Saturday 25 May 2013

Penghijarahan Cinta 12


BAB 12

Humaira duduk termenung di atas katil, telekung yang masih tersarung di kepala masih belum dibuka. Hari ini sudah masuk hari ketiga Wafiq dan Haikal bermusafir ke rumah tok abahnya di Kota Tinggi.

Masih terngiang-ngiang di telinganya suara adiknya Haikal ketika mereka berbual di telefon sebentar tadi. Suara ceria adiknya menceritakan tingkah Wafiq di sana. Wafiq itu baiklah, Wafiq pandai ambil hati tok abahlah, Wafiq pemurah belanja mereka makanlah, Wafiq itu, Wafiq ini. Semua yang baik-baik tentang Wafiq diceritakan adiknya itu, bagaikan mempromosi barangan pula.

Nampaknya Wafiq mudah saja mengambil hati tok abahnya dan adiknya Haikal. Haikal juga tidak habis-habis memuji bacaan Wafiq yang merdu ketika menjadi imam, katanya bacaan Wafiq sempurna tajwidnya dan Wafiq juga pandai bertarannum.

Humaira menarik nafas panjang, nampaknya Wafiq berjaya dengan cabaran kali ini. Maka, apa lagi sebab dia harus menolak lelaki itu. Istikharahnya juga menunjukkan tanda-tanda positif. Memang Humaira tak dapat nafikan Wafiq seorang pemuda yang baik cuma dia jadi tertanya-tanya sendiri bagaimana Wafiq boleh menyukainya dan nekad merisik dia.

Dia masih teringat Wafiq yang gugup ketika berhadapan dengannya di ruang tamu rumahnya. Lain yang ingin dibincang pemuda itu lain pula yang terkeluar dari mulutnya.

“Err kenapa family awak panggil Mia?” soalan itu yang terlontar dari mulut Wafiq ketika itu. Humaira yakin sebenarnya itu bukanlah soalan yang ingin ditanya Wafiq. Melihat wajah gugup Wafiq saja sudah menyakinkan dia.

Dan selepas mendapat kenyakinan barulah pemuda itu serius membincangkan hubungan mereka di hadapan ibu dan adiknya Haikal. Masih dia ingat senyuman di bibir Haikal yang menahan tawa melihat wajah kalut Wafiq.

Humaira mengeluh panjang, dia membuka telekung di kepala. Mengikut perancangan Wafiq jika tiada aral dia ingin menikahi Humaira sebelum pemuda itu menjalani latihan praktikal. Ini bermakna hanya tinggal kira-kira empat bulan sahaja lagi.

Humaira menarik nafas panjang, bersediakah dirinya untuk menjadi isteri lelaki itu? Dan persoalannya masih belum dirungkai, mengapa dia yang dipilih Wafiq sebagai teman hidup? Bagaimana kehidupan mereka selepas bernikah nanti?

Humaira membuka tingkap bilik, angin pagi mula menerobos masuk ke dalam bilik. Sejuknya mendamaikan, fresh air lagi. Hari ini Wafiq akan pulang dari Kota Tinggi dan pemuda itu inginkan kata putus sebelum menghantar orang tuanya untuk majlis pertunangan.

Sedang Humaira ralit memerhati keindahan pagi, pintu biliknya diketuk.

“Masuklah ibu, pintu tak kunci” ujar Humaira, dia yakin ibunya yang mengetuk pintu biliknya sebentar tadi.

Puan Hanis melangkah masuk ke bilik anak sulungnya. Dia memerhati bilik yang kemas tersusun itu. Hatinya lega, anak yang dijaga selama ini kian menginjak dewasa malah semakin matang.

“Awalnya anak ibu ni dah termenung?” usik Puan Hanis. Dia melabuhkan punggungnya di katil. Memerhatikan Humaira yang ralit merenung suasana pagi.

Humaira mengorak langkah mengampiri ibunya. Dia tersenyum.

“Mana ada Mia termenung ibu” dalih Humaira, dia duduk di sebelah ibunya.

“Ibu, Mia nak baring dekat peha ibu. Boleh?” pinta Humaira manja.

“Boleh sayang” balas Puan Hanis lembut.

Humaira mula merebahkan kepalanya di atas peha ibunya. Terasa segala beban yang dihadapinya terbang begitu saja. Dia perasan ada tangan yang sedang mengusap lembut rambutnya. Ohh ibu, sentuhannya memang mendamaikan. Hilang segala resah di hati.

“Hari ni Haikal dengan Wafiq balik” ujar Puan Hanis memulakan bicara.

