Sunday, 12 May 2013

Penghijrahan Cinta 8


BAB 8

Hari Sabtu itu Wafiq hanya termenung di bilik, melepaskan lelah setelah seminggu bertungkus lumus dengan assignment, kuliah dan kelas ganti. Dia hanya berbaring merenung kosong siling biliknya. Hafiz awal-awal lagi sudah keluar, ada meeting katanya. Maklumlah sahabatnya yang sorang itu memang aktif di universitinya. Pelbagai jawatan yang disandang Hafiz, itu belum terlibat dengan aktiviti kemasyarakatannya dan kumpulan usrah lagi. Sedangkan dia? Hanya memegang dua jawatan sahaja di universitinya iaitu Pengerusi Pelajar bahagian Fakulti Kejuruteraan dan Ketua Pasukan Bola Sepak di kolejnya.

Walaupun dia hanya santai berbaring tetapi otaknya bekerja keras memikirkan sama ada betul atau tidak tindakannya memberitahu dan merisik akhlak Humaira. Betul ke yang dia sudah jatuh cinta dengan Humaira? Ahh bagaikan mimpi. Jika sebelum ini dia bermati-matian menepis godaan cinta si gadis tapi hari ini dia tewas dengan pemilik hati Damia Humaira. Jika sebelum ini dia teguh memegang prinsip hidupnya yang hanya akan serius dengan wanita apabila dia sudah bekerjaya dan mempunyai aset tapi hari ini dia jatuh tersungkur dengan prinsipnya sendiri.

Dia bangun dan membuka laci meja belajarnya, mengambil diari pink itu untuk dibacanya. Mahu mendalami lagi hati milik si empunya diari. Walaupun rasa bersalahnya kian menggunung kerana menceroboh hak privasi gadis itu tetapi dia tetap membuka dan membaca diari itu. Seakan ada kuasa yang terus menyuruh dia membaca diari itu, menyuruhnya mendengar luahan hati gadis itu.

Dia menyelak helaian diari itu, mahu meneruskan lagi bacaannya yang terhenti.

14 Feb 2013

Hari ini, hari kekasih.
Hari yang di mana semua pasangan kekasih meraikannya.
Aku juga pernah meraikannya, tapi itu dulu.
Semasa zaman sebelum aku berhijrah, semasa aku belum betul-betul mengenali Islam.
Tapi hari ini, aku jualah yang menentang hari kekasih ini.
Sangat sedih melihat syabab-syabab agama yang tersungkur dengan godaan wanita,
Berpengangan tangan tanpa segan silu, Ya Allah..

Remaja harapan ummah,
Tapi apabila aku melihat remaja hari ini,
Aku semakin sedih,
Ya Allah kau berikanlah mereka hidayah sebagaimana diri ini disapa hidayah-Mu,
Aku tak mampu menarik mereka bersamaku,
Aku tak kuat,
Yang aku mampu hanya mendoakan mereka, ahh lemahnya aku :'(

Bait-bait yang dicoret dibaca perlahan oleh Wafiq. Ya dia juga sedih dengan teman-teman remajanya yang semakin jauh dari Ilahi. Hanya kerana cinta. Hanya kerana dunia. Tapi bukankah cinta itu menguatkan? Bukan melemahkan?

Dia menyambung lagi helaian yang seterusnya.

17 Feb 2013

Hari ini aku menelefon ibu, hanya menyatakan rindu.
Pada ibu, aku luahkan kesedihan di hati,
Pada ibu, aku meminjam semangatnya membesarkan kami adik-beradik.
Ibu, doakanlah anakmu ini terus kuat!

Hari ini juga, ibu kata ada yang merisikku,
Rasa seperti mahu pengsan! :(
Siapa pula yang merisikku?

Hati Wafiq berdengup laju, Humaira dirisik? Tapi tidak hairanlah gadis itu sudah berusia dua puluh dua tahun, memang wajar jika ada yang merisik gadis seperti Humaira. Manis dan berpelajaran, bukankah itu ukuran manusia sekarang?

Wafiq meramas kasar rambutnya, dia rasa seperti dicabar dan dia tidak mahu kehilangan Humaira. Diteruskan lagi bacaannya.

