“Betapa banyak amalan yang kecil menjadi
besar kerana sebab niat. Dan betapa banyak amalan yang besar menjadi kecil
kerana sebab niat.”
~Ibnu Mubarak~
HUJUNG MINGGU ITU, seperti yang dijanjikan Faiz, dia
berkunjung ke rumah Puan Suraya. Ada niat dan hajat yang ingin disampaikan. Ada
langkah yang harus diarah ke hadapan. Dalam hatinya, tak putus doa dikirimkan.
Faiz yakin niat yang baik pasti Allah permudahkan.
Niatnya untuk bertaaruf dengan Irdina hanya satu. Dia mahu jadikan Irdina
sebagai yang halal untuknya. Dia mahu melengkapkan separuh dari agamanya. Tapi
seteliti manapun perancangan dia, Faiz tahu perancangan-Nya lebih baik. Usaha
ini hanya sebagai langkah awal sahaja. Selebihnya dia bertawakal kepada Allah.
Toyota Camry berwarna putih itu
diparkir di luar kawasan rumah dua tingkat itu. Faiz memerhati rumah itu, kalau
seperti location yang diberi oleh Puan Suraya melalui applikasi Whatsapp
memang benarlah ini rumahnya.
Dari dalam kereta, rumah dua tingkat
yang berwarna hijau itu diperhati lama, melihat halaman rumah yang cantik
dihias, Faiz yakin penghuninya sangat sukakan kedamaian. Cantik halaman rumah
itu dihias dengan pelbagai bunga dan pokok. Ada gazebo dan buaian berwarna
putih di luar rumah. Air terjun buatan manusia itu juga nampak cantik terletak
di tengah laman itu. Nature dan nampak tenang.
Enjin kereta dimatikan dan dia
melangkah keluar. Dia berdiri lama di luar rumah dan lantas tangannya menekan
loceng di tepi pintu masuk itu. Salam diberi. Tapi debar di hati seakan tidak
menentu pula. Debar untuk melihat gadis itu.
Puan Suraya menjenguk ke tingkap apabila
terdengar loceng rumah dibunyikan. Rasanya dia tahu siapa yang berkunjung ke
rumahnya hari minggu itu. Pasti Faiz. Anak muda itu sudah memberitahunya dari
awal lagi dan dia sendiri sudah menyiapkan beberapa juadah istimewa untuk
menyambut kedatangan anak muda itu.
Tepat tekaan Puan Suraya, kelihatan
Faiz sedang berdiri di luar pagar rumahnya. Tampak kemas anak muda itu dengan
t-shirt polonya. Nampak lebih santai. Ahh, pasti saja anak muda itu
menitikberatkan penampilan diri, kerjayanya saja sudah seorang doktor!
Pantas Puan Suraya membuka pintu,
dia memang sudah bersiap dari tadi. Dia memakai jubah berwarna ungu dan
bertudung senada dengan jubahnya. Irdina pun sudah diingatkan dengan kedatangan
Faiz. Entah apa yang dibuat anak itu di tingkat atas pun Puan Suraya tak tahu!
Tadi ada saja anak itu menolongnya di dapur, tapi tiba-tiba hilang pula! Anak
itu memang pelbagai kerenahnya.
“Hah, Faiz. Masuklah, senang tak
cari rumah mak cik?” Sambut Puan Suraya ramah. Dia menghadiahkan senyuman buat
anak muda itu. Langkah diatur ke arah pintu pagar dan dibuka kuncinya.
“Alhamdulillah, senang juga mak cik.
Guna waze je.” Balas Faiz sambil tergelak kecil. Zaman sekarang zaman
teknologi. Teknologi yang memudahkan manusia. Tapi ada juga keburukan teknologi
ni. Tapi keburukan dan kebaikan itu terpulang pada kita untuk menggunakannya.
Zaman sekarang zaman manusia sangat
terikat dengan dunia gadget. Pergi ke mana pasti telefon bimbit tak lekang di
tangan. Dengan pelbagai applikasi dan media sosial yang sangat terikat dengan
manusia. Gadget itu memang memudahkan tapi jika tak diurus sebaiknya akan ada
juga mudaratnya.
Lihat sahaja berapa ramai ibu bapa
yang terlampau leka dengan gadget sampai anak di depan mata diabaikan? Anak
kecil yang seharusnya diberi perhatian dan kasih sayang terpaksa pula
‘bersaing’ dengan gadget untuk meraih perhatian ibu bapa.
Itu belum masuk lagi, bab berapa
ramai pasangan yang curang dengan menggunakan gadget dan media sosial. Pasangan
di depan mata, tak dilayan sewajarnya. Dan media sosial hari ini yang sangat
menakutkan. Silap manusia lain habis dicanangnya satu dunia. Katanya biar satu
dunia tahu kesilapan orang itu. Dunia viral katanya!
Bagi Faiz, media sosial ini ada baik
dan buruknya. Boleh juga jadi sebagai penaut ukhuwah dan boleh jadi juga
sebagai pemecah ukhuwah. Lihat saja berapa ramai yang meluahkan rasa tak puas
hati kepada pasangan, keluarga, sahabat hatta jiran sekalipun di media sosial.
Padahal boleh saja mereka berbincang face to face berbanding mengutuk
dan memerli di media sosial. Ahh betapa kadangkala semakin maju teknologi,
semakin mundur akhlak dan ketamadunan manusia! Nampak seperti semakin maju,
hakikatnya semakin mundur!
“Ha, jemput masuk Faiz.” Kedengaran
suara Puan Suraya menjemputnya masuk sekaligus mematikan lamunan Faiz.
“Terima kasih mak cik sudi terima
kunjungan Faiz.” Balasnya sambil tersenyum. Mujurlah Puan Suraya ini jenis yang
meraikan tetamu. Faiz pun hairan dengan dirinya, entah sebab apa yang
membuatkannya nekad sebegini.
“Sama-sama, tetamu kan datang bawa
rezeki. Nanti free bolehlah datang lagi.” Ramah Puan Suraya melayan anak
muda itu.
Mereka masuk ke dalam rumah, Faiz
menebarkan pandangannya mencari sosok tubuh si gadis. Manalah gadis tu ya? Nak
ditanya segan.
“Jemput duduk dulu ya Faiz, mak cik
panggil Dina jap. Entah apalah yang dibuatnya kat atas.” Kata Puan Suraya.
Pening kepalanya dengan telatah anak yang sorang ini. Jangan dibantainya tidur
sudah budak ni!
“Irdina, kamu buat apa ni? Doktor
Faiz tu dah datang dah.” Bebel Puan Suraya sambil menolak pintu bilik anak
gadisnya itu.
“Tengah pakai tudung ni ibu. Kejap
lagi Dina turun, hidang air.” Balas Irdina, tangannya laju melilit tudung.
“Ok ibu tunggu kat bawah, jangan
lama sangat. Kan ada tetamu tu.” Ujar Puan Suraya mengalah. Dia mula melangkah
ke tingkat bawah.
Irdina tersenyum di hadapan cermin.
Puas hati dengan penampilannya dia turun ke tingkat bawah. Air untuk tetamu dia
dah buat dah sebentar tadi cuma tinggal hidangkan saja. Dessert pun dah
tersedia.
Irdina turun perlahan-lahan. Rasa
lain macam pula walaupun dia dah kenal pun Doktor Faiz tu. Entah apa yang
membuatkan doktor muda itu rajin untuk berkunjung ke rumahnya Irdina sendiri
tak tahu. Nak eratkan silaturrahim agaknya.
“Assalamualaikum doktor.” Irdina
memberi salam. Kelihatan sosok tubuh pemuda itu sedang membelakanginya. Rancak
berborak dengan ibu nampaknya!
“Eh waalaikumsalam awak. Sihat ke?
Dah ok yang luka hari tu?” Soal Faiz, dilihatnya gadis itu manis bertudung pink
hari ini.
“Alhamdulillah, sihat je doktor.
Luka sikit je hari tu. Tapi fobia tu ada sikit. Hehe.” Ujar Irdina. Dan di atas
meja sudah elok air yang dibuatnya tadi dihidangkan oleh ibunya. Alamak, dia
lambat lagilah ni!
“Ohh alhamdulillah, fobia tu
insya-Allah lama-lama hilanglah tu.” Balas Faiz.
“Insya-Allah doktor, kejap ya
doktor. Saya ke dapur kejap ya doktor.” Irdina meminta diri. Ada lagi juadah
yang harus dihidangkan untuk tetamunya itu. Lagipun Irdina segan pula nak
berbual dengan doktor muda itu. Bukan dia kenal sangat dengan Doktor Faiz tu.
Kiranya ke dapur ni adalah cara untuk elakkan dari bersembang dengan doktor tu
pun ya jugak, mengelat kata orang!
