Saturday, 18 June 2016

BAB 7 JODOH DARI HATI

“Melangkahlah. Walaupun kau rasa penat. Walaupun kau dah tak larat. Kerana ada perkara yang tetap perlu kau buat. Demi satu perhitungan di akhirat.” ~ Bonda Nor~

HUJUNG MINGGU ITU, Khadeeja pulang ke kampung. Lama sudah dia tak menjeguk keluarganya. Jarak di antara Pantai Timur dan kampungnya agak jauh juga. Minggu hadapan study week untuk pelajar universiti. Dapatlah dia meluangkan masa pulang ke kampung sebelum berjuang dengan peperiksaan akhir tahunnya.

            Tahun ini tahun terakhirnya sebagai pelajar di universiti Pantai Timur itu. Hampir tiga tahun dia belajar dalam jurusan Diploma Pendidikan. Memang minatnya mengajar, menyebarkan sesuatu buat ummah.

            “Mak, along mana?” Tanya Khadeeja, dari pagi tadi bayang si abang sulung tak kelihatan.

            “Katanya jumpa kawan, kawan yang mana satu mak pun tak tahu.” Jawab Puan Rosnah. Tangannya lincah menggaul lauk asam pedas yang sedang dimasak di dalam periuk.

            Hari ini lauk makan malam mereka agak istimewa. Maklumlah, anak yang jauh itu sudah pulang ke kampung. Hari ini juadah makan malam mereka ialah asam pedas ikan pari, telur goreng, ulam raja dan telur masin. Biasanya lauk makan malam mereka simple saja, mereka bukan keluarga yang hidup senang. Apa saja yang ada di sekeliling rumahlah dijadikan lauk. Jika ada rezeki lebih, dapatlah mereka merasa makanan sedap sikit.

            Bukan Puan Rosnah tak pernah cuba untuk mengubah nasib mereka. Tapi dia sendiri orang kampung dan tak berpendidikan tinggi. Dia hanya lulusan SRP saja. Ditinggal suami ketika dia masih punya anak-anak kecil saja sudah membuatkan dia huru-hara!

            “Ohh, lama dah angah tak jumpa along.” Luah Khadeeja, ada nada rindu pada bait katanya. Abang sulungnya itu walaupun luarannya nampak kasar tapi Khadeeja tahu dalamannya sangat lembut. Mudah dilentur jika kena gayanya.

            “Along kamu tu sibuk, siang kerja. Kalau malam tu kadang dia jumpa kawan. Melepak kat warung depan. Mak pun takt tahu macam mana nak nasihatkan along kamu tu. Dia merokok padahal kita ni bukan orang senang mana. Nak makan pun kadang takde duit. Bazir duit tu. Tapi, tulah..” Bebel Puan Rosnah. Puas sudah dileteri anak yang satu itu, tapi ibarat mencurah air ke daun keladi.

            Tapi nak disalahkan anak itu sepenuhnya tak boleh juga. Anak itu hasil dari kesilapan dia dan suami juga. Anak yang dibesarkan dalam krisis rumahtangganya dan suami. Anak itu yang saban hari melihat dia dan suami bertengkar. Anak itu yang saban hari melihat dia menangis dikecewakan suami. Ahh, kenangan lalu memang memeritkan bagi dirinya!

            “Kita doakan jelah mak along tu. Angah tahu along tu anak yang baik. Abang yang bertanggungjawab. Kita doakan along ya mak.” Khadeeja menghampiri ibunya lalu tubuh ibunya dipeluk dari belakang.

            Kisah hidup mereka ya tak seindah kisah hidup orang lain. Diuji dengan pelbagai dugaan membuatkan Khadeeja nekad dia harus membantu keluarganya. Dia tak mahu ibunya terus diulit kecewa. Dia mahu menjadi anak kebanggaan ibunya. Dia mahu mengembalikan senyuman di wajah yang kian dimamah usia itu.

            “Insya-Allah mak selalu doakan anak-anak mak. Eh, pinggan dah susun belum?” Soal Puan Rosnah sambil meleraikan pelukan Khadeeja. Dia tak mahu lama-lama memendam rasa sedihnya. Dia tahu ini memang sudah bahagian ujian hidupnya.

