Saturday, 14 September 2013

PENGHIJRAHAN CINTA 25


BAB 25

            HUMAIRA bernyanyi-nyanyi kecil pagi itu. Sambil mengemas rumah, bibirnya petah menyanyikan beberapa buah lagu. Hatinya girang kini. Masih teringat dan terasa kehangatan pelukan Wafiq tika dia memberi khabar gembira itu malam tadi. Dengan sabun masih berada di tangan Wafiq memeluknya erat. Terlerai sudah persengketaan mereka hanya dengan khabar gembira itu. Alhamdulillah.

            Humaira melangkah ke bilik kerja, mujurlah kelasnya hari ini batal, dapatlah juga dia mengemas rumah. Dia melangkah masuk ke bilik kerja suaminya, ringkas tapi kemas tersusun. Hanya ada sebuah meja, sebuah rak buku dan sebuah sofa. Bilik yang kecil tapi selesa buat mata yang memandang.

            Mulut Humaira masih petah menyanyikan lagu, dari lagu melayu ke lagu inggeris dan beralih pula ke qasidah. Rasa penat lelah dan kurang sihat selama ini bagaikan hilang begitu saja dengan kehadiran benih yang kian bercambah dalam rahimnya kini. Moga anak ini menjadi saham akhirat buatnya dan Wafiq nanti.

            Humaira membuka luas-luas tingkap bilik itu, biar cahaya mentari dan angin luar masuk ke dalam bilik. Barulah fresh kan? Kakinya melangkah pula ke arah meja kerja Wafiq, mengemaskan fail dan buku yang berselerak sedikit. Disusun cantik fail dan buku tersebut di atas meja. Matanya terpandang pula frame yang menempatkan gambar pernikahan mereka. Diambil dan dikucupnya lembut. Rindunya pada Wafiq. Rindu, rindu, rindu.. Haish mabuk kepayang sudah! Huhu..

            Tangannya membuka pula laci meja kerja Wafiq, ingin mengemas apa yang patut. Baru saja membuka laci tersebut, matanya terpandangkan sesuatu. Diari! Ya diari miliknya tersimpan elok di dalam laci meja kerja milik Wafiq. Tangan Humaira sedikit terketar-ketar ingin menarik keluar diari tersebut.

            “Macam mana diari ni ada kat sini?” Humaira tertanya sendiri.

            “Ohh mungkin aku yang letak sendiri.” Sendiri tanya sendiri jawab. Bagus kan? Huhu..

Humaira menguatkan semangatnya, dia ingin membaca kembali diari yang didalamnya tersimpan seribu kenangan. Ada ibrah yang harus diambil dari kisah lalu.

            Humaira membaca kembali diari lama itu dan kenangan lalu kembali terimbau di mindanya. Kenangan cinta pertama yang hampir memusnahkan hidupnya, kenangan hitam yang hampir meragut kesucian dan harga dirinya. Air matanya kembali menitis mengenangkan khilaf semalam. Andai tanpa rahmat dan hidayah-Nya pasti dia masih melakukan dosa silam.

            Ada ibrah dan hikmah yang tersembunyi dari kisah silamnya, ada harga diri yang harus diangkat kembali. Ada air mata yang harus dibayar semula. Allah. Air matanya kian laju membasahi pipi. Rahsia yang selama ini tersimpan kukuh akhirnya terbongkar jua.

            Tangannya menyelak perlahan diari itu, membacanya dan air mata terus-terusan mengalir laju. Allah, layakkah aku menerima taubat-Mu? Layakkah aku mengangkat dan membayar kembali maruah dan kesucian diri? Layakkah aku menebus dan memperbaiki lagi diri? Tiba-tiba tangannya terhenti di halaman itu. Halaman yang mencoretkan dosa silam yang tak ingin diulangi kembali. Jika diberi pilihan, dia sama sekali tak mahu mengenali insan yang bernama Syafiq itu! Tapi aturan dan hikmah-Nya memujuk diri. Pasti ada sejuta hikmah dan ibrah yang tersembunyi. Dia pasti itu!

