Thursday, 2 June 2016

BAB 2 JODOH DARI HATI

Saat mata terpaku memandang wajahmu,
Hati bagaikan bersatu,,
Bicara menjadi kelu,
Dan bumi bagaikan berhenti memutar waktu.

DIA menekan loceng bas dan sebaik sahaja bas berhenti laju langkahnya keluar dari bas itu. Nafas ditarik dalam-dalam. Debar hatinya tak menentu saat memandang wajah gadis itu. Dia memandang sekeliling, ini bukan destinasi yang ingin dituju tapi debar hatinya membuatkan dia nekad turun dari bas itu. Kotak rokok dikeluarkan, sebatang rokok mula dinyalakan dengan lighter.

            Wajah gadis itu tidaklah secantik mana tapi cukup menghantar debaran yang menggila. Wajah gadis itu biasa-biasa saja. Dia pernah bertemu ramai gadis yang jauh lebih cantik dari gadis itu, tapi entah mengapa debaran dadanya luar biasa. Cinta? Ahh gila!! Baru pertama kali bertemu, mana mungkin hatinya terpaut pada gadis itu!
            
Putung rokok yang sudah habis dihisap dipijak. Dia mengerling jam di tangan. Sudah hampir sembilan pagi! Hari ini nampaknya nasibnya kurang baik. Sudahlah motorsikalnya rosak dan dia terpaksa pula menaiki bas. Tiba-tiba terserempak pula dengan gadis yang entah datangnya dari mana. Tapi yang lagi tragisnya, apabila jantung sendiri menghantar debaran luar biasa, dan sekarang tengoklah nasibnya!
          
  Pinnnn! Hon kereta yang entah dari mana menyentak keluhannya. Leher dipanjangkan melihat Si Tuan empunya kereta. Elok saja kereta Toyota Camry itu terparkir di hadapannya.
            
“Buat apa kat sini bro? Tak kerja ke hari ni?” Sapa si pemuda yang kemas berkemeja dan bertali leher sambil menurunkan tingkap keretanya menegur dia.
            
“Eh, kerja. Tapi motorsikal problem. Kau dari mana ni Faiz?” Dia bertanya. Faiz itu sepupunya. Entah bagaikan berjodoh pula dia dengan si Faiz ni!
          
  “Aku nak pergi kerja ni bro. Dah lah, mari masuk. Aku hantar kau ke tempat kerja.” Ajak Faiz apabila dilihatnya Khaleef masih pegun di situ menanti reaksinya.
           
 “Eh takpe ke?” Soal Khaleef teragak-agak. Tapi langkah kaki diatur juga ke kereta Toyota Camry yang berwarna putih itu. Dia bagaikan tak punya pilihan lain selain dari menumpang saja kereta sepupunya itu!
           
 Faiz Imani, anak ibu saudaranya atau lebih mesra dipanggilnya sebagai Mak Ngah. Anak orang senang, berbeza dengan dirinya yang sudah terbiasa hidup susah sejak dari kecil lagi. Baginya Faiz cukup pakej sebagai lelaki pilihan untuk dijadikan suami, berbeza dengan dirinya. Faiz itu lulusan perubatan dari universiti Al Azhar.

Dan dia pula? Kelulusannya hanya sekadar SPM dan dia hanya bekerja sebagai tukang cuci di salah sebuah universiti di ibu kota. Kalau nak dibandingkan dia dan Faiz memang bagai langit dan bumilah jawabnya.
        
    “Motorsikal dah hantar ke bengkel ke?” Soal Faiz sebaik saja sepupunya itu melabuhkan punggung ke kerusi keretanya.

            “Petang kejap lagi aku hantar. Tadi kelam kabut nak ke tempat kerja.” Balas Khaleef selamba.
         
   “Eh tapi kenapa kau tunggu bas kat sini pula? Kenapa tak tunggu kat rumah je?” soal Faiz pelik. Mana taknya, rumah Si Khaleef ni bukan kawasan sini. Jauh pulak mamat ni menapak nak ke perhentian bas sini.

            “Err.. sebenarnya..” Gugup pula Khaleef ingin menjawab soalan sepupunya itu. Khaleef telan air liur berkali-kali sambil akalnya memikirkan jawapan yang sepatutnya.

            “Em, aku ada hal tadi kat area sini.” Sambungnya ringkas. Jawapan yang tak meminta untuk Faiz menyoalnya lagi.

            “Ohh.” Dan itu sahaja yang terluah dari bibir Faiz dan sudah cukup untuk menghilangkan gugup Khaleef.

            Keadaan di dalam kereta agak sunyi seketika lantas Khaleef mengeluarkan kotak rokok. Bosan, bagaikan tiada topik pula untuk dibualkan dia bersama Faiz. Waktu kecil dulu mereka agak rapat tapi semenjak sekolah menengah dan Faiz sudah mula memasuki asrama penuh hubungan mereka menjadi kian renggang.

            “Sori bro, dalam kereta ni, no smoke.” Faiz mematikan hajat Khaleef sebaik saja dilihatnya pemuda itu mula mengeluarkan rokok dari kotaknya. Dalam hatinya yang paling dalam, dia sangat kasihankan pemuda itu. simpatinya tumpah buat pemuda itu.

            Faiz tahu, Khaleef masih lagi mencari identiti dirinya. Pemuda itu muda dua tahun dari dirinya. Dibesarkan dalam keluarga yang agak susah dengan penceraian orang tuanya membuatkan Khaleef menjadi seperti sekarang. Dia tahu Khaleef seorang pemuda yang baik jika kena dengan didikannya.

            “Sori Faiz. Lupa.” Khaleef hanya tersengih. Dia sedar kesilapan dirinya.

            Lima belas minit kemudian, Faiz memberhentikan keretanya di hadapan tempat kerja Khaleef dan dia tersenyum sambil menghulurkan sesuatu buat pemuda itu.

            “Nah, ambil ni Khaleef. Buat belanja baiki motorsikal.” Ujar Faiz sambil menghulurkan tiga keeping not seratus.

            “Eh, takpe Faiz.” Khaleef menolak perlahan wang yang dihulurkan.

            “Ambil, taknak buat belanja baiki motor, buat belanja adik-adik.” Kali ini lebih lebar senyuman Faiz. Tanda yang dia memang benar-benar ikhlas. Faiz tahu keluarga Mak Su nya perlukan wang. Khaleef lah yang banyak berkorban untuk adik-adiknya semenjak ibu bapanya bercerai. Pemuda itu, jika dididik kena dengan caranya, pasti akan menjadi pemuda yang hebat suatu hari nanti. Faiz yakin itu.

            “Thanks bro, aku gerak dulu.” Lambat-lambat diambil juga wang itu dari tangan sepupunya itu. Khaleef tahu ibu dan adik-adiknya perlukan wang itu. Dia membuka pintu kereta dan langkah diatur untuk memulakan tugasannya.

            Faiz hanya memandang langkah Khaleef yang semakin menjauh. Hatinya sayu melihat nasib sepupunya itu. Dia hanya mampu menghulurkan bantuan dari segi kewangan, tetapi dia tahu anak muda itu bukan sekadar patut dibantu dari segi material tapi dalamannya lebih-lebih lagi. Jiwa dan semangat anak muda itu harus diubati. Tapi bagaimana caranya dia sendiri tak pasti. Khaleef harus dibantu untuk dipulihkan jiwanya. Itu lebih utama. Dan benarlah, didikan orang tua memainkan peranan dalam mendidik anak-anak. Lahir dari keluarga yang kurang kasih sayang membentuk diri anak muda itu sekarang.


“Anak-anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkan anak itu sama ada untuk menjadi Yahudi, Majusi, Nasrani atau Islam.”

No comments:

Post a Comment