            “Err belum mak. Kejap angah susun.” Khadeeja mula menghampiri rak pinggan dan diambil pinggan-pinggan lalu disusun cantik di atas meja.

            “Uda ke mana mak? Dari maghrib tadi angah tak nampak.” Adik lelaki yang seorang itu pula disoalnya. Uda adalah gelaran untuk adiknya Bukhari.

            Adik beradik mereka memang sudah dibiasakan panggilan along, angah, uda, acik dan adik sejak kecil. Masing-masing ada panggilan sendiri dalam keluarga. Bagi Khadeeja, inilah kekuatannya untuk terus melangkah. Keluarganya!

            Dan Bukhari adiknya yang seorang itu berusia tujuh belas tahun dan bakal menduduki peperiksaan SPM. Bukhari seorang adik yang agak pendiam dan mudah dibentuk. Berbeza adiknya itu dengan Khaleef.

            “Em ke surau rasanya. Biasa dia memang berjemaah kalau maghrib dan isyak.” Ujar Puan Rosnah. Anak yang seorang itu memang mudah dibentuk. Mungkin kerana pengaruh rakan juga.

            “Ohh sejuk perut ya mak tengok uda macam tu. Alhamdulillah.” Khadeeja memanjatkan kesyukuran. Paling tidak ada ketua yang tidak meninggalkan agama dalam keluarga mereka. Bukankah nanti, Bukhari itu akan menjadi seorang lelaki dewasa? Jika abangnya tak mampu menjadi wali yang baik buat dirinya nanti, paling tidak masih ada Bukhari sebagai pengganti.

            Tapi jauh di sudut hati Khadeeja yang paling dalam dia mahu abangnya berubah. Dia tahu abangnya itu seorang abang yang bertanggungjawab tapi jika tanggungjawab abangnya sebagai hamba tak terlaksana, Khadeeja tetap akan rasa terkilan. Hidup ini bukan sekadar tanggungjawab sesama manusia, tapi sebagai hamba!

            “Ya, uda tu lain sikit. Alhamdulillah. Dah pinggan dan lauk tu semua susun dekat tikar depan. Kejap lagi baliklah along dengan uda tu.” Arah Puan Rosnah. Apabila berkumpul beramai-ramai ni mereka lebih gemar duduk bersila makan di atas tikar mengkuang.

            “Baik mak.” Khadeeja mula mengatur langkah ke depan bersama lauk pauk yang sudah disusun cantik di dalam dulang.

            Sedang asyik Khadeeja menyusun lauk di ruang tengah rumah, adiknya Bukhari sudah pulang dari surau. Kemas berpakaian baju melayu dan berkain pelikat.

            “Haa uda, dari mana?” soalnya Khadeeja walaupun dia sudah tahu jawapan adiknya itu.

            Bukhari tersenyum sambil dilabuhkan punggungnya di sisi akaknya Khadeeja yang pantas menyusun lauk di atas tikar mengkuang itu. Kopiah putih di kepala dibuka.

            “Pergi surau kak. Malam ni ada tazkirah kat sana.” Jawabnya perlahan.

            “Ohh baguslah. Molek anak muda rajin ke surau lebih-lebih pemuda macam uda ni.”

            “Em, akak sem ni last kan kak? Lepas ni habis diploma la ya kak?” Tanya Bukhari ingin tahu.

            “Haah doakan akak. Kalau dapat kerja lepas diploma ni akak terus kerja. Kesian dekat mak dan adik-adik. Mesti korang banyak nak pakai duit.” Luah Khadeeja. Kalau boleh dia nak cari kerja cepat-cepat, biar dia dapat bantu keluarganya!

            “Insya-Allah kak. Doakan uda juga. Nak SPM tahun ni. Takut pula.” Bukhari tersengih menutup rasa takut.

            “Insya-Allah. Mesti boleh skor. Yang penting jaga hubungan dengan Allah, dengan manusia.” Nasihat Khadeeja.

            Belum sempat Bukhari membalas, kedengaran bunyi enjin motorsikal memasuki halaman rumah. Pasti abangnya sudah pulang.