1 Jan 2008
Hari baru di tahun baru, aku kembali mengumpulkan semangat yang telah pergi. Mengutip kembali secebis maruah diri yang masih bersisa, mencantum kembali hati yang telah diluka. Sungguh bukan mudah bagiku menerima takdir ini. Hampir seminggu kenangan itu telah berlalu namun tak mudah untuk aku melupakan. Kenangan itu masih tersimpan kemas dalam lipatan memoriku dan mungkin takkan kulupa sepanjang hidupku!

            Minda Humaira melayang jauh lagi, mengingati kenangan silam itu. Hatinya jadi sebak sendiri. Walaupun hampir lima tahun berlalu namun setiap cebis kenangan lalu masih tersimpan kemas dalam memorinya. Sungguh dosa silam semalam takkan mudah dipadam.

            Masih segar diingatannya saat Syafiq mengajaknya ke rumah lelaki itu, kata Syafiq dia ingin memperkenalkan Humaira kepada keluarganya. Dia hanya menurut tanpa membantah, apalah yang diharapkan pada gadis naif yang berusia 16 tahun tika itu? Dia sedikit pun tidak dapat menghidu niat jahat Syafiq, sangkanya Syafiq ikhlas mencintai dirinya. Tetapi rupanya lelaki itu punya muslihat yang tersembunyi, ingin meragut kesucian diri gadis naif sepertinya. Setibanya di rumah Syafiq, lelaki itu mempelawanya masuk dan dia hanya menurut tanpa ragu-ragu walaupun dia sedikit hairan melihat keadaan rumah Syafiq yang sunyi seperti tidak berpenghuni.

            Selepas sahaja dia melabuhkan punggungnya di ruang tamu rumah lelaki itu, sikap Syafiq sudah berubah rentak. Pandangannya penuh dengan nafsu, tingkahnya mula agresif. Keadaan hujan di luar rumah semakin menambahkan lagi nafsu berahi lelaki itu. Humaira sudah mengingil ketakutan dan tika itu dia tidaklah terlalu bodoh untuk menafsir pandangan dan tingkah lelaki itu. Pandangan dan tingkah yang ingin meragut dan menakhluk kesucian dirinya. Syafiq ketika itu bukan seperti Syafiq yang dikenalinya. Benarlah kata orang, apabila syaitan sudah menguasai diri, hanya iman yang mampu menyelamatkan diri.

            Hampir saja maruahnya diragut walaupun tanpa kerelaan dirinya, namun pertolongan Allah itu datang tepat pada masanya. Tiba-tiba dirinya mendapat kekuatan untuk melawan Syafiq dan dia tanpa gentar membaca doa nabi Yunus:

Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk orang-orang yang zalim”

Sungguh pertolongan Allah tika itu merupakan rahmat baginya. Hampir saja dia hanyut dalam pujuk rayu Syafiq namun apabila terlintas wajah ibu dan abahnya, dia seperti mendapat kekuatan yang luar biasa, pantas ditendangkan tubuh Syafiq dan dengan lantang dia membaca doa itu.

Humaira mengesat air mata yang mengalir. Air mata kekesalan kerana dosa semalam. Andai ada gadis yang tanpa segan silu melepaskan kesuciannya tapi tidak bagi dia! Dia sanggup mati memelihara maruahnya!

Dalam sisa sendu, Humaira menyelak dan membaca halaman seterusnya.

4 Jan 2008


Seminggu selepas peristiwa itu, peristiwa aku hampir-hampir merelakan maruahku dirampas oleh dia. Dia yang aku cinta sanggup mengkhianati diriku. Berani dia menyentuhku tanpa rela! Syafiq, saya takkan maafkan awak! Masih aku ingat pandangannya yang penuh dengan nafsu, tingkahnya yang rakus kerana ingin merampas kesucianku! Saya takkan maafkan awak dan saya benci awak, Syafiq! Dan hari ini abah dimasukkan ke ICU kerana kemalangan. Abah, please strong! Mungkinkah ini balasan anak derhaka sepertiku? Abah….