23 Feb 2013

Lama aku tak menulis :'( maaf ya Incik Diari. Sangat-sangat sibuk dengan kuliah dan assignment!
Ibu telefon lagi, inginkan kata putus tentang risikan tempoh hari.
Aku katakan pada ibu aku belum bersedia.
Mana mungkin aku bersedia jika kenangan lalu datang mengejarku lagi.

Tanpa sedar Wafiq menarik lafaz lega. Ya, dia masih punya peluang lagi. Rasa gembira jangan cakaplah, memang infinity. Tak terkira. Tapi dia juga tertanya-tanya kenangan apa yang dimaksudkan Humaira?


28 Feb 2013

Hari ini aku lewat ke kelas! Gara-gara menyiapkan assignment lewat malam tadi, lepas subuh baru aku terlelap! Haha :p dasyatkan aku ni?
Tapi malang betul nasib aku hari ni, dahlah lewat ke kelas, terlanggar pulak mamat poyo! Haishh..
Boleh pulak aku terambil buku engineering dia tu?
Dan aku bukan lewat dua tiga minit, tapi aku lewat setengah jam! Huahaha.. Prof pun dah tak larat nak nasihatkan aku lagi, haih.

Nak dijadikan cerita, petang tu aku jumpa lagi mamat poyo tu. Apa tak cukup besar ke UiTM Shah Alam ni? (tolong jawab Incik Diari :p ) hehe..
Sedap mulut dia je kutuk aku, siap simbah aku dengan air lagi ! Haipp.
Tapi takpe, aku simbah dia dengan air Syu, fair kan? Sama-sama basah!
Syu, nanti aku ganti lain air kau!
And aku doa supaya tak jumpa mamat poyo tu lagi !

Wafiq sudah tergelak apabila teringatkan peristiwa pertama dia bertemu Humaira, tak sangka gadis itu mencoretkan kisah mereka dalam diari itu. Kiranya dia penting jugaklah kan? Sampai kisahnya masuk dalam diari Humaira ni? Cehh perasan! Haha. Dan yang tak berapa bestnya Humaira memanggilnya mamat poyo. Ok, sangat tak romantik!

Dia tersenyum lagi apabila mengingatkan kisah itu, haishh kenapalah dia kasar sangat dengan Humaira sedangkan dia bukanlah yang jenis suka cari pasal dengan orang lain. Dia masih ingat tangannya laju menyimbah gadis itu dengan air dan balasannya dia juga turut disimbah dengan air, haha. Memang tak cukup akal agaknya dia masa tu.

Dia merengus perlahan, agak-agak Humaira sanggup ke nak terima 'musuh' sendiri ni? Dan Humaira takde ke minat orang lain?

Dia menutup perlahan diari Humaira. Dia bercadang mahu ke cafe, mencari makanan. Duduk kat bilik ni pun kalau asyik termenung takde faedahnya. Haishh.

Usai sahaja bersiap, dia mencapai wallet dan berjalan menuju ke cafe yang terletak tidak jauh dari kolejnya. Pagi-pagi ni agak-agak makanan apa yang best eh?

Sampai sahaja di cafe, dia mula mencari makanan yang sesuai dengan seleranya. Sedang dia mencari makanan, dia perasan kelibat Humaira di kedai lain. Hatinya sudah berdegup laju. Aihh selama ni bila dia jumpa Humaira steady je tapi kenapa sekarang macam orang baru balik marathon je lagaknya?

Cepat-cepat dia mengambil makanan dan ke kaunter bayaran.

“Kak, nak air teh o ais satu boleh?” pinta suara lain. Ya dia kenal pemilik suara itu.

“Humaira..” tiba-tiba bibirnya menyebut nama itu spontan. Ya Allah, malunyaaa.. Rasa macam nak tampar laju-laju je mulut yang tak mahu memberi kerjasama dengan tuan punya badan.

Humaira mendongak apabila terdengar namanya dipanggil walaupun perlahan.

“Err, kau?” soal Humaira terkejut. Tapi yang peliknya sejak bila pemuda itu tahu namanya Humaira?

Wafiq sudah gelisah sendiri. Rasa macam nak masuk dalam plastic bag ni boleh tak?

Usai sahaja mengambil baki wangnya Wafiq cepat-cepat ingin berlalu pergi. Tak sanggup nak mengadap Humaira lama-lama.