            “Assalamualaikum.” Salam diberi sebaik sahaja Khaleef melangkah masuk ke rumah. Di ruang tengah itu kelihatan adiknya Khadeeja dan Bukhari sedang berbual. Lantas kaki diatur menuju ke arah mereka.

            “Wahh sedap lauk malam ni?” Ujar Khaleef memulakan perbualan. Lauk yang sudah terhidang di hadapan mata nampak menyelerakan.

            “Haah. Mak masak special untuk anak-anak mak.” Tiba pula Puan Rosnah dari arah dapur dengan membawa air basuh tangan. Dari dapur tadi dia sudah mendengar enjin motorsikal anaknya Khaleef.

            “Adik mana mak? Tak nampak pun dari tadi.” Ralit matanya mencari sosok tubuh Balkis. Biasa adik bongsunya itu sedang menonton televisyen.

            “Adik dah tertidur dah, letih sangat agaknya. Tapi petang tadi dia dah makan nasi goreng.” Beritahu Puan Rosnah. Khaleef walaupun anak itu nampak seperti tak matang tapi dia seorang yang bertanggungjawab terhadap adik-adiknya. Seorang abang yang sangat prihatin dengan adik-adiknya.

            “Ohh, patutlah senyap je. Lauk ni mesti sedap ni.” Balas Khaleef ringkas. Cepat saja punggung dilabuh di sebelah Bukhari. Lauk di depan mata memang membuka seleranya sungguh! Lauk asam pedas ikan pari tu memang menggoda sungguh!

            “Kamu ni, macam tak pernah makan pula masakan mak. Ni dari mana ni? Dah solat isyak belum?” Tanya Puan Rosnah prihatin. Anak yang sorang ini harus selalu diawasi. Ada saja kerjanya nanti.

            “Dari jumpa kawan mak. Belum solat isyak lagi mak. Nanti Khaleef solatlah. Lapar.” Khaleef tayang wajah tak bersalah. Pinggan diambil lalu disuakan kepada Khadeeja.

            “Nak nasi.” Senyuman diukir selebar mungkin dengan wajah tak bersalahnya.

            Khadeeja hanya tergelak kecil. Inilah perangai abang yang sorang ni! Luar nampak kasar tapi dalam lembut. Manja!

            “Nah.” Disuakan pinggan yang sudah berisi nasi kepada Khaleef dan dia mula mencedok nasi untuk ahli keluarganya yang lain.

            “Thanks.” Ucap Khaleef, lauk asam pedas dicedok masuk ke dalam pinggannya bersama lauk lain. Memang sangat menggoda, makan pula dengan nasi panas! Belum sempat dia menyuap nasi ke dalam mulut, maknya bersuara lagi.

            “Doa pun tak baca lagi, kamu ni Khaleef. Macam lapar sangat! Baca doa dulu.” Tegur ibunya. Puan Rosnah menggeleng kepala melihat telatah anak yang sorang ini.

            “Uda baca doa uda. Along dah laparlah.” Khaleef pass pula tugasan membaca doa kepada adiknya Bukhari.

            Bukhari hanya tergelak kecil. Faham sangat dengan perangai abangnya yang sorang itu. Habis saja dia membaca doa dan laju saja Khaleef menjamah masakan ibunya. Khaleef, Khaleef.

            Makan malam mereka dihabiskan dengan berbual. Jarang sekali mereka dapat peluang sebegini. Berkongsi cerita bersama. Bergelak ketawa dan menyakat sesama mereka. Walaupun kehidupan mereka taklah semewah mana, tapi ini lebih sudah dari cukup.

            Antara nikmat yang tak mampu dibeli adalah kasih sayang keluarga. Ya takkan mampu dibeli! Selagi punya ahli keluarga, hargailah walaupun seteruk manapun mereka. Ahli keluarga inilah yang akan ada di saat kita dalam kesusahan nanti. Dan saat kita mati nanti pun, mereka inilah orang pertama yang akan menguruskan jenazah kita nanti. Ya mereka.
           
“Wahai orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka...”

~At-Tahrim: 6~

No comments:

Post a Comment