            Kali ini Humaira sudah menangis sayu. Terhinjut-hinjut bahunya menahan tangisan yang kian menggila. Rasa sebak semakin menggigit tangkai hati. Hiba. Abah.. kenapa tinggalkan Mia? Mia tak sempat balas jasa abah, Mia tak sempat mintak maaf dengan abah. Abah..

            Tiba-tiba Humaira tersedar. Halaman yang sudah basah dengan air matanya itu bagaikan sudah direnyuk kasar, komot helaian kertas diari itu. Hatinya berdebar maha hebat, dia pasti bukan dirinya yang merenyuk kasar helaian itu. Akalnya mencerna, ada orang lain yang sudah membaca diarinya itu!

            “Waf.. Wafiq..” tersekat-sekat bibirnya menutur sebaris nama itu. Adakah rahsia yang tersimpan kemas selama ini sudah terbongkar? Adakah aib yang selama ini tersimpan rapi sudah terbuka? Allah.. Adakah diari ini punca perubahan Wafiq?

            Humaira sudah tidak kuat lagi untuk membaca diari tersebut, lantas ditutupnya. Kepalanya kian serabut, satu persatu masalah yang mula timbul. Adakah rahsia diri yang selama ini tersimpan sudah diketahui oleh Wafiq? Adakah Wafiq memandang jijik terhadap dirinya? Adakah Wafiq tak mampu menerima dirinya kerana kesilapan lalu?

            Humaira pantas menutup laci meja kerja Wafiq, tak sanggup rasanya untuk menatap diari yang banyak meninggalkan kenangan pahit dalam hidupnya itu. Tapi belum sempat dia menutup laci tersebut hatinya tersentak lagi. Kali ini lebih hebat! Matanya terpandang pula diari pink miliknya yang hilang selama ini.

            Tangannya terketar-ketar mengambil diari itu. Jantungnya berdetak laju, hatinya bergetar maha hebat. Perlahan-lahan tangannya mencapai jua diari pink itu. Kini persoalan lain pula yang timbul.

            ‘Bagaimana diari tersebut boleh berada dalam simpanan Wafiq?’

            ‘Adakah Wafiq sudah menyelongkar isi diari itu?’

            ‘Di mana Wafiq menjumpai diari pink miliknya?’

            Pelbagai persoalan mula menghantui benaknya. Tiba-tiba Humaira berasa tertipu dengan sikap Wafiq. Biadabnya cara lelaki itu! Menyentuh privacynya tanpa izin. Hatinya merengus geram. Dari rasa sebak, kini amarahnya yang mula memuncak.

            “Adakah sebab diari ni, Wafiq jatuh cinta dengan aku?” Humaira mula membuat andaian sendiri. Ahh otaknya semakin serabut tika ini. Tapi tak mustahil andaiannya itu betul.

            Tiba-tiba akalnya mula mencerna, bagaimana Wafiq yang pada awal perkenalan mereka dingin boleh jatuh cinta dengannya? Mesti ada asbab yang kukuh yang menyebabkan lelaki itu menyintainya. Adakah sebab diari itu?

            Humaira menarik nafas panjang. Sesak. Sakit. Hiba. Sedih. Terasa diri dikhianati! Dia melangkah keluar bilik, terasa mood gembiranya terbang begitu saja dan yang tinggal adalah rasa sedih dan hiba apabila merasa dirinya dikhianati. Tak beradab sungguh cara Wafiq, mengambil hak orang lain tanpa izin!

            Humaira melangkah menuju ke bilik, bersiap-siap menyalin pakaian untuk keluar. Dia tidak betah berada di rumah ini. Dadanya sesak, hatinya sakit! Dia inginkan ruang sendiri. Lantas tangannya mendail nombor telefon teksi.

