BAB 1
HARI KETIGA minggu
orientasi ataupun dikenali sebagai ta’aruf week. Awal-awal pagi lagi aku
sudah bersiap. Hari ini perutku tidak berapa selesa. Silap makan agaknya. Aku mengeluh
perlahan. Tak sampai seminggu di sini, macam-macam pula yang terjadi.
Aku menekan perut perlahan.
Dahiku sedikit berkerut menahan sakit. Pagi ini saja sudah tiga kali aku masuk
tandas!
‘Ish tak boleh
jadi ni!’ bisik hatiku sendiri. Harus ke klinik pagi ini!
“Nak ke mana tu?”
tanya Dania, Dania itu teman sebilikku.
“Ke klinik, perut
aku sakit. Salah makan agaknya.” Jawabku perlahan. Mukaku berubah sedikit
keruh.
“Tahu ke jalan nak
klinik?” tanya si Dania lagi.
Aku hanya mampu
menggeleng kepala. Manalah sempat nak hafal peta UIA ni, baru tiga hari kot kat
sini!
“Nanti jumpa Biro
Kesihatan. Suruh dia yang bawak kau ke sana. Kejap aku temankan.” Si Dania
sudah mula mencapai tudung bawal bidang labuhnya itu.
Lega sedikit
hatiku mendengar jawapan Dania. Sekurang-kurangnya aku tak sendirian nanti. Takdelah
hilang arah sangat kalau berteman.
“Jom.” Ajak Dania
usai sahaja gadis itu bersiap.
Aku hanya mengikut
langkah Dania. Dania gadis yang berasal dari Parit Buntar itu ramah orangnya,
tak susah untuk aku ‘masuk’ dengan perangai gadis itu. Dan aku ialah Mawar
Addeena, unik kan namaku? Nama yang diberi oleh ummi. Aku, gadis yang
biasa-biasa saja. Bakal akauntan suatu hari nanti, insya-Allah.
“Akak, kawan saya
ni sakit perut.” Sampai saja di dewan, Dania sudah membuka mulut kepada
Pembantu Mahasiswa di situ.
“Sakit perut?
Boleh jalan lagi tak ni?” tanya senior yang di name tagnya tertulis ‘Nadia’
itu. Riak risau mula terbit dari wajah itu.
“Boleh.” Balasku
sepatah. Tak bermaya.
“Patutnya bahagian
muslimat, Kak Aini yang uruskan. Tapi Kak Aini hantar student ke
hospital pulak. Boleh jumpa Biro Kesihatan bahagian Muslimin? Abang Hakimi.”
Kak Nadia sudah bertanya lagi.
Aku hanya
mengangguk kepala tanda mengerti dan sakit di perut sudah datang lagi!
“Mari akak
bawakkan jumpa Biro Kesihatan. Nanti dia akan bawa adik ke klinik.” Ajak Kak
Nadia sambil menarik tanganku. Klinik atau Pusat Kesihatan itu taklah jauh
sangat kedudukannya dari dewan ini. Harap-harapnya aku masih mampu bertahan
lagi!
“Kimi, awak tolong
bawakkan pelajar baru ni ke klinik. Aini hantar student ke hospital.”
Kak Nadia memulakan bicaranya dengan seorang lelaki yang susuk tubuhnya hanya
mampu aku pandang dari sisi.
“Arahan diterima.”
Kata si lelaki itu. Dari sisi, aku nampak lelaki itu sedang tersenyum. Ohh ya,
ada lesung pipit di pipi lelaki itu.
Tak sampai tiga
saat, aku menggeleng kepala. Amboii sempat lagi diriku berangan dalam
sakit-sakit perut begini!
“Nama siapa?”
tanya si lelaki itu yang dipanggil Kimi oleh Kak Nadia tadi. Lelaki itu
berjalan di hadapanku. Aku mengikut saja langkahnya. Dania sudah masuk ke dalam
dewan pula meninggalkan aku seorang di sini. Aduhai..
“Mawar Addeena.” Balasku
lurus. Jujur saja nadaku saat ini.
Pantas lelaki itu
berpaling ke belakang. Langkah kakinya juga sudah terhenti. Nasib baik jugalah
langkah kakiku ikut berhenti, kalau tidak mahu saja aku terlanggarnya di luar
dewan ini!
“Mawar??” soalnya
bersama senyuman yang sukar kutafsirkan maksudnya.
Aku hanya
mengangguk dan cepat-cepat pula aku membalas. “Tapi panggil saja Addeena.”
Dan dia sudah
menyambung kembali langkahnya di hadapanku.
“Tak gentle langsung.
Patutnya bagilah aku yang sakit ni berjalan di depan.” Omelku di dalam hati
tapi kakiku mengikut saja langkahnya menuju ke klinik.
USAI SAHAJA berjumpa dengan
doktor, aku mengambil ubat di kaunter. Sahlah aku keracunan makanan! Selesai sahaja
aku mengambil ubat di kaunter kakiku melangkah keluar, lemah saja langkah
kakiku ini.
“Larat tak?” tanya
suara di belakangku.
Aku berpaling,
sedikit tersentak.
“Eh??” soalku
pelik. Ingatkan dia dah balik.
Hakimi hanya
mengukir senyuman. Disimpan saja tawanya di dalam hati melihat riak terkejut
gadis itu. Gadis yang wajahnya lembut, manis berbaju kurung berwarna merah
jambu.
“Balik ni, terus
rehat di bilik. Awak dikecualikan dari ceramah pagi ni.” Kata si lelaki itu
lagi.
Aku hanya
menganggukkan kepala. Dalam hati riangnya tak terkata! Wah boleh rehat di
bilik!
“Terima kasih..”
balasku tersenyum riang.
“Sama-sama. Awak
dah ok kan?” tanya si dia lagi.
“Alhamdulillah. Feel
better now.”
“Kalau macam tu, saya pergi dulu.” Belum sempat aku membuka mulut
lagi si dia sudah berlalu pergi. Dan aku hanya mampu memandang langkahnya yang
kian menjauh.
Aku garu kepala
yang tak gatal. Pelik dengan tingkahnya yang meninggalkan aku seorang di sini. Dari
jauh aku melihat langkahnya, dia berbaju t-shirt oren dan bersuar slack
putih.
Aku tersenyum, ada
rasa sesuatu di hatiku saat ini.
Hakimi berjalan
menuju ke dewan bersama senyuman di bibir, ditinggalkan saja gadis itu di
belakangnya. Bukan mahu melepaskan terus tanggungjawabnya tapi hatinya sudah
terasa lain macam apabila melihat wajah manis itu dan dia tak sanggup
berlama-lama di situ!
“Ohhh mawarku.” Bibirnya
masih menguntum senyuman walau si dia sudah jauh ditinggalkan di belakangnya!
bestnye cerita akak ni .. nak tggu sambungan . hehe
ReplyDeleteSambungannya ada tak yer???
ReplyDelete