BAB 22
Tepat jam
empat pagi itu Humaira terjaga dari tidur. Angin pagi yang menerobos masuk ke
dalam bilik melalui tingkap yang tidak ditutup menyegarkan lagi matanya.
Sejuknya meresap sehingga ke tulang!
Humaira
mengerling ke sisi, mencari seraut wajah yang dicintai. Memang sudah menjadi
kebiasaannya menatap wajah Wafiq setiap pagi. Mencari sedikit semangat dengan menatap
wajah tenang itu.
Dahi
Humaira berkerut apabila ruang di sebelahnya kosong. Pelik! Dia bingkas bangun
dan mengikat rambutnya yang sedikit tidak terurus.
“Dah
bangun ke?” soal Humaira sendiri. Biasanya dia yang terjaga awal.
Humaira
melangkah keluar dari bilik, mencari kelibat Wafiq. Dia jadi hairan sendiri,
Wafiq jarang terjaga seawal pagi. Dari ruang tamu, dia menjengah ke bilik kerja
apabila terperasankan lampu bilik itu masih terpasang.
Humaira
menguak sedikit pintu bilik kerja dan dia melangkah masuk ke dalam. Kepalanya
digeleng berkali-kali apabila terperasankan Wafiq yang sudah terlentok di atas
meja kerja.
“Astaghfirullah.
Kat sini rupanya.” Gumam Humaira.
“Abang,
bangun. Kenapa tidur kat sini?” tanya Humaira hairan. Keningnya sudah
terjongket tinggi.
Badan
Wafiq gerak sedikit apabila dikejut Humaira.
“Emm..”
dalam mamai Wafiq mengangkat muka. Tengkuknya diurut sedikit, lenguh apabila
tertidur di meja kerja.
“Kenapa
tidur kat sini?” soal Humaira lagi, tak pernah-pernah lagi Wafiq terlena di
meja kerja. Tak ke pelik tu?
Wafiq garu
kepala yang tak gatal. Akhirnya dia terlena juga setelah menyimpan diari
Humaira semalam. Pukul berapa dia terlelap, dia sendiri tak sedar.
“Emm,
abang masuk bilik dulu.” Wafiq membalas ringkas. Langkahnya agak tidak teratur,
kantuknya masih menguasai diri.
Humaira
hanya memandang langkah Wafiq. Dia mengoyak senyuman terpaksa. Kepala yang
tidak gatal digaru beberapa kali. Haih peliknya dengan Wafiq Rizqi ni!
Tiba di
depan pintu kamar mereka, langkah Wafiq terhenti. Mindanya mula merencana asbab
dia tertidur di bilik kerja. Ya, kerana diari itu! Dia merengus kasar. Dalam
keadaan terpaksa diatur juga langkah menuju ke katil. Rambutnya diramas kasar
sebelum dia merebahkan kepala di bantal.
Sungguh,
kepalanya sedang serabut tika ini. Matanya merenung kosong siling bilik.
Apabila kelibat Humaira menghampiri bilik, cepat-cepat dipejamnya mata
rapat-rapat. Berpura-pura tidur sedangkan otaknya mula giat mencari jawapan
kepada persoalan sendiri.
Humaira
tenang melangkah masuk ke dalam bilik, dilihatnya tubuh Wafiq yang sedang
keletihan berbaring di atas katil. Humaira tersenyum memandang seraut wajah
yang mula bertakhta di hatinya. Pantasnya masa berlalu, sudah tiga bulan usia
perkahwinan mereka.
Dalam tempoh tiga bulan ini macam-macam yang telah berlaku.
Wafiq akan tamat praktikalnya tidak lama lagi dan dia juga akan menamatkan
semester keempatnya tidak lama lagi. Sungguh masa yag berlalu dirasakan sangat
pantas, tambahan pula tugasnya sebagai seorang pelajar dan isteri membuatkan
diri sering kesuntukan masa.
Syuhada juga sudah mengikat tali pertunangan dengan pilihan
umminya. Akhirnya gadis itu akur dengan pilihan ummi tersayang. Insya-Allah tak
lama lagi Syuhada bakal mengikut jejak langkahnya mendirikan rumah tangga. Tapi
saat berlangsungnya pertunangan Syuhada, Humaira tidak dapat hadir kerana
majlis tersebut dilangsungkan di kampung ummi Syuhada di Kelantan. Walaupun
berasa sedikit terkilan namun Humaira turut gembira dengan pertunangan sahabatnya
itu.
Humaira melangkah ke arah katil, mahu mengejutkan Wafiq
untuk bertahajjud bersama. Masa-masa sunyi seperti inilah masa terbaik untuk
mereka berdating dengan Pencipta sendiri. Kalau seharian berpenat lelah
dengan urusan dunia, sekarang adalah masa terbaik untuk urusan akhirat pula.