            Sepanjang perjalanan di dalam teksi Humaira hanya diam seribu bahasa tapi otaknya ligat berfikir. Akhirnya dia jadi lelah sendiri. Penatnya hidup ini. Allah.. Pesannya pada pemandu teksi tadi bawalah dia ke pantai. Mindanya tak mampu berfikir dengan waras. Terasa penat dengan dirinya sendiri. Adakah diri ini tak mampu mengecapi nikmat bahagia?

            Selepas membayar tambang teksi, kakinya melangkah ke arah pantai yang terbentang luas. Nun di sana ombak yang tak jemu menghempas pantai. Nun di sana ada batu-batu yang setia di pinggir pantai. Terasa sedikit tenang di Pantai Remis ini. Melihat laut yang kebiruan, terasa angin pantai yang menghembus diri, jiwanya sedikit lapang. Allah..

            Humaira menarik nafas dan menghelanya perlahan-lahan. Kakinya sudah mencecah gigi air, suasana di pantai yang tidak ramai orang memberinya sedikit ruang untuk memuhasabah diri. Dipujuk hatinya yang sakit akibat dikhianati suami sendiri.

            Walaupun tampak kecil kesalahan Wafiq, hanya mengambil dan membaca diari itu tanpa izinnya tapi Humaira menganggap tindakan Wafiq sangat kurang sopan. Mana akhlak dan pribadi muslim dalam diri lelaki itu? Mengambil hak privacy orang lain tanpa izin?

            Humaira mengeluh berat, Wafiq tak jujur meraih cintanya dahulu. Mengkhianati dirinya dalam diam. Dia masih boleh menerima lagi jika Wafiq berterus terang dengannya selepas mereka berkahwin tapi tindakan Wafiq yang terus mendiamkan diri membuatkan dia kecewa. Ya, kecewa dan terasa dipermainkan! Salahkah jika Wafiq berterus terang dengannya? Wafiq tak jujur dengannya!

            Humaira memandang lagi laut yang terbentang luas, kakinya mula bermain di gigi air. Adakah ini kaffarah dosa semalam? Dosa yang sentiasa mengekori hidupnya. Andai ada butang delete, sudah pasti kenangan itu dihapuskan dalam memori hidupnya. Tapi tak semudah itu mahu membuang dosa semalam. Itulah harga yang harus dibayar atas kesilapan lalu.

            “Ya Allah, adakah aku tak mampu untuk bahagia?” monolog hatinya sendiri. Namun cepat pula lafaz istighfar meniti di bibir. Tidak elok jika dia mempersoalkan takdir Ilahi. Dia hanya hamba!

            Tapi hati yang kecewa dan sedih harus diubati! Maka apa pula solusinya? Allah.. Sedang mindanya menerawang jauh, terdengar pula suara comel menyapanya dari belakang.

            “Assalamualaikum..” Humaira berpaling ke belakang mencari si pemilik suara yang memberi salam.

            “Waalaikumsalam.” Humaira membalas dan mula mengukir senyuman. Tapi hanya senyuman hambar yang mampu dilepaskan.

            “Auntie tengok pantai eh? Aisy pun suka tengok pantai. Ummi kata tengok pantai dapat pahala.” Petah mulut comel itu menegur.

            Makin lebar senyuman Humaira, makin tertarik melihat telatah comel anak kecil di hadapannya itu. Di sisi anak kecil itu terdapat lagi seorang budak perempuan yang kelihatan agak malu-malu.

            “Haah. Nama awak Aisy?” Humaira mula peramah. Senang dengan kehadiran ulama’ kecil yang hadir untuk menghiburkan hatinya.

            “Haah, nama saya Aisy. Nama auntie? Ni adik Aisy, Humaira’” makin petah bicara anak kecil yang diberi nama Aisy itu. Humaira’ di sisi Aisy mula tersenyum malu.

            “Nama auntie pun Humaira!” Humaira sudah teruja. Tak sangka, sama pula namanya dengan mujahidah comel itu.

            “Humaira’ gelaran untuk Saidatina Aisyah. Abi kata maksudnya putih kemerahan.” Baru kini mulut kecil Humaira’ berbicara.

