Wednesday, 15 June 2016

BAB 5 JODOH DARI HATI


Hidup ini,
Jangan pernah bandingkan hidup kita dengan orang lain,
Setiap orang punya bahagian masing-masing,
Kekayaan,
Kesihatan,
Kecantikan,
Semuanya berbeza,
Sedangkan saiz kasut kita juga berbeza,
Inikan pula jalan hidup kita.
Teruslah bahagia,
Dengan bersangka baik pada takdir yang ditulis oleh Dia.

PETANG ITU, Khaleef pulang ke rumah sendirian dengan menaiki bas. Motor yang rosak baru saja dihantar ke bengkel. Di tangannya terdapat beberapa plastik yang berisi makanan. Duit pemberian Faiz tadi dibelikan sedikit makanan untuk adik-adiknya.

“Assalamualaikum.” Salam diberi sebaik saja dia mula masuk ke dalam rumah.

 “Waalaikumsalam, eh along dah balik?” Sapa adik perempuannya. Adik bongsu yang baru berusia sepuluh tahun yang sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah.

“Haah, mak mana?” tanya Khaleef, pandangan ditebarkan ke pelusuk rumah mencari sosok tubuh ibunya.

“Ohh mak ke belakang kejap. Kata nak ambil pucuk ubi untuk buat lauk.” Jawab Balqis. Matanya masih lagi ralit memandang televisyen. Entah cerita apa yang menarik perhatiannya, Khaleef pun tak tahu.

“Ni along ada bawak balik sikit makanan. Makanlah, along letak atas meja ni tau.” Ujar Khaleef sambil dia mula melangkah masuk ke dalam bilik.

Rumahnya sederhana saja. Dia bukanlah orang senang, dia anak sulung dari lima beradik. Adik-adiknya masih belajar lagi. Ibunya pula hanya mengambil upah menjahit dan menjaga anak orang kampung. Sejak ditinggalkan oleh ayahnya, dialah yang banyak berkorban untuk keluarganya. Dialah ketua keluarga.

Khaleef masih ingat, ketika usianya 15 tahun, ayah dan ibunya bercerai. Tika itu, ibunya bagaikan hilang tempat bergantung. Mujur ada saudara-maranya yang banyak membantu. Ketika usia remaja lagi Khaleef sudah terbiasa hidup begitu. Hidup berdikari.

Ya dia pernah memberontak dengan takdir Ilahi. Seakan tidak redha dengan apa yang tertulis buatnya dan keluarga. Kerap kali dipersoalkan, kenapa dia diuji sebegitu hebat. Jiwanya memberontak dan sebab itu jugalah dia tersilap langkah. Dia bergaul dengan rakan-rakan yang rosak akhlaknya. Baginya itu saja jalan untuk dia melupakan seketika masalahnya.

Dia mula belajar ponteng kelas, dia mula belajar merokok, dia mula belajar merempit. Baginya itulah dunia untuk dia melupakan seketika masalah keluarganya. Sungguh dia bagaikan jatuh terduduk dengan takdir hidupnya.

Diuji dengan kemiskinan, ditinggalkan pula oleh si ayah yang tertarik dengan perempuan lain membuatkan dia seakan membenci takdir hidupnya. Sungguh dia cemburu melihat kebahagiaan orang lain. Dia cemburu melihat kebahagiaan sepupunya Faiz. Takdir hidupnya dan Faiz bagaikan langit dengan bumi!

Beruntungnya Faiz, lahir dari keluarga yang senang. Keluarga yang serba lengkap. Sungguh dia cemburu. Tapi itu semua dulu, seiring berputarnya waktu dia mulai redha dengan takdir hidupnya. Dia tahu dia yang harus berusaha untuk membantu ibunya. Dia yang harus menguatkan ibunya. Dia yang harus mengorak langkah untuk berubah nasib keluarganya.

