“Every morning you have two choices, continue to sleep with your dreams or wake up and chase them.” ~Anonymous~
“Nysa Irdina, bangun!!!” Bergegar satu rumah dengan suara Puan Suraya
mengejut si anak dara. Pening kepalanya dengan ulah anak yang seorang ini.
Hendak dimarah, sudah besar. Pintu bilik si anak dikuak besar, langsir bilik
ditarik membiarkan cahaya mentari pagi masuk ke dalam bilik si gadis.
“Dina, bangun! Haih budak ni, kata nak cari kerja. Ni matahari dah tegak
atas kepala pun kamu tak bangun lagi. Subuh entah ke mana, macam mana rezeki
nak masuk Dinaa oii.” Panjang bebelan Puan Suraya kali ini.
Dia mengeluh perlahan. Dilihatnya si anak masih lagi nyeyak berselimut.
Haih budak ni kalau dah tidur, memang susah nak dikejut. Kalau bom meletup pun
belum tentu bangun lagi.
“Dinaaa bangun!” Kali ini tangannya laju menarik selimut dan menepuk peha
si anak.
Tubuh Irdina mula bergerak apabila tidurnya diganggu. Matanya cuba
dibuka, silau mentari yang menerobos melalui tingkap menyukarkan dia membuka
mata.
“Dina, bangun. Kata nak cari kerja.” Tak jemu lagi si ibu mengejutkan si
anak.
“Em..” hanya itu yang mampu dibalasnya saat kantuk masih lagi menguasai
diri. Itulah padahnya apabila dia larut melayan cerita korea malam tadi.
“Dina jangan sampai ibu simbah dengan air baru nak bangun.” Puan Suraya
mula bangkit dari katil anaknya. Bergerak mahu ke bilik air. Budak ni kalau
susah nak bangun, ini sajalah caranya!
Tubuh Irdina bangkit serta merta! Cuak dengan ugutan ibunya! Lantas dia
mengeliat, membetulkan urat-urat. Ahh nikmatnya!
Melihat ibunya yang semakin hampir dengan
bilik air, tanpa berlengah sesaat pun dia bingkas bangun dan mencapai tuala
untuk ke bilik air.
“Opps. Sorry ibu.” Ujarnya laju mendahului langkah si ibu untuk
masuk ke bilik air yang terletak di hujung bilik.
Puan Suraya hanya menggeleng melihat telatah si anak. Nysa Irdina
satu-satunya zuriat yang dia miliki dengan bekas suaminya dahulu. Terkadang tingkah
si anak mengundang risau di dalam hati tapi Puan Suraya tahu sikap anaknya itu
hasil didikan dirinya juga. Silap dirinya juga yang terlalu sibuk mencari
rezeki sehingga culas mendidik si anak. Anak itu sejak dari kecil lagi sudah
kurang kasih sayang. Kasihan anak itu. Anak yang dididik hasil dari kesilapan diri sendiri.
“Dina, nanti jangan lupa turun breakfast kat bawah.” Pesan Puan
Suraya sebelum dia melangkah keluar dari bilik si anak.
Usai mandi, laju si gadis bersiap. Sedar dirinya sudah terlewat. Dikerlingnya
jam di dinding, hampir pukul 10 pagi! Haih bertuahnya, pukul 10 baru nak cari
kerja! Dia bersiap ala kadar sahaja, rambut diikat tinggi. Irdina tersenyum
melihat dirinya di cermin, kata ibu dia banyak mewarisi raut wajah ayah. Tapi itu
kata ibulah, dia sendiri tak pasti kerana dia sudah lupa wajah si ayah
bagaimana! Ibunya memang sudah lama berpisah dengan ayah dan sejak berpisah dia
tak pernah sekalipun bertemu dengan ayah.
Irdina melangkah keluar dari bilik. Senyuman dikoyak selebar mungkin
untuk mencari aura positif. Tapi belum sempat dia menuruni anak tangga ke
tingkat bawah, suara si ibu sudah kedengaran.
“Irdina, tudung mana? Pergi pakai tudung!” Irdina menarik muncung
panjang. Masam mencuka wajahnya ditegur sedemikian. Pakai tudung? Emm..
“Alaa ibu.” Rengeknya perlahan. Baru nak bergaya sikit dengan potongan
rambut baru ni. Kata kawan-kawannya, rambut dia cantik. Panjang beralun dan
keperangan-perangan. Hatinya sedikit memberontak, buat apa nak simpan dalam
tudung kalau ada rambut cantik macam ni. Em.
“Dina tak sayang ibu ke? Pergi pakai tudung nak.” Sayu kali ini suara si
ibu menegur. Sedih kerana dia tahu dia gagal menjadi ibu yang baik buat si
anak. Dia gagal mendidik si anak kerana terlalu sibuk memikul tanggungjawab
sebagai ibu dan bapa dalam masa yang sama. Dia terlalu sibuk kerana mencari
harta dunia. Sedangkan dia tahu Nysa Irdina itulah hartanya yang tak ternilai. Allah.