“Wait. Macam mana kau tahu nama aku??” soal Humaira lagi. Ya, memang dia pelik sangat.

Langkah Wafiq terhenti, dia mengangkat wajah memandang Humaira yang sedang memengang plastik minuman. Lidahnya kelu, seolah beku mahu menjawab soalan Humaira sebentar tadi. Ohh idea, datanglaaahhh!

“Err.. err.. aku...” jawabnya gugup, mindanya dikerah mencari idea yang terbaik untuk menjawab soalan Humaira yang tak sesukar mana.

“Humaira, dah beli air?” sampuk suara di belakangnya.

Wafiq menarik nafas lega, rasa terselamat dari menjawab killer question itu. Rasa macam nak sujud syukur kat tengah cafe ni pun ada weh !

“Err akak, dah...” jawab Humaira, matanya masih memandang Wafiq. Dia inginkan jawapan dari mulut lelaki itu.

Wafiq menoleh ke belakang, mencari si empunya suara yang menyelamatkan dia. Haih rasa macam nak ucap terima kasih banyak-banyak je! Lagi pula dia tak sanggup ingin memandang wajah Humaira yang masih menagih jawapan. Sungguh, lidanya kelu. Bicaranya kaku.

Kali ini rahang Wafiq jatuh lagi apabila melihat si gerangan empunya suara yang menegur Humaira sebentar tadi. Liyana? Err..

“Wafiq kan?” tegur Liyana. Dia kenal pemuda itupun daripada Hafiz, Exco Dakwah bahagian muslimin.

“Ha'ah, Liyana kan?” Wafiq mengukir senyum, kelat rasanya senyuman saat ini.

Humaira sudah mengerutkan dahinya. Kak Liyana kenal dengan mamat poyo ni? Persoalan lain pula yang timbul. Haih.

Liyana hanya tersenyum mengiakan. Dia hanya sekadar kenal-kenal gitu sahaja dengan Wafiq, itupun apabila pemuda itu ada bersama Hafiz ketika mereka mengurus aktiviti kerohanian di universiti mereka.

“Err mintak diri dulu..” ujar Wafiq meminta diri.

Humaira hanya memandang langkah Wafiq yang semakin meninggalkan dia dan Kak Liyana. Pelbagai soalan yang mula menerjah mindanya saat ini, macam mana Wafiq tahu nama dia? Kak Liyana ada bagitahu ke? Mustahil. Dan macam mana pulak Kak Liyana boleh kenal dengan mamat sombong tu?

Wafiq hanya mengetuk perlahan kepalanya saat dia sudah meninggalkan Liyana dan Humaira. Pelik dengan diri sendiri, haishh kemain sopan lagi. Siap mintak izin nak balik, haih.. Wafiq tersengih sendirian.

Dalam mindanya mula mencerna, Humaira rapat dengan Liyana? Dia yakin Liyana jugalah yang bersama Humaira tempoh hari, cuma gadis itu membelakanginya.

“Err, Liyana tu nanti yang akan jadi orang tengah?” soalnya kepada diri sendiri. Dia sendiri tidak tahu sama ada ini akan menjadi berita gembira atau berita buruk untuknya.

“Macam mana akak boleh kenal dia?” soal Humaira ingin tahu. Sungguh dia hairan gadis sesopan Kak Liyana boleh kenal dengan mamat sombong tu.

“Siapa? Wafiq Rizqi tu?” tanya Liyana semula.

Humaira sudah tersenyum kelat. Haih siap nama penuh mamat tu Kak Liyana tahu. Ini luar biasa ni! Nama punyalah sedap, punyalah baik tapi perangai hampeh.

“Wafiq Rizqi..” tutur Humaira perlahan, sebaris nama itu jugalah mulutnya gatal nak menyebut kan?

“Wafiq ke?” soal Liyana lagi.

Humaira hanya mengangguk perlahan, yelah siapa lagi kalau bukan mamat tu.

“Ha'ah..”

“Ohh kawan baik dia Hafiz, Humaira kenal kan Hafiz?” tanya Liyana.

Humaira menelan air liur kesat. Err Hafiz yang Exco Dakwah tu ke? Yang comel plus sejuk mata memandang tu? Yang secret admirer dia ke?

“Hafiz yang Exco Dakwah tu?” soal Humaira ingin tahu.

Tiba-tiba wajah berbahang malu apabila menyebut nama itu. Haih lelaki baik, perempuan mana yang tak terpikat kan? Tapi layak ke dia untuk Hafiz? Huh, jangan bermimpi di siang hari ya Cik Damia Humaira, siap mimpi kat tengah-tengah cafe lagi.

“Ha'ah, Wafiq tu kawan baik Hafiz. Kadang-kadang kan akak kena arrange program kerohanian dengan Hafiz, hah masa tulah akak kenal Wafiq” terang Liyana.

Jawatan sebagai Exco Dakwah bahagian muslimat kadangkala menyebabkan dia terpaksa berurusan dengan Hafiz yang memengang jawatan Exco Dakwah bahagian muslimin, lebih-lebih lagi jika mereka terpaksa menguruskan program-program kerohanian di universiti mereka.

“Ohh” hanya itu yang termampu keluar dari bibirnya sedangkan akalnya banyak persoalan yang tak terluah.

“Sopan syababnya..” tanpa sedar itu pula yang terluah dari mulut Liyana. Dia jadi malu sendiri, rasa tidak sopan apabila seorang muslimah memuji syabab lain.

Berkerut dahi Humaira, err rasa seperti mahu pengsan pun ada! Wafiq sopan?? Ahh memang taklah kan?

“Sopan sangat..” hah kan dah keluar rasa meluatnya. Haishh.. nasib perlahan tuturnya tadi.

“Apa Humaira??” tanya Liyana inginkan kepastian, kurang dengar bicara Humaira sebentar tadi.

“Err, nothing kak. Jom gerak balik” ajak Humaira memengang tangan Liyana, sebelah lagi tangannya memengang teh o ais. Lagi difikir lagi bertambah serabut pula kepalanya nanti.


Sampai sahaja di bilik, Wafiq menarik nafas lega. Lega kerana terlepas dari menjawab soalan Humaira.

“Kau ke mana?” tanya Hafiz sebaik sahaja dia menolak pintu bilik.

“Err, kau dah balik meeting. Kejap je?” soalan dibalas soalan. Tak sangka pula Hafiz sudah selasai perjumpaannya pagi ini.

“Ha'ah, just discuss last preparation untuk ceramah malam ni. Kau ke mana tadi? Aku balik bilik kosong” tanya Hafiz lagi.

“Beli makanan, bosan lepak sorang-sorang kat bilik” jawab Wafiq sambil menunjukkan beg plastik makanan yang dipegang.


“Nak? Aku beli lebih..” pelawa Wafiq.

Hafiz hanya tersenyum, kenal sangat perangai Wafiq yang pemurah. Ada sahaja yang ingin dikongsi bersama. Dia pula yang segan.

“Aku kenyang lagi, kau makanlah dulu” tolak Hafiz lembut.

“Haishh bro, kau jugak yang kata rezeki jangan ditolak” kias Wafiq lagi, dia mula memasukkan makanan ke dalam pinggan yang agak besar.

“Ishh, kau ni..” ujar Hafiz, dia menumbuk perlahan bahu Wafiq.

“Kau anggap je pinggan aku ni talam. Jom share makanan sama-sama. Sesekali makan satu pinggan ni romantik jugak kan? Haha” tawa Wafiq sudah terhambur. Apa salahnya makan satu pinggan dengan bestfriend kan? Lagipun mereka selalu makan dalam talam yang sama, sunnah nabi untuk mengeratkan ukhuwwah.

“Talam takde, pinggan pun jadilah weh” usikan dibalas usikan.

Doa mula dibaca dan mereka sama-sama makan dalam pinggan yang sama. Walaupun makanannya simple, hanya nasi lemak berlaukkan sambal ayam tapi makanan yang sedikit inilah yang memberi makna yang besar dalam ukhuwwah mereka.

Kata orang ciri-ciri antara makanan yang kita makan berkat ialah apabila makanan yang sedikit itu saling dikongsi dan makanan yang sedikit itu jugalah yang akan meningkatkan lagi tenaga kita untuk beribadah. Jika selepas makan kita akan bertambah rajin untuk kita beribadah itu tandanya makanan kita berkat.

