Thursday, 5 September 2013

Penghijrahan Cinta 24

BAB 24

            Sudah seminggu semenjak peristiwa itu dan sudah seminggu jugalah Wafiq melancarkan perang dinginnya. Wafiq yang dulu petah bicaranya kini bagaikan patung yang tak bernyawa. Kaku dan tak punya perasaan!

            Humaira mengeluh berat, tak tahu di mana silap dan salahnya sehingga Wafiq berubah sejauh ini. Dia lebih rela Wafiq memarahinya daripada lelaki itu mendiamkan diri. Puas ditanya apa salahnya tapi Wafiq hanya membisu seribu bahasa. Pening kepalanya memikirkan perubahan drastik Wafiq. Wafiq sudah pandai pulang lewat malam dan sibuk dengan kerja dijadikan alasan oleh lelaki itu apabila Humaira menyoalnya. Masa Wafiq juga banyak dihabiskan di bilik kerja berbanding bergurau dan bercerita dengannya.

            Humaira memicit kepalanya perlahan. Sejak akhir-akhir ini dia sering diserang sakit kepala dan badannya pula lemah tak bermaya. Letih melayan kerenah Wafiq yang semakin jauh berubah.

            “Maira, tak sihat ke?” soal Syuhada risau. Mana tak risaunya wajah Humaira pusat lesi. Pipi yang selalu kemerahan itu nampak benar pucatnya.

            “Hah?” tanya Humaira. Soalan dibalas soalan. Begitulah keadaannya sejak akhir-akhir ini, semakin kurang fokus dan sudah pandai termenung jauh.

            “Kau tak sihat eh? Jom pergi klinik.” Syuhada mengajak. Tak perlu mendengar jawapan dari Humaira dia sudah tahu temannya itu tidak sihat. Badan lemah tak bermaya.

            “Aku sihat.” Humaira menidakkan. Dilemparkan senyuman, tapi hanya senyuman hambar. Sehambar rasa hatinya saat ini.

            “Tipu. Aku tahu kau tak sihat. Tengok muka kau je aku dah tahu. Lepas kelas kita pergi klinik.” Syuhada sudah memberi kata putus. Muktamad!

            Humaira menarik nafas, akhirnya dia mengalah jua. Malas mahu bertekak tika kepalanya mula berdenyut-denyut.

            Selesai kelas mereka tengah hari itu Syuhada menarik tangan Humaira menuju ke Pusat Kesihatan university mereka. Tidak mahu memberi ruang untuk Humaira melepaskan diri dari dirawat.

            “Syu.. aku rasa kita pergi farmasi jelah.” Humaira menarik tangan Syuhada. Dia memang malas mahu ke klinik. Rasa seram semacam saja.

            “Ishh. Mana boleh.” Syuhada menjawab tegas.

            “Alaa please Syu. Sama je kalau pergi klinik ke farmasi ke. Aku malaslah pergi klinik, nanti tunggu lambat sangat, nak kena ambik nombor lagi.” Humaira mula mencipta pelbagai alasan. Mukanya mula meminta simpati.

            Langkah Syuhada terhenti. Dia memandang lama wajah Humaira yang bersungguh-sungguh merayu. Rasa kasihan pula.

            “Em ok, tapi janji kau akan makan ubat nanti?”

            “Promise!” Humaira membalas. Dia tersenyum lega.

            “Okay kita pergi farmasi je. Aku hantar kau.” Syuhada memberi kata putus. Langkah dihala menuju ke parkir kereta pula.

            “Thanks Syu.” Humaira membalas. Mujur dia punya sahabat yang prihatin dan memahami.

Sambil langkah diatur mengikut rentak kaki Syuhada, tangannya laju mengeluarkan telefon bimbit di handbag. Mahu menghubungi Wafiq sebentar meminta keizinan. Laju tangannya mendail nombor Wafiq.

“Assalamualaikum abang.” Humaira memberi salam sebaik saja panggilannya dijawab Wafiq.

“Waalaikumsalam.” Wafiq membalas ringkas. Sedang Humaira di hujung sana mula mengukir senyuman. Terlepas seketika rindu di dada apabila mendengar suara Wafiq walaupun hanya di dalam telefon.

“Maira nak pergi farmasi dengan Syu, boleh tak?” Humaira meminta keizinan.

Wafiq mula gelisah. Humaira tak sihatkah? Humaira sakit apa? Kenapa dia tak perasan keadaan isterinya sendiri? Ahh bagaimana dia mahu alert dengan perubahan isteri kalau diri seperti terperangkap dalam dunianya sendiri!

“Em, kenapa tak bagitahu abang Maira tak sihat?” tegas intonasi Wafiq tapi ada terselit nada kecil hati pada bicara Wafiq. Sepatutnya dia orang pertama yang tahu tentang kesihatan isterinya. Seakan dirinya tak penting pula bagi Humaira, terasa egonya tercabar. Isteri sendiri sakit tapi orang lain pula yang menghantar ke klinik. Terasa dirinya seperti suami yang tak bertanggungjawab pula.

Humaira mengetap bibir perlahan. Hatinya sebak. Bukan dia tak mahu memberitahu Wafiq tapi baru saja dia hendak membuka mulut Wafiq sudah mengasingkan diri. Salah dia jugakah?

Suasana hanya sepi antara mereka. Sesaat, dua saat berlalu.

“Em pergilah..” Wafiq memberi keizinan.

Humaira tersenyum hambar. Senyum tak bererti gembira, kadangkala senyum menyembunyikan duka di hati.

“Thanks abang.” Humaira membalas tanpa riak. Dia memutuskan talian.

Entah mengapa semakin hari dia merasakan dia semakin menjauh dari Wafiq. Bagaikan ada jurang dan halangan yang memisahkan mereka. Tapi halangan apa? Humaira menarik nafas dalam-dalam, mencari kekuatan yang semakin hari semakin menipis dalam diri. Baru tiga bulan usia perkahwinan mereka, mereka sudah diuji sebegini. Dimanakah silap mereka? Apakah benar berkahwin di usia muda tak menjanjikan bahagia? Ahh, dia buntu sendiri!

“Maira??” Panggilan Syuhada mematikan lamunannya. Lantas dihayun laju langkahnya mengikut langkah Syuhada yang semakin ke hadapan.

I’m coming!” Humaira tersenyum menutup duka dan rasa sebak di hati.

Baru Humaira melabuhkan punggungnya ke kerusi kereta, kereta Syuhada sudah meluncur laju. Nak drift ke apa Syuhada ni?

“Syu..” panggil Humaira perlahan. Kepalanya dipicit perlahan. Rasa loya pula apabila kereta dipandu laju sebegitu.

“Kenapa?” Riak Syuhada mula bertukar risau, diperlahankan kelajuan kereta.

Drive slow sikit, aku mabuklah kau bawak laju-laju ni,” kata Humaira, tangannya masih memicit kepala.

“Selama ni kau selamba je naik kereta dengan aku. Takde pulak mabuk, steady je.” Syuhada membalas selamba. Memang kereta selalu dipandunya laju. Baru thriller!

“Jangan-jangan kau…” bicara Syuhada tergantung. Mulutnya ditekup.

Humaira tersentak.

“Mengandung!!” serentak bicara Humaira dan Syuhada. Ohhhmaii…

“Kita pergi klinik jelah. Mana tahu ada good news.” Syuhada mula teruja. Melihat keadaan dan perangai Humaira yang pelik tak mustahil ada gambar gembira menanti mereka. Lihat saja perangai Humaira yang terlebih fanatik dengan buah tomato. Ada ke patut makan nasi putih dengan buah tomato saja. Tak ke pelik tu?

“Tak naklah Syu. Kita pergi farmasi je.” Humaira membalas.

“Ishh kau ni, dibuatnya kau mengandung. Mana boleh makan sebarangan ubat.” Syuhada membalas tegas.

“Aku tak nak beli ubat, aku nak beli pregnancy test!” Humaira sudah mengukir senyum. Berharap sangat ada berita gembira menanti mereka.

“Kenapa tak nak pergi klinik?” soal Syuhada pelik.

“Aku nak pergi dengan Wafiq.” Luah Humaira. Kalaupun dia mengandung dia mahu Wafiq orang pertama yang tahu. Tapi apabila melihat riaksi dingin Wafiq, sudikah lelaki itu meluangkan masa untuknya?

“Em oklah kalau macam tu. Kita pergi farmasi.” Syuhada beralah.

Suasana mula sepi di dalam kereta dan hanya kedengaran bunyi cd zikir terapi dari Hafiz Hamidun yang memecahkan kesunyian mereka. Otak Humaira ligat memikirkan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku. Diusapnya perlahan perut, benarkah ada benih yang bercambah di rahimnya kini?

Seperti biasa Wafiq pulang lewat malam itu. Selepas solat Isyak baru dia bertolak pulang. Esok hari terakhir praktikalnya. Wafiq mula menarik nafas lega. Wafiq melangkah masuk ke rumah sewa mereka. Sunyi dari sebarang bunyi. Bunyi televisyen pun tidak kedengaran. Hairan.

            Salam diberi tapi langkah Wafiq masih kaku di muka pintu. Gelap gelita rumahnya. Hanya ada cahaya malap-malap dari ruang dapur. Blackout ke? Soalnya sendiri. Rasa ingin tahu membawanya ke ruang dapur.

            “Surprise!” Humaira memeluk pingang Wafiq dari belakang. Rindunya dengan haruman tubuh Wafiq. Seminggu perang dingin mereka cukup membuatkan jiwa Humaira terseksa!

            Wafiq mengurut dada. Terperanjat. Dia meleraikan pelukan di pingangnya. Pelik, hari ini bukan hari istimewa. Humaira meraikan apa sebenarnya ni?

            “Kenapa gelap?” soal Wafiq pelik.

            “Saja.” Humaira membalas selamba. Ditariknya tangan Wafiq ke meja makan.

            Humaira menghadiahkan senyuman semanis yang mungkin. Cuba menarik perhatian Wafiq malam ini. Malam ini dia tampil secantik dan se‘ekslusif’ di depan suami sendiri. Cuba mencairkan ais dingin Wafiq Rizqi yang semakin menebal dalam diri. Langkah diatur selembut mungkin ala-ala model yang sedang catwalk di hadapan pentas. Cuba menggoda suaminya sendiri. Ahh seboleh mungkin dia cuba membuangkan rasa malu, menggoda suami sendiri tak menjadi satu kesalahan bukan?

            Wafiq hanya mengikut langkah Humaira, ekor matanya mengerling tingkah Humaira yang agak menggoda malam ini. Beraninya Humaira menggoda dia sebegitu! Wafiq tersengih melihat keberanian Humaira malam ini.

            “Jemput duduk abang.” Lembut suara Humaira mempelawa. Ditariknya kerusi perlahan dan dia mula mencedok lauk untuk Wafiq, melayan suami seanggun mungkin! Hehe..

            “Tapi abang dah kenyang,” dalih Wafiq. Tangannya menghentikan gerak tangan Humaira yang ingin mencedok lauk ke dalam pinggan.

            Humaira menahan sabar. Dihadiahkan juga senyuman walaupun dalam hati ada rasa amarah yang mula membara.

            “Jemputlah jamah sikit. Maira masak special untuk abang.”

            “Emm, okayyy,” putus Wafiq perlahan.

            “Maira tak makan?” soal Wafiq pelik. Maira hanya menompang dagu melihat wajahnya. Langsung tiada pinggan lain di atas meja selain pinggannya.

            “Tak.” Humaira membalas. Dia memandang wajah Wafiq. Ingin melepaskan rindu sepuas-puasnya.

            Wafiq membaca bismillah sebelum menjamah masakan Humaira. Tapi ekor matanya sempat menjeling tindak-tanduk Humaira di hadapannya. Hari ini Humaira berperangai pelik, selalunya Humaira sudah terlena ketika dia pulang dari tempat kerja. Dengan gaya lembut dan renungan mata Humaira seakan menggodanya pula. Haih.

            “Abang dah kenyang.” Wafiq menolak pinggan. Lima suap saja dijamah masakan Humaira.

            Humaira tersedar, jauhnya khayalannya kali ni. Melepaskan rindu yang saban hari tak pernah surut.

            “Abang, Maira ada something nak bagitahu abang ni.”

            Wafiq melangkah ke sinki. Diangkut sekali pinggan yang kotor tadi.

            “Esok kita bincang boleh tak? Abang letihlah.” Wafiq membalas. Memang dia agak busy hari ini, dan mood tiada untuk berbincang malam ini.

            “Tapi abang..” Humaira membalas, kurang berpuas hati. Matanya memandang baki lauk yang masih banyak lagi di atas meja. Gagal lagi nampaknya plannya kali ini.

            “Maira mengandung!” nekad Humaira ingin memberitahu Wafiq berita gembira itu.


            “Hah??” terlepas pinggan di tangan Wafiq, nasib baik terus masuk ke dalam sinki pinggan tersebut. Kalau tak, alamatnya pecah berderailah!

1 comment:

  1. Dpt jgak n3 bru... Tp sdey coz nie last n3.... Nk lg... Writer tlong la update smpai abes....

    ReplyDelete