Hati ini,
Kadang sukar dimengerti,
Masih bertanya hikmah di
sepanjang takdir hidup ini,
Masih mencari arah di
sepanjang perjalanan ini.
Sedangkan berulang kali,
Iman cuba mengingatkan diri,
Yakinlah dengan takdir
Ilahi,
Takdir yang pasti terbaik
buat diri ini.
Wahai hati,
Pasakkanlah sepenuhnya
pergantungan pada Ilahi,
Teruskanlah mencari hikmah
yang tersembunyi,
Lihat dengan mata hati,
Bukan dengan emosi,
Pada takdir yang sudah
diatur cantik oleh Ilahi.
Wahai hati,
Takdir hidupmu telah ditulis
oleh Dia,
Dengan penuh cinta.
Senyum dan teruslah
berjalan,
Menggapai citamu setinggi
awan,
Berserta dengan restu Tuhan.
KHALEEF mula mengeluarkan kotak rokok, jam di
tangan dijeling sekilas. Hampir pukul dua petang. Usai saja makan dia kembali
ke portnya untuk merokok. Di tepi tangga hujung inilah yang dirinya
selalu melepak. Tangga yang jarang menjadi laluan orang ramai.
Khaleef teringatkan insiden pagi tadi. Bertemu dengan gadis entah dari mana datangnya tapi cukup menghantar debar yang luar biasa. Tapi apabila memikirkan siapa dirinya, dia tahu dia bagaikan tak layak buat sesiapa!
Mana mungkin ada gadis yang mahu dan sudi menerima dirinya. Dia, Khaleef Wildan. Bagaikan tak punya kelebihan apa-apa. Jika nak dibandingkan dia dengan pemuda lain bagaikan langit dan bumi. Jauh bezanya.
Lihat saja sepupunya Faiz. Dia dan Faiz banyak bezanya. Kelulusannya setakat SPM saja. Sungguh dia rasa sangat rendah diri. Dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang bermasalah membuatkan dia bagaikan hilang keyakinan diri. Bagaikan ada batu besar yang menghalang dirinya dari terus melangkah.
Walaupun keputusan SPM agak baik tapi langkahnya bagaikan tersekat untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Ibu dan adik-adiknya perlukan dia. Menjadi anak sulung dalam keluarga, sungguh tanggungjawabnya bukan mudah.
“Hai Leef, buat apa kat sini? Merokok lagi?” Tegur satu suara sambil menolak pintu di hujung tangga itu.
“Em, mak cik dah makan?” Soalan yang ditanya hanya dibiarkan sepi.
Di hadapannya kelihatan Mak Cik Zainab sedang tersenyum memandangnya sambil memegang sebatang penyapu. Mahu menyambung tugas barangkali. Mak Cik Zainab, wanita separuh abad itu jugalah temannya. Wanita yang penyayang itu sudah dianggap bagaikan ibu sendiri.
“Dah. Leef, kalau boleh berhentilah merokok Leef. Tak ada faedahnya merokok ni. Gaji simpan buat ibu dan adik-adik.” Lembut wanita itu menasihat, tanpa jemu. Dia menganggap Khaleef seperti anaknya sendiri. Dia tahu Khaleef pemuda yang baik. Khaleef juga rajin membantunya.
“Insya-Allah mak cik. Doakanlah ya mak cik.” Hanya itu mampu dijawab Khaleef. Tersilap langkah dan bergaul dengan rakan yang merokok, dia terjebak sama. Jiwa remaja dan sikap ingin mencuba sesuatu yang baru, tapi itu sikapnya lima tahun dulu. Sikap itulah yang membuatkan dia terjebak sama merokok sehingga hari ini.
Bukan dia tak mahu berhenti merokok, tapi baginya dengan
merokok sajalah dia bagaikan lupa masalahnya seketika. Dan sungguh nak berhenti
merokok ni bukan mudah. Apa orang kata, mujahadah. Haaa mujahadah tu yang
payah.
“Mak cik selalu doakan kau Khaleef. Mak cik anggap kau
pun dah macam anak mak cik sendiri. Mak cik pun takde siapa dah Khaleef.” Dalam
suara Mak Cik Zainab. Ada sendu pada nada suara itu. Khaleef kenal Mak Cik
Zainab sudah lama. Dia kenal Mak Cik Zainab itu bagaimana.
“Khaleef kan ada. Khaleef boleh jadi anak mak cik.” Senyuman diukir selebar mungkin. Dia tahu duka hati orang tua itu. Khaleef tahu.
“Takpe Khaleef, ini dah memang ujian hidup mak cik. Setiap orang ada bahagian ujian masing-masing. Khaleef diuji dengan benda lain, mak cik diuji dengan benda lain. Dunia ni memang tempat ujian Khaleef.” Mak Cik Zainab tersenyum. Sungguh wanita tua ini sangat tabah orangnya. Diuji berkali-kali tapi tetap tabah. Tetap tak rebah!
Mak Cik Zainab ini memang sebatang kara. Mak Cik Zainab pernah berkahwin dahulu tapi jodohnya dengan suami tak lama. Suaminya meninggal akibat kemalangan jalan raya dan lebih sedih lagi satu-satu anak Mak Cik Zainab dan suami turut meninggal dalam kemalangan itu.
Bagi Khaleef, apabila dia merenung ujian-ujian hidup insan di sekeliling dia, dia jadi bersyukur. Lebih ramai lagi yang ujiannya hebat dari dia. Sekurang-kurangnya dia masih punya keluarga. Harta dunia, takpe dia masih boleh cari. Tapi keluarga? Takkan punya gantinya!
Hidup ini, yang membuatkan kita bahagia adalah dengan bersangka baik pada aturan takdir-Nya dan bersyukur. Kalau kita rasa ujian kita berat, lebih ramai lagi yang diuji hebat.
“Iye Khaleef, dah pergi sambung kerja tu.” Suara Mak Cik Zainab menyentak muhasabah dirinya dan terus membawa dia ke terus ke realiti.
“Baik mak cik. Sama-samalah kita buat kerja ya. Khaleef pergi dulu mak cik.” Dia mula bangun dan memulakan langkah untuk menyambung tugasannya. Rehat tengah hari selama satu jam sahaja.
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan: “Kami beriman,” dan mereka tidak diuji?
Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang
sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang yang benar dan pasti
mengetahui tentang orang yang berdusta.”
~Al-‘Ankabut:
2 dan 3~
Bestt . Tak pernah mengecewakan ! Good luck kak nisa .
ReplyDelete