Mata Humaira yang mula tertutup kembali terbuka. Dia jadi gugup sendiri. Apa agaknya yang terjadi selepas ini?

“Ibu suka Wafiq?” soal Humaira. Dia ingin mengetahui Wafiq dari pandangan kaca mata ibunya.

Puan Hanis tersenyum, dia terus membelai rambut Humaira yang panjang itu. Rambut lurus yang diwarisi daripada dirinya.

“Mia suka Wafiq?” soalan dibalas soalan, sengaja mahu menguji anak gadisnya.

Humaira tersentak, tak sangka soalan itu yang akan ditanya ibunya. Dia suka Wafiq? Nak kata suka tu taklah sangat, tapi rasa benci dengan Wafiq tu dah lama terpadam sejak lelaki itu menunjukkan kesungguhannya merisik dirinya.

“Entahlah Mia pun tak tahu. Kadangkala Mia rasa Mia fobia dengan cinta. Kenangan pahit dulu masih kukuh dalam ingatan Mia ni ibu, Mia takut” luah Humaira jujur.

Puan Hanis menggeleng, simpati dengan nasib anak sulungnya. Kasihan gadis ini, masa silamnya masih menghantui.

“Mia, semalam hanya tinggal sejarah. Yang penting kita ambil ibrah dari kesilapan lalu. Cinta tu kan fitrah” nasihat Puan Hanis lembut.

“Entahlah, Mia takut” jawab Humaira perlahan.

“Ibu rasa Wafiq macam mana?” soalnya lagi.

Puan Hanis tersenyum, sejujurnya dia sudah terpikat dengan tingkah Wafiq. Seorang anak muda yang bersungguh-sungguh dan bertanggungjawab. Insya-Allah dia tahu Wafiq akan berjaya membimbing Humaira nanti.

“Bagi ibu, dia seorang syabab yang bertanggungjawab dan matlamat hidupnya juga tersusun. Kata Haikal, agamanya juga baik dan cara dia bermuamalat juga baik sepanjang mereka di sana” ujar Puan Hanis. Ya, segala tingkah Wafiq di sana diberitahu oleh Haikal.

“Ibu setuju dengan risikan Wafiq?” soal Humaira, debaran di dada semakin kencang.

Puan Hanis menganggukkan kepalanya. Ukuran apa lagi yang diajar rasul selain memilih seseorang itu kerana agama dan akhlaknya?

“Ibu setuju dengan risikannya tapi kamu yang berhak memilih. Ibu takkan paksa malah ibu akan raikan apa saja pilihan kamu” Puan Hanis menjawab.

Humaira menarik nafas, dia bermain dengan hujung rambutnya. Nampak Wafiq berjaya memikat hati ibunya dan Haikal dengan caranya yang tersendiri. Maka, ada pilihan lain untuk dia menolak Wafiq yang baik agama dan akhlaknya?

Humaira teringat kepada sepotong hadis yang bermaksud:

Apabila datang kepadamu seorang laki-laki untuk meminang, yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi” -H.R al-Baihaqi-

Dan sepotong lagi hadis yang bermaksud:

“Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap urusan mandi dan kafan dan anak gadis setelah ditemui pasangan yang sesuai untuknya” -H.R. Tirmidzi-

Ya, moga pilihan yang dilakukan ini tepat. Memilih seseorang yang akan menjaga akhiratnya. Moga dirinya juga mampu menjadi sayap perjuangan buat si syabab agama.

Duhai Syabab Agama.

Duhai Syabab Agama,
Aku memilihmu bukan kerana harta,
Bukan jua kerana rupa,
Tapi kerana agama,
Jua kerana ilmumu di dalam dada.

Duhai Syabab Agama,
Aku punya cita-cita,
Agar kita sama-sama mengejar cinta-Nya,
Agar aku mampu menjadi sayap perjuanganmu,
Dan membawa cinta kita terus tembus ke syurga.

Duhai Syabab Agama,
Cintailah aku dengan seadanya,
Dengan sederhana,
Tak melebihi cinta-Nya,
Kerana aku juga manusia biasa,
Yang tak kurang silap dan salahnya.

Duhai Syabab Agama,
Lamarlah aku kerana cinta-Nya,
Bukan kerana dunia,
Bukan kerana rupa,
Kelak kau akan derita,
Jika bukan kerana agama.

Duhai Syabab Agama,
Cintailah aku kerana diriku,
Syukurilah kelebihanku,
Dan bimbinglah kekuranganku,
Agar kita bersatu,
Bukan kerana nafsu.

-Srikandi agama-

Wafiq memakirkan kereta di garaj, dia dan Haikal selamat tiba di rumah Humaira setelah tiga hari bermusafir di Kota Tinggi, Johor. Hari ini juga dia akan pulang ke Selangor selepas maghrib nanti. Pelbagai pengalaman yang sempat dikutipnya ketika berada di kampung tok abah Humaira. Sungguh dia semakin selesa berada dalam lingkungan keluarga Humaira.

Keluarga yang sederhana, keluarga yang selalu meraikan tetamu. Tok abah Humaira juga sangat peramah orangnya dan menyebabkan dia senang bergaul dengan orang tua itu. Pelbagai nasihat dan pengalaman yang diambilnya dari tok abah Humaira.

Sungguh dia tidak menduga, perjalanan dan niatnya untuk merisik Humaira dipermudahkan. Dia juga tidak menyangka yang tok abah Humaira yang sangat peramah melayaninya sebagai tetamu bertukar menjadi sangat serius berkaitan dengan agama. Pernah juga dia ditanya dengan soalan yang tak disangka iaitu berkenaan dengan mandi wajib dan jenis-jenis darah wanita. Sungguh dia tak menduga soalan itu yang diuji oleh tok abah Humaira. Mujurlah dia dapat menjawab soalan tersebut dengan mudah berkat daripada menghadiri kuliah maghrib di Pusat Islam yang jarang ditinggalkan.

Kata tok abah Humaira, lelaki sebagai ketua keluarga harus tahu berkaitan dengan hal-hal wanita. Mereka harus tahu walaupun soalan yang kadangkala dianggap remeh oleh sebahagian lelaki. Tersentap seketika dirinya ketika itu, bagaikan terkena batang hidung sendiri.

“Abang, ok tak? Tak nak masuk ke?” soal Haikal mematikan lamunannya. Dia memandang kelibat Haikal yang telah pun keluar dari perut kereta.

Wafiq pantas mengikut langkah Haikal. Dia semakin selesa dengan pemuda yang merangkap wali Humaira itu. Dan hari ini juga dia inginkan kata putus dari Humaira tentang risikannya. Jika berjaya, dia akan membawa orang tuanya bertemu keluarga Humaira sekaligus melangsungkan pertunangan mereka.

“Assalamualaikum” Wafiq memberi salam sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam rumah Humaira.

“Waalaikumsalam. Jemput duduk Wafiq” pelawa Puan Hanis dengan wajah mesranya. Tidak luntur wajah itu dengan senyuman.

Wafiq melabuhkan punggungnya di sebelah Haikal. Dia terpandangkan seteko air yang sudah pun berada di atas meja kecil itu. Dia tahu Humaira yang menghidangkan minuman itu sebelum dia dan Haikal tiba di rumah itu. Dia juga tahu Humaira seolah-olah cuba melarikan diri daripadanya, mungkin juga gadis itu malu dan mungkin juga gadis itu tidak suka dengan risikannya.

“Hah, jemput minum. Sejuk pulak nanti air tu” Puan Hanis mempelawa apabila dilihatnya pemuda itu masih tidak menjamah minuman yang dihidang.

Wafiq menuangkan air tersebut ke dalam tiga cawan. Dia memerhati ruang tamu yang hanya menempatkan mereka bertiga. Dia tercari-cari kelibat Humaira. Ya, ada hal yang ingin dibincangkan lagi sebelum dia pulang ke Selangor malam ini.

“Mak cik, saya nak mintak izin cakap dengan Humaira boleh?” pintanya sopan.

Puan Hanis hanya tersenyum. Dia bingkas bangun.

“Kejap, mak cik panggilkan” jawab Puan Hanis sebelum berlalu pergi.

“Mia, Wafiq nak jumpa kejap. Ada hal nak dibincangkan” ujar Puan Hanis sebaik saja dia tiba di hadapan pintu bilik anaknya itu.

Humaira hanya mengangguk tanda mengerti sebelum dia mengemaskan kembali lipatan tudungnya. Dia mengekori langkah ibunya dari belakang. Debaran di dada usah dicakap, seperti jantungnya tak mampu berfungsi mengepam darah.

“Assalamualaikum” sapa Humaira perlahan. Dia duduk di sebelah ibunya. Kepala ditunduk ke lantai. Malu. Haih sejak bila dia jadi pemalu bila berhadapan dengan Wafiq? Mungkin hormonnya ada masalah agaknya.

“Waalaikumsalam” jawab Wafiq dan Haikal serentak. Wafiq memandang wajah Humaira yang sedang menunduk. Sungguh gadis itu semakin menenangkan di pandangannya. Dia kembali mengalihkan pandangan apabila merasakan dirinya sudah terhanyut dalam dunia sendiri. Astaghfirullah, mujahid sila jaga pandangan!

“Sebenarnya hari ni saya nak mintak kata putus dari Humaira sendiri tentang risikan saya tempoh hari” ujar Wafiq berterus terang.

Humaira menelan air liur, kesat.

“Humaira, setuju atau tidak untuk menjadi isteri saya?” sambung Wafiq lagi. Dia menarik nafas, mencari kekuatan menerima apa saja keputusan Humaira.

Puan Hanis sudah tersenyum, dia tahu Humaira dan Wafiq masing-masing sedang gugup. Dia memengang tangan Humaira menyalurkan kekuatan.

Humaira mengangkat wajah apabila dirasakan ada tangan yang sedang memengang tangannya. Dia memandang wajah ibunya yang sedang tersenyum.

Apabila melihatkan Humaira masih tidak memberi respon, Wafiq jadi bertambah debar. Dalam hati dia berdoa agar dipermudahkan. Sungguh ini pertama kali dia jatuh cinta dan dia bersungguh-sungguh mahukan hubungan yang halal dengan Humaira.

“Maira, jujur saya ingin menjadikan awak suri dalam hidup saya melalui jalan yang paling diredhai Allah. Kalau ditanya mengapa saya ingin menikahi awak, jawapannya adalah kerana agama. Saya ingin menjaga hati saya dari terfitnah. Saya ingin mencintai awak dengan cara yang Allah redha” ujar Wafiq sungguh-sungguh. Dia sendiri tidak tahu daripada mana kekuatan itu datang.

Humaira terharu, hatinya jadi syahdu mendengar ucapan ikhlas yang terluah dari bibir Wafiq. Dia mengumpul kekuatan untuk membalas bicara lelaki itu.

“Mak cik, izinkan saya untuk mengambil puteri sulung mak cik sebagai isteri. Sungguh saya bukanlah pemuda yang terbaik untuk dia tapi insya-Allah saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi yang terbaik” luah Wafiq, kali ini dia memandang tepat wajah Puan Hanis. Air matanya sudah bergenang di tubir mata.

“Wafiq, saya juga bukanlah perempuan yang baik dan solehah. Saya juga punya kesilapan dan masa silam saya sendiri. Saya masih lagi mencari nilai solehah dalam diri dan sedang berusaha ke arah itu” Humaira mula membuka mulut.

“Humaira, semua orang punya khilafnya sendiri. Saya ingin awak menjadi sayap perjuangan agama saya” luah Wafiq lagi.

“Mia serahkan pada ibu” jawab Humaira. Ya, dia menyerahkan keputusan pada ibunya. Dia yakin ibunya pandai menilai.

Puan Hanis terkaku sendiri. Dia menarik nafas panjang.

“Mia, buatlah keputusan untuk diri sendiri. Kami akan raikan keputusan Mia” jawab Puan Hanis. Dia tidak mahu memberi kata putus, biarlah Humaira yang memilih.

Humaira menarik nafas, mencari keyakinan untuk meluahkan. Ya dengan basmallah aku mulakan hubungan ini.

“Tiada yang lebih membahagiakan dua orang yang saling menyukai kecuali menikah” Humaira berkias memberi jawapan, dibacanya hadis yang diriwayatkan daripada Suyuti itu. Sungguh hatinya mula tersentuh dengan sikap bersungguh-sungguh Wafiq.

Alhamdulillah, Wafiq mengucapkan syukur di dalam hati. Walaupun Humaira berkias namun dia tahu jawapan gadis itu.

“Alhamdulillah, nanti bawaklah orang tua kamu datang ke sini. Lagi elok kalau dipercepatkan urusannya” ujar Puan Hanis pula.

Haikal menepuk perlahan bahu Wafiq, pemuda yang berjaya membuka hati kakak sulungnya.

“Tahniah bang, mabruk” ujar Haikal tersenyum.

“Insya-Allah mak cik. Maira thanks” ujar Wafiq gembira, hilang terbang segala gelisahnya.

Humaira hanya tersenyum sebelum dia mengalihkan pandangannya. Ya, moga hubungan yang baru ini dipermudahkan dan sentiasa dalam rahmat-Nya.

Dia berharap agar Wafiq mampu menerima dirinya seadanya. Dia juga manusia biasa yang punya banyak kekurangan. Dia sendiri pelik, rasa bencinya yang dahulu membuak dalam dada kian menjauh pergi. 

3 comments:

  1. keep the good work writer... Cter nie byk pngjran....

    ReplyDelete
  2. keep the good work writer... Cter nie byk pngjran....

    ReplyDelete