Irdina akur, sedar perubahan riak wajah si ibu. Dia melangkah perlahan ke
arah biliknya. Irdina mencapai tudung yang sudah siap diseterika. Tudung berwarna
royal blue itu dipandankan dengan kemejanya yang berwarna putih. Mujur kemejanya
berwarna putih pagi ini, senang nak match dengan warna lain. Dibetulkan
letak tudung di kepala, nampak lebih sopan wajahnya apabila bertudung. Nampak lain,
lebih manis mungkin. Tudung yang agak labuh disilang ke bahu. Sekali lagi
Irdina tersenyum di hadapan cermin melihat pantulan diri sendiri.
Puas hati dengan penampilan diri dia melangkah keluar menuju ke dapur. Mahu
menjamah sedikit sarapan yang disediakan ibunya.
“Haa kan nampak manis anak ibu ni.” Puji Puan Suraya melihat sosok tubuh
si anak yang sudah bertudung seperti yang dipintanya tadi. Irdina, anak itu walaupun kadangkala agak memberontak tapi masih lagi boleh dilentur. Alhamdulillah.
Irdina hanya tersenyum.
“Air apa ni ibu?” soalnya sambil mencapai teko yang berisi air itu. Dituangnya
air yang masih hangat itu ke dalam dua cawan. Untuk dia dan ibu.
“Air koko.”
Berselera sungguh Irdina menjamah air tangan si ibu. Masakan ibunya mana
pernah tak sedap!
“Insya-Allah, ibu doakan yang terbaik.” Doa Puan Suraya. Anak itu
dipeluknya kejap. Penuh kasih.
Irdina melepaskan pelukan ibunya lantas dia berjalan keluar dari rumah. Di
tangannya terdapat sebuah fail yang mengandungi resume dan sijil-sijil. Dia
tahu dia sendiri yang harus mengubah nasib dirinya. Dia hanya punya ibu. Irdina
nekad dia mahu mencari kerja dan menyara ibunya. Dia tak mahu lagi ibunya sibuk
membanting tulang pada usia ibunya sekarang. Ibunya sudah terlalu tua untuk
melakukan semua itu. Biarlah ibunya berehat pula.
Berbekalkan ijazah yang dimilikinya, dia mahu mengubah nasib mereka. Walaupun
hidup mereka tidaklah sesukar mana, tapi dia tak sanggup lagi melihat ibunya
bersusah payah berkerja. Bagi Irdina, sekarang sudah sampai masa untuk ibunya
berehat pula.
Irdina berjalan perlahan menuju ke perhentian bas yang terletak di hujung
jalan. Mujurlah rumahnya tidak jauh dari perhentian bas ini. Irdina mengesat
peluh yang mula membasahi wajahnya. Matahari pagi semakin hangat membakar
wajahnya. Mana tak nya, dah hampir pukul 11 pagi! Mujur tak lama dia menunggu
bas, bas sudah tiba.
Irdina mula menaiki bas, bas yang agak sarat dengan penumpang dan dia lebih
selesa untuk berdiri. Dia memandang ke luar, fikirannya mula menerawang jauh. Dia,
anak tunggal dan ibu bapanya sudah lama berpisah. Jika ditanya siapa ayahnya,
pasti dia sendiri tak punya jawapan. Dia tak pernah kenal sosok tubuh si ayah. Ibu
dan ayahnya berpisah sejak dia kecil lagi. Kadangkala, Irdina merasakan dirinya
tak bertuah seperti orang lain yang merasa kasih sayang si ayah. Dia hanya
punya ibu. Bagi Irdina, ibunya adalah segalanya bagi dia. Irdina tak punya
sesiapa lagi melainkan ibunya.
Ya, dia mungkin tak bertuah seperti orang lain. Air mata Irdina mula
bertakung di tubir mata. Mungkin luarannya dia nampak ceria, tapi dalamannya
ada ruang kosong. Rasa sepi. Rasa sunyi.
Irdina tersentak apabila pemandu bas brek secara mengejut. Terbang segala
fikirannya sebentar tadi. Fail di tangan pula sudah terlepas entah ke mana.
“Cik, fail cik.” Belum sempat matanya mencari fail yang terlepas ada
seseorang yang sudah menghulurkannya.
“Terima kasih.” Ucap Irdina, matanya mencari raut wajah di hadapannya. Cuba
melihat wajah si pemuda yang agak tersorok dengan topinya.
“Sama-sama.” Balas si pemuda. Ringkas, sedikitpun wajah Irdina tak dipandangnya.
Dan dia berlalu pergi.
Irdina hanya memandang sosok tubuh lelaki itu. Pelik.
“Ada lagi lelaki zaman sekarang macam ni?” bisik hati Irdina sendiri. Kebiasaannya
bukankah lelaki itu pantang lihat wanita berdahi licin? Tapi lelaki itu,
mamandangnya pun tak sudi!
“Aku tak cantik ke?” soalnya sendiri.
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada
orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka
(daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang
demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya
tentang apa yang mereka kerjakan.” ~ An-Nuur:30 ~
p/s: Dear readers, please drop your comments. Baru semangat sikit nak menaip kan ;)