Perlahan-lahan dia mula keluar dari dunia gelapnya dan dia mula mencari kerja. Keputusan SPM nya taklah baik mana tapi taklah teruk mana. Tapi kerana sukar mendapat kerja dia bekerja di universiti itu. Sebagai tukang cuci, ya ramai yang memandang rendah dengan dirinya. Dia tahu itu!

Tapi Khaleef yakin satu hari nanti, dia akan keluar dari dunianya sekarang. Dia mahu mengorak langkah jauh ke depan. Tapi buat masa sekarang, dia harus bekerja dahulu kerana ekonomi keluarganya masih belum stabil. Dia masih punya cita-cita untuk meneruskan pengajian. Khaleef yakin hanya dengan ilmu yang akan boleh mengubah nasib keluarga mereka. Tapi buat masa sekarang, biar masa yang menentukan.

“Along, dah balik?” Langsir pintu bilik terkuak dari luar dan suara ibunya, Puan Rosnah kedengaran menyapanya sekaligus menghentikan lamunannya.

“Dah mak, along ada belikan kuih sikit untuk mak dan adik-adik.” Jawabnya, wajah ibunya dipandang lama. Dia mencongak usia ibunya, hampir 45 tahun tapi wajah itu sudah nampak tua dari usianya.

“Ok terima kasih along. Petang ni mak nak masak lauk pucuk ubi masak lemak. Lepas tu mak nak goreng ikan masin.” Ujar Puan Rosnah.

“Wah sedap tu mak.” Khaleef sudah terbayang lauk pucuk ubi yang dimasak lemak dan dimakan pula dengan ikan masin. Pehhh. Makan pula dengan nasi panas. Memang tak pandang kiri kananlah jawabnya!

Alhamdulillah walaupun kehidupan mereka sekeluarga tak mewah, tapi cukup seadanya. Duduk di kampung, banyak juga sumber makanan di sekeliling mereka. Ibunya juga rajin memanfaatkan tanah. Di sekeliling rumahnya ada kebun kecil untuk ibunya menanam sayuran dan buahan. Di belakang rumahnya pula, pucuk ubi dan sayur kangkung banyak pula tumbuh melata. Ia bagaikan rahmat untuk keluarganya. Khaleef pasti Allah membantunya dengan cara yang tak disangka!

“Alaa lauk biasa je tu. Dah, mak nak ke dapur. Minggu ni adik kamu Khadeeja katanya nak balik.”

Khaleef tersenyum apabila mengingatkan adiknya Khadeeja. Khadeeja kini sedang belajar di universiti di Pantai Timur. Adiknya yang berusia 20 tahun itulah yang diharap mampu mengubah nasib keluarganya kelak.

Di bawah Khadeeja, adiknya yang bernama Bukhari, adiknya itu sedang menduduki SPM tahun ini dan selepas Bukhari adiknya bernama Batrisya yang masih juga sedang bersekolah. Adiknya itu sedang duduk di asrama. Khaleef bersyukur, walaupun keluarganya tak seperti orang lain tanpa ayah di sisi, tapi adik-adiknya pandai membawa diri dan berdikari. Masing-masing cemerlang dalam akademik. Cukup dirinya seorang saja yang agak kurang akademik berbanding yang lain. Dan si bongsu yang kecil, Si Balkis, adiknya itu menjadi peneman ibunya di rumah dan anak kecil itu juga tak kurang pandai dan petahnya!

Khaleef yakin Allah membantunya dengan cara yang tak disangka. Dia tahu, mungkin bahagian ujian mereka ialah kurang harta dan tiada bapa di sisi tetapi Allah menggantikannya dengan yang lain pula.

Dan lama-kelamaan Khaleef mula sedar dan mulai redha dengan takdir hidupnya. Dia tak mahu lagi membandingkan takdir hidupnya dengan orang lain kerana dia tahu setiap orang ujian hidupnya takkan sama. Khaleef yakin Allah akan membantu hamba-Nya dengan jalan yang tak disangka.



“.... Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan membukakan jalan keluar baginya. Dan Dia memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.” ~At-Talaq: 2 dan 3~

1 comment: