Thursday, 6 February 2014

Restu Cinta Dari-Nya 2



BAB 2

BONDA, AYAH..

Bonda,
Kau yang mengandungkan,
Kau yang melahirkan,
Kau yang menyusukan,
Dan kau jua yang membesarkan.

Walau kutabur seguni emas,
Jasamu, pengorbanan tak mungkin mampu kubalas,
Cintamu cinta luar biasa,
Cinta yang kau hulur tulus dari jiwa.

Ayah,
Kasih sayangmu walau tak nampak di mata,
Tapi mampu dirasa dalam jiwa,
Cinta tak kau lahirkan dengan mata kasar,
Tapi dapat dirasa dalam jiwa.

Hidupmu kau habiskan dengan mencurah keringat,
Demi mencari rezeki buat kami,
Agar kami dapat merasa makan walau hanya sesuap nasi.
Cinta yang kau hulur cinta tanpa syarat,
Moga-moga kami sentiasa taat.

            Malam itu walaupun jarum jam sudah menginjak ke angka sebelas malam tapi aku masih lagi setia di hadapan televisyen untuk menonton rancangan kegemaranku, Pencetus Ummah. Rancangan yang sarat dengan informasi yang dianjurkan oleh Astro Oasis.

            Bonda dan ayah masih lagi setia bersamaku di ruang tamu rumah kami. Malam seolah-olah masih muda dan tambahan pula abangku, Wildan mahu pulang ke rumah malam ini. Aku memang agak rapat dengan abangku, Wildan kerana jarak usia kami hanya tiga tahun. Berbanding dengan adik beradikku yang lain, jarak umur kami agak jauh. Abang sulungku, Fawwaz sudah pun bernikah dan kakak keduaku juga Shafiyyah sudah mendirikan rumah tangga. Mereka masing-masing sudah punya keluarga sendiri. Tinggal abangku Wildan dan aku yang masih belum berumah tangga dan itu jugalah yang membuatkan hubungan kami akrab. Waktu kecilku juga sering aku habiskan masa bersama dengan abangku.

            “Bonda, malam ni Abang Chik balik ya bonda?” tanyaku kepada bonda ketika iklan di kaca televisyen. Abang Chik itulah panggilan untuk abangku Wildan.

            “Insya-Allah katanya begitu. Tapi tak sampai pula lagi.” Jawab bonda, wajahnya sudah menunjukkan kerisauan.

 Ayah di sebelah masih lagi fokusnya di kaca televisyen. Begitulah ayah, sentiasa nampak cool di mata kami adik beradik, sangat berbeza dengan bonda yang agak kelam kabut terutamanya jika hal yang melibatkan anak-anaknya.

“Insya-Allah kejap lagi sampailah tu bonda. Jalan jammed agaknya.” Sampuk ayah, memberikan jawapan untuk menenangkan aku dan bonda. See, ayah cool right?

Dalam hati aku mengiakan, mungkin juga jalan sesak. Mataku kembali fokus ke televisyen kerana rancangan Pencetus Ummah sudah bersambung selepas iklan tadi.

Aku sudah tersenyum seorang diri. Yeahhh PU Rahmat! Antara peserta kegemaranku sudah beraksi di mimbar. Anak muda yang seusia denganku, dua puluh tahun tapi hebat di pentas dakwah, masya-Allah!

“Anak dara awak tengok PU Rahmat, senyum sorang-sorang” tiba-tiba suara ayah menegur. Oppss alamak aku tertangkap. Malu, malu!! Tapi ada betulnya juga, sila jaga pandangan. Teguran ayah walaupun agak tidak serius tapi aku tahu ayah benar-benar memaksudkan supaya aku menjaga pandangan.

            Aku hanya tersengih, cuba untuk menutup kesilapan diri. Hah, kan dah kantoi! Tak lama lepas itu, mataku kembali tertancap ke kaca televisyen menyambung kembali fokus. Tajuk tugasan dan isi yang dikupas oleh PU Rahmat tadi sangat terkesan di hati. Hampir saja air mataku menitis tapi aku tahankan saja sebak di dada. Malu pula apabila terkantoi lagi nanti. Ayah nampak saja fokusnya di televisyen tapi ayah juga jenis yang cepat peka dengan keadaan sekelilingnya.

            Petah sungguh syabab ini berbicara, pasti ini bicara dari hati. Pesan bonda bicara dari hati pasti akan terkesan di hati dan auranya menyentuh jiwa. Itu tips yang bonda kongsikan jika ingin menasihati seseorang. Kata bonda bicaralah dengan jiwa, dengan hati. Insya-Allah pasti akan terkesan di hati mad’u juga.

            Aku memandang wajah bonda dan ayah, wajah yang kian dimamah usia. Wajah yang banyak berkorban untuk kami adik-beradik. Andai aku hamparkan segunung emas permata pun belum tentu aku mampu membalas jasa mereka. Melihat wajah tua mereka, melihat kedutan dan rambut yang kian ditumbuhi uban membuatkanku jadi sebak sendiri. Masih banyakkah lagi waktu untuk aku berbakti pada orang tuaku?