            Humaira jadi kagum. Anak sekecil itu sudah kenal isteri kesayangan nabi. Pasti hebat didikan yang diterapkan orang tuanya! Tiba-tiba tangannya mengusap pula perut, ya ada benih yang kini bercambah di rahimnya. Allahu..

            “Subhanallah, pandainyaaa” Humaira memuji. Kagum.

            “Auntie cantik, putih kemerahan. Tapi wajah auntie macam tak happy.” Jujur bicara Aisy.

            Humaira tersenyum kelat. Benarlah kata-kata anak kecil itu lebih jujur. Hati mereka juga lebih suci kerana mereka mudah memaafkan dan meminta maaf.

            Humaira tersenyum. Dia mengusap perlahan kepala Aisy dan Humaira’. Comel sekali anak kecil ini. Mujahidnya nampak lebih matang dan mujahidahnya comel menutup aurat. Mata Humaira memerhati sekeliling, mencari ummi dan abi ulama’ kecil ini. Kagum dengan tarbiyah yang diajar dalam jiwa Aisy dan Humaira.

            “Kalau auntie sedih, Allah kan ada? Ummi kata orang Islam special sebab kita sentiasa ada Allah. Kita sentiasa ada teman.” Kata-kata yang ringkas tapi terus menusuk ke jantung Humaira. Terasa seperti ditembak dengan kata-kata Aisy! Hah, hambekkk!

            “Aisy, Humaira’. Buat apa tu?” tiba-tiba muncul pula seorang wanita yang wajahnya penuh ketenangan. Langkahnya teratur disusun menuju ke arah mereka dan di tangannya sedang mengendong seorang nayi.

            ‘Mungkin ini ummi mereka’ desis hati Humaira.

            “Ummiiii…” Jerit Aisy dan Humaira’ girang.

            Adriana melemparkan senyuman. Kat sini rupa-rupanya ulama kecil dia dan Faris. Pantang terlepas pandang, ada saja ‘aktiviti’ Aisy dan Humaira’. Memang sengaja dibawa Aisy dan Humaira’ ke pantai.

            “Allah, anak-anak ummi kat sini rupanya. Risau ummi. Maaf ya awak kalau saintis kecil ni mengusik sedikit.” Lembut tutur kata Adriana. Humaira jadi bertambah kagum. Berhikmahnya cara Adriana menegur.

            “Ehh tak apa.”

            “Ummi, nama auntie ni Humaira. Sama nama macam Humaira’ ummi.” Makin petah bicara si mujahidah kecil yang nampak pendiam tadi.

            Adriana dan Humaira sama-sama tersenyum.

            “Saya Adriana. Awak Humaira ya? Manis namanya semanis orangnya.” Adriana mula meraikannya kenalan barunya.

            “Haah. Terima kasih.”

            “Sayang..” Sapa suara lain pula di belakang mereka.

            Adriana berpaling dan tersenyum. Ohh si kekasih hati sudah memanggil. Dihadiahkan senyuman dan pandangan mata yang sangat special buat si suami.

            “Abang, sebentar ya.” Dihulurkan bayi yang berada di tangannya kepada si suami yang menanti.

            “Awak, saya gerak dulu. Alhamdulillah gembira dapat kenal awak.” Adriana memeluk erat Humaira. Baru berkenalan tak semestinya kita tak boleh bermesra bukan? Islam mengajar lemparkanlah senyuman, sebarkanlah salam, dan barulah Islam mampu bertebaran!

            Humaira tersenyum. Hati yang sakit sedikit lega. Allah hadirkan insan yang mentarbiyah diri. Baiknyaaa Allah!

            “Kami gerak dulu.” Kata Faris dan Adriana serentak. Humaira menghantar pemergian mereka. Matanya tak lepas memandang pasangan yang barakah itu. Mampukah dia dan Wafiq sebahagia mereka?

            Humaira merenung semula laut yang terbentang luas. Tiba-tiba hatinya disuntik rasa bersalah. Keluar rumah tanpa izin suami. Nusyuzkah dia? Tiba-tiba kakinya melangkah laju meninggalkan pantai. Ya, seharusnya dia tak patut lari dari masalah. Keluar rumah tanpa izin suami bukan jalan penyelesaiannya!

TEPAT JAM tiga petang Humaira tiba di rumah. Mujurlah mudah untuknya mendapatkan teksi. Kakinya melangkah masuk ke dalam rumah. Nasib baik dia sudah solat Zohor di surau berdekatan pantai sebentar tadi.

            Kunci dimasukkan ke dalam tombol pintu. Belum sempat dia membuka pintu, pintu sudah pun terkuak dari dalam. Terjengul wajah Wafiq yang risau. Humaira mengurut dadanya perlahan. Terkejut! Awalnya Wafiq pulang.

            “Maira pergi mana??” belum sempat dia masuk, Wafiq sudah menyergahnya dengan soalan itu.

            Humaira selamba masuk tanpa menjawab soalan Wafiq. Tiba-tiba hatinya sakit mengingat tentang diari itu. Rasa bersalah keluar rumah tadi hilang begitu saja dan diganti dengan rasa amarah.

            “Eh.. abang tanya ni..” balas Wafiq geram. Dia merentap tangan Humaira.

            “Sakit, lepaslah.” Humaira cuba merungkaikan pegangan Wafiq.

            Wafiq melepaskan pegangan. Rambut diraup kasar. Hari ini dia pulang awal kerana ingin membawa Humaira ke klinik tapi Humaira pula tiada di rumah. Suami mana yang tidak risau jika isteri keluar tanpa khabar berita? Telefon pula sengaja dimatikan.

            “Maira pergi mana?” Kali ini lembut Wafiq bertanya.

            “Buat apa nak tahu.” Balas Humaira dingin.

            “Maira tu isteri abang! Tahu kan hukum isteri keluar tanpa izin suami?” Wafiq sudah menahan geram. Orang tanya baik-baik dijawab kasar pula! Apa masalah Humaira ni agaknya eh? Memang orang mengandung emosi tak stabil eh? Semalam bukan main sopan lagi, tapi hari ni?

            “Ohhh, so apa pulak hukum orang yang mengambil hak orang lain tanpa izin?” Humaira memulangkan paku buah kerasnya. Tak tahan dah nak simpan rasa sakit hati ni lama-lama.

            “Maira cakap apa ni?” tanya Wafiq.

            “Abang ambil diari Maira kan?” soal Humaira berani. Dia menatap wajah Wafiq lama.

            “Dia.. diarii?” Wafiq tergagap-gagap.

            “Mengaku jelah abang ambil dan baca diari Maira. Maira tak sangka abang sekeji ni.” Makin lancang Humaira menyoal dan meluahkan rasa amarahnya.

            “Watch your words Damia Humaira!” wajah Wafiq sudah merah padam menahan amarah.

            “Kenapa? Salah apa yang Maira cakap ni? Abang tak jujur dengan cinta abang!” Humaira terus melontarkan amarah dan rasa hatinya.

            “Jangan mempersoalkan cinta abang pada Maira! Maira takkan pernah faham dan tahu!”

            “Maira tak rasa cinta abang tu ikhlas!” lain yang dihati, lain pula yang Humaira lontarkan. Apabila marah sudah menguasai diri.

            “Watch your words again Humaira, jangan cabar abang!” Wafiq sudah mengenggam penumbuknya. Menahan amarah, lancangnya Humaira mempersoal dan menuduhnya begitu.

            “So abang rasa tercabarlah ni?” Humaira semakin berani melumpuhkan kesabaran Wafiq.

            Wafiq merengus kasar, dia melangkah laju meninggalkan Humaira tanpa sepatah kata. Menjauhkan diri itu lebih baik dari amarahnya dilepaskan pada tempat yang tak sepatutnya.


            Humaira hanya memandang langkah Wafiq dan dia terduduk lemah di sofa. Tangannya laju menampar mulut sendiri. Lain yang di hati lain pula yang dilontarkan. Benarlah kata orang diam itu lebih baik!

No comments:

Post a Comment