“Macam tulah Si Irdina tu Faiz. Kami
berdua je kat rumah ni. Irdina tu memang manja orangnya. Anak tunggal.” Puan
Suraya mula membuka cerita. Sudah dipanggilnya Faiz sahaja, lebih mesra seperti
yang dipinta oleh anak muda itu.
“Oh mak cik tinggal berdua je dengan
Dina ya.” Tanya Faiz inginkan kepastian.
“Haah, mak cik dengan suami lama dah
pisah. Irdina tulah kawan mak cik. Kawan gaduh, kawan bermanja, haa Irdina
tulah.”
“Ohh..” balas Faiz ringkas. Patutlah
Irdina nampak manja. Rupanya anak tunggal.
“Dia tu baru habis belajar, masa
kena ragut tu nak pergi cari kerjalah tu. Hah, sekarang dah fobia pulak. Haha.”
Tertawa kecil Puan Suraya apabila mengingatkan telatah anak yang sorang itu.
Entah mengapa laju pula mulutnya bercerita perihal Irdina
kepada Faiz. Selalunya dia jarang bercerita perihal anaknya itu kepada orang
luar. Mungkin dia mulai selesa dengan pemuda itu.
“Biasalah tu mak cik. Memang biasa akan fobia sikit untuk
kes ragut ni. Ambil masa, nanti ok lah tu. Mak cik sebenarnya saya ada hajat.”
Ujar Faiz berterus terang. Faiz rasa inilah masa terbaik untuk dia berterus
terang. Kalau kata orang, masih terlalu awal untuk dia membuat keputusan, tapi
baginya benda baik takde sebab untuk dilengahkan.
“Hajat apa Faiz?” Soal Puan Suraya
ingin tahu. Dari nada anak muda itu, dia tahu hal yang akan dibincangkan
serius.
“Em macam ni mak cik. Sebenarnya
saya nak mintak izin dengan mak cik untuk berkenalan dengan Irdina. Jika
sesuai, untuk dijadikan isteri.” Direct to the point! Faiz ini orangnya
memang tak pandai berkias.
“Ehem..” Tak terluah kata yang
keluar dari mulut Puan Suraya.
Dan Irdina yang sudah mampir ke
ruang tamu terus mati langkahnya! Terkejut.
“Saya datang minta dengan cara baik
untuk kenal dengan Dina, mintak izin dulu dari mak cik. Kalau mak cik izinkan
barulah saya berkenalan dengan Irdina mak cik.” Ujar Faiz lagi. Melihat reaksi
spontan Puan Suraya, dia tahu wanita itu terkejut.
“Emm, kalau setakat nak kenal tu
insya-Allah. Mak cik ok je, selagi Faiz dan Irdina tahu batas, tahu syariat mak
cik izinkan.” Putus Puan Suraya.
Anak muda di hadapannya bukan
calang-calang orang. Seorang pemuda yang berani pastinya! Tapi jauh di sudut
hati Puan Suraya dia jadi tertanya sendiri, atas dasar apa pemuda itu menyukai
anaknya? Sudah lamakah pemuda itu mengenali Irdina sehingga nekad sebegini
sekali. Dan dari mana asal pemuda itu, siapa keluarganya, siapa orang tuanya.
Ahh banyak sebenarnya persoalan yang masih berbaki untuk ditanya nanti.
Tapi Puan Suraya yakin Faiz serius
dengan kata-katanya untuk berkenalan dengan Irdina. Pemuda itu datang dengan
cara terhormat. Meminta izin darinya untuk berkenalan dengan Irdina. Sudah
pasti pemuda itu memuliakan dia sebagai orang tua Irdina. Tentang perihal anak
muda itu, akan diselidiki kemudian!
Mendengar jawapan dari mulut ibunya,
Irdina jadi terkedu lagi. Apa?? Berkenalan dengan Faiz dan kalau sesuai dia
kahwin dengan Faiz?? Ohh drama apakah ini? Pengsan!!
“Dan kahwinlah orang-orang yang masih membujang di antara kamu dan juga
yang layak (berkahwin) daripada hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan.
Jika mereka miskin, Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan
kurniaan-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberiannya) lagi Maha Mengetahui.” ~An
Nur: 32~
Best..menarik.. smbung pls... hrp sgt bleh smbung bab sterusnya..
ReplyDeleteYeah betoiiii . Bestttt . Sambung la akakkkkk . Hehe
ReplyDelete