            Aku teringat kata-kata PU rahmat:

            “Walau hari ini kita seorang peguam yang petah bicara, walau hari ini kita seorang pemimpin yang memimpin negara, walaupun seorang pencetus ummah di mimbar ini, kita tetap lahir dari rahim seorang ibunda dam dibesarkan oleh air tangan seorang ayahanda. Jangan pernah merasa diri lebih besar berbanding mereka kerana mereka telah banyak berkorban.”

            Sumpah, air mataku ingin menitis saat itu juga dan akhir kalam PU Rahmat sempat menitipkan kata-kata yang membuatkan hatiku sekali lagi menjadi tisu! Kata-kata yang dititipkan khas untuk mamanya.

            “Mama, abang minta maaf tak mampu menjadi anak yang berjaya sentiasa. Tapi abang berjanji akan menjadi anak yang soleh di sisi Allah agar kita sama-sama berpimpin tangan menuju ke syurga dan bersiar-siar di taman-taman syurga.”

            Allahu Allah. Memang sebak rasanya. Lantas aku bangun, mahu saja aku peluk tubuh ayah dan bonda tapi baru saja kakiku ingin melangkah ke arah orang tuaku terdengar pula orang memberi salam dan mengetuk pintu rumah.

            Haish, kacau saja! Baru nak feeling-feeling syahdu. Aku mengeluh perlahan lantas aku mengubah arah langkahku. Bonda dan ayahku sudah tertawa kecil melihat telatahku. Anak bongsu mereka yang sudah pasti banyak ragam dan kerenahnya.

            Aku mengatur langkah ke muka pintu. Aku yakin itu abangku, Wildan. Mendengar suara si pemilik suara itu saja sudah menyakinkanku. Lantas pintu kayu yang diselak dari dalam itu aku buka. Rambut yang agak kusut itu aku kemaskan.

            “Waalaikumsalam.” Jawabku sebaik saja pintu rumah aku buka.

            Aku mengukir senyuman, rasa gembira menyambut abangku pulang ke rumah. Maklumlah sejak abangku menyambung pengajian di Selangor agak jarang kami bersua. Sungguh aku rindu dengan teman gaduhku ini!

            Tiba-tiba pandanganku tertacap kepada pemuda di sebelah abangku. Lantas kuraba kepalaku yang tak bertudung dan bajuku juga berlengan pendek! Bulat terus mataku memandang wajah pemuda di tepi abangku, serta merta jantungku dipalu hebat. Menggelabah! Wajahku kian terasa panas. Lantas aku capai saja apa yang berada di sebelahku. Lalu aku berlari terus ke dalam bilik dengan alas meja di kepalaku!

            Sampai saja di bilik aku mengurut jantung yang masih berdegup kencang. Allahu Allah. Akhirnya aku terduduk di tepi pintu dan tiba-tiba air mataku menitis. Sedih. Mahkota yang selama ini aku simpan kemas untuk tatapan suamiku telah menjadi santapan lelaki lain.

            Aku menyalahkan diri sendiri, menyalahkan kecuaianku. Aku yakin itu abangku maka aku ambil mudah saja membuka pintu tanpa memakai tudung. Lagi pula hari sudah malam, tak pula aku tahu dia membawa pulang temannya sekali. Ini pengajaran hebat buatku!

            Rasa sebak yang hadir sebentar tadi diganti dengan rasa amarah dan rasa malu dalam diri. Siaplah abangku nanti, aku akan belasah cukup-cukup! Selamba balik rumah dan mengajak temannya tanpa memberitahu aku!

            Sedangkan di luar sana, Ammar sudah tertunduk malu. Rasa bersalah mula menguasai diri. Tiba-tiba dia teringat kata-kata Imam As Syafi’e:

Setengah daripada ilmuku hilang akibat terpandang aurat wanita secara tidak sengaja.

            Melihat respon adik Wildan dia tahu gadis itu bukan gadis yang mudah mempamerkan auratnya. Itu lagi menambahkan rasa bersalahnya. Lihat saja tingkah gadis itu, alas meja sanggup  dijadikan tudung untuk menutup auratnya. Allahu..

            Wildan hanya menarik nafas panjang. Rasa bersalah pula, kerana dia aurat adiknya sudah menjadi santapan ajnabi lain. Bukankah dia sebagai abang bertanggungjawab untuk menjaga dan memelihara maruah dan aurat adiknya? Wildan beristighfar panjang. Dia yakin pasti adiknya itu akan merajuk panjang dengannya! Ataupun mungkin adiknya itu akan membelasahnya cukup-cukup!

3 comments:

  1. cukup menyedarkan saya tentang aurat wanita .. huhu rasa sedih pulak baca part aurat wanita tu..

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum warahmatullah..crita ini ad di pasarkan x...?saya ingin mbaca jalan crita y selanjutnya..in syaa allah..

    ReplyDelete
  3. Pengalaman sebegini sebenarnye byk aje dilalui...oleh itu, kite sbg wanita, kena sentiasa beringat...kan..?

    ReplyDelete