan kasih sayang dalam rumah tangga mereka. Walaupun usianya masih muda tapi tingkahnya matang dalam menyelesaikan masalah.

“Jom teman Riana tengok bintang.. malam ni bintang banyak kan?” Adriana melentokkan kepalanya ke dada bidang Faris.

“Ha’ah, tapi Riana sentiasa jadi bintang yang tercantik di mata abang. Bintang sentiasa ada untuk ceriakan kegelapan malam, macam tu jugak dengan Riana, sentiasa ada untuk ceriakan hidup abang kalau abang ada masalah” Faris terus menghargai Adriana. Dia tidak segan untuk meraikan dan menghargai isterinya sendiri. Ingatlah kaum Adam di luar sana, sentiasalah hargai isteri anda walaupun sekecil-kecil perkara.

“Abang pula ibarat matahari bagi Adriana, yang sentiasa menerangi alam. Abang beri Riana sinar hidup baru selepas Riana hampir-hampir kecundang kerana terlalu sedih kehilangan mama dan papa”

“Syhhh, abang sentiasa ada untuk Riana, insya-Allah. Adriana Qistina adalah tanggungjawab Faris Ar Rayyan. Abang nak bawa Riana menuju ke syurga Allah. Biar cinta kita sama-sama mekar menuju cinta Ilahi” Faris memeluk bahu Adriana. Mereka sama-sama merenung langit malam.

“Terima kasih abang, Alhamdulillah puji-pujian hanya untuk Tuhanmu..” Adriana mengucap syukur. Indahnya hidup andai cinta Ilahi yang dicari.

“Abang, Riana ada kuiz untuk abang” Adriana memegang tangan Faris yang sedang memeluk bahunya.

“Kuiz?? Ada hadiah tak sayang??” Faris mencium pula rambut lembut Adriana, wangi.. bertuah mempunyai isteri yang hanya berhias untuk suami bukan untuk lelaki ajnabi lain.

“Mestilah ada, ‘special’ untuk cik abang sayang. Soalan kuiz kita hari ini ialah pukul berapa kita nak tidur malam ni?”

Faris sudah tersenyum, bijak betul soalan Adriana. Dia tahu Adriana mahu meraikan dirinya. Beruntungnya mempunyai isteri yang sentiasa menghiburkan. Indahnya cinta selepas nikah. Tetapi bukan mudah untuk mencapai barakah dalam rumah tangga, perlu bermatian-matian bermujahadah melawan nafsu sebelum kahwin. Jika diri sudah hanyut dengan cinta yang berpaksikan nafsu sebelum kahwin mana mungkin ‘manis’nya cinta selepas kahwin itu mampu dinikmati.

“Kita tidur sekarang, pagi esok senang nak qiam” Faris berbisik lembut di telinga Adriana.

No comments:

Post a Comment