Usai makan dan membersihkan tangan, mereka duduk bersembang.

“Err, kau tahu aku jumpa siapa dekat cafe tadi..” Wafiq mula membuka cerita.

Hafiz hanya tersengih. Dari riak wajah Wafiq dia tahu pemuda itu jumpa siapa sebentar tadi.

“Kau tak cerita lagi, macam mana aku nak tahu..” sengaja dia bermain tarik tali walaupun hakikatnya dia tahu siapa yang Wafiq jumpa sebentar tadi.

“Aku jumpa Humaira..” jawab Wafiq.

Hafiz tertawa, hah kan betul.

“Kenapa kau gelak, lawak sangat ke weh?” soal Wafiq, haih tak lawak pun.

“Haha, takdelah. Tapi aku dah agak dah, pandai jugak aku jadi ahli nujum ni kan?” tawa Hafiz masih lagi bersisa.

“Banyaklah kau, sejak bila pulak engineer to be tukar kerjaya jadi ahli nujum? Cuba kau teka kau teka aku jumpa dia dengan siapa??” soal Wafiq lagi, diangkatnya kening. Sengaja mencabar.

“Hahaha..” kali ini lagi kuat tawa Hafiz.

Wafiq mula membaling bantalnya, dah macam drama budak perempuan dah! Mana dia tak geram, orang suruh teka dibantainya gelak pulak dah!

“Wehh, apa yang lawak sangat ni?” soal Wafiq geram, orang suruh teka baik-baik dibantainya gelak sampai satu rumah boleh dengar. Tak ke geram?

“Haha, ok aku stop gelak” ujar Hafiz masih dengan sisa tawanya. Isyarat tangan digunakan sebagai syarat mengunci mulut, menghentikan tawa.

“Tekalah wehh..” pinta Wafiq lagi.

“Kau perli aku, kata tak layak jadi ahli nujum. Tapi kau jugak yang soal aku macam aku ni ahli nujum, haha.. Wafiq, Wafiq..” tawanya masih terhambur lagi, kepala digelengnya laju. Haih macam mana dia tak gelak, sah-sah tadi Wafiq kutuk dia tukar kerjayalah, apalah. Tapi mamat tu jugak yang soal dia macam dia ni ahli nujum Pak Belalang! Heh.

Wafiq hanya tersengih, ha'ah betul jugak kan?

“Haha, oklah bro. Aku malas nak jadi ahli nujum lagi. Humaira dengan siapa tadi?” soal Hafiz mengalah.

“Dia dengan Liyana.. terperanjat aku tadi” jawab Wafiq.

Hafiz angkat kening.

“Liyana mana ni? Jangan kata...” bicaranya tergantung apabila mindanya mula mencerna idea yang baru muncul.

“Hah Liyana yang kau nak mintak tolong untuk jadi orang tengah tu..” jawab Wafiq.

Terbatuk kecil Hafiz, sungguh tak diduga.

“Kau rasa ni berita baik ke berita buruk untuk aku?” soal Wafiq inginkan jawapan.

Hafiz sudah termangu sendiri, baru nak memproses jawapan Wafiq sebentar tadi, dan kini soalan lain pula yang diajukan Wafiq?

“Insya-Allah berita baik untuk kau” jawab Hafiz optimis, bersangka baik.

“Aku harapkan macam tu..” luah Wafiq perlahan.

“Insya-Allah, banyakkan berdoa. Dah bincang dengan family kau? Mintak pendapat dorang..” tanya Hafiz.

Wafiq menggeleng perlahan.

“Belum lagi, tapi hari tu aku ada hint bagitahu mama aku. Tapi yang serius belum lagi, aku takut aku kecewa nanti” jawab Wafiq jujur.

Hafiz sudah menepuk perlahan dahinya, pulak dah..

“Kau kena bincang dengan family kau dulu, mintak pendapat orang yang lebih berpengalaman. Raikan pendapat mereka” nasihat Hafiz lembut, ya itulah formula terbaik sebelum Wafiq mulakan langkah seterusnya. Minta restu dari orang tua.

“Insya-Allah, thanks bro..” balas Wafiq.

Hafiz membalas dengan senyuman. Ya, moga dipermudahkan langkah merisik Humaira nanti.

No comments:

Post a Comment