“Abang..” Kejut Humaira perlahan. Dia mengusap perlahan
bahu Wafiq.
“Emm.” Wafiq membalas ringkas. Saat mindanya mula melupakan
masalah yang timbul dan ingin terlena ada pula tangan yang mengerakkannya.
“Nak bangun tak?” perlahan suara Humaira bertanya.
“Em, kejut abang pukul enamlah.” Wafiq memutuskan. Matanya
semakin memberat kerana kekurangan tidur. Kepalanya juga sudah menunjukkan symptom
migrain. Pantang dirinya kalau kurang tidur, mulalah migraine menyerang.
“Okay.” Humaira sedikit kecewa. Lamanya tak bertahajjud
dengan suami dalam keheningan pagi. Lamanya dia tak mendengar doa kudus dari
Waqfiq saat fajar subuh belum bermula.
Dengan langkah longlai diatur juga langkahnya mengambil
telekung yang elok tersidai. Dia mula memakai telekung berwarna putih itu, laju
kakinya melangkah ke arah meja solek.
“Beginilah wajahku ketika dikafankan, bezanya sekarang aku
mampu tersenyum.” Muhasabah hati Humaira sendiri, dia mengoyak senyuman hambar.
Sehambar hatinya yang kecewa dengan tingkah Wafiq sebentar tadi. Tapi dia akan
berusaha menjadi isteri yang memahami, dia tahu Wafiq penat semalaman
menyiapkan practical reportnya.
Diambilnya pula sejadah dan dihamparkan mengadap kiblat.
‘Ya Rabb,
hamba dating pada-Mu,’ bisik hatinya syahdu. Dia mula mengangkat takbir menuju
Dia yang satu.
Usai solat
sunatnya, Humaira melangkah ke meja belajar. Mahu menyelesaikan sedikit assignment
dan tutorialnya. Bagi Humaira suasana pagi yang tenang memudahkan dan
menambahkan lagi semangatnya untuk belajar. Dia harus buktikan walaupun
bergelar isteri ketika belajar namun itu bukanlah halangan untuknya mencapai
kejayaan. Fighting!
Setengah jam berlalu Humaira masih focus mengadap
tugasannya. Alarm dari jam loceng di atas meja belajar dimatikan. Sudah pukul
lima pagi. Dia meluruskan otot-otot yang mula keletihan. Dikerlingnya pula
Wafiq yang sedang lena di katil. Nampak penat sungguh wajah lelaki itu. Dalam
hatinya tertanya sendirian, pukul berapa agaknya lelaki itu tertidur? Pasti
tidak selesa kerana tertidur di meja kerja.
Humaira menyambung kembali fokusnya yang lari. Dia terus
khusyuk mengadap assignment dan tutorialnya sehinggalah azan subuh berkumandang
mengejutkan manusia dari lena. Sayup-sayup suara memuji kebesaran Ilahi pada
keningan pagi.
Tengah hari itu Wafiq masih di pejabat sedangkan
kawan-kawannya yang lain sudah mengisi perut masing-masing. Seleranya seakan
lumpuh tengah hari itu. Dia hanya duduk termenung di meja kerjanya. Hanya
tinggal seminggu lagi sebelum dia tamat latihan praktikalnya. Selepas itu dia
bebas!
Dibukanya
laci kerja lalu diambilnya lagi diari lama itu. Sebelum ke pejabat pagi tadi
sempat pula dia memasukkan diari tersebut ke dalam briefcase miliknya.
Ada rahsia yang harus dibongkar dan kuncinya hanya ada pada diari tersebut.
Dia
menarik nafas panjang, mencari sedikit kekuatan untuk membaca diari tersebut.
Hati yang sedikit sakit dipujuknya. Dia jadi keliru dengan rasa hatinya selepas
membaca diari itu. Ada rasa cemburu dan marah dengan kenangan silam Humaira.
Dia buntu! Hari ini buat pertama kalinya dia tidak menjamah sarapan yang
disediakan Humaira, bukan itu saja solat subuh mereka juga tidak berjemaah pagi
ini. Lain dari kebiasaannya. Bukan dia tak perasan wajah mendung dan air mata
di wajah isterinya tapi entah tiba-tiba hatinya menjadi sekeras kerikil. Saat
ini hatinya pada isteri kosong. Sekosong kanvas yang belum dilakarkan.
10 Dec 2007
Hari ini S menelefonku, suaranya sarat dengan rasa rindu
dan cinta. Melalui suaranya aku tahu dia memang menyintaiku. Katanya dia sudah
berada di kampung dan sedang mencari kerja sementara menunggu keputusan SPMnya
keluar tahun hadapan. Katanya lagi dia mahu kami berjumpa minggu hadapan.
Melalui perbualan kami di talian S meluahkan perasaan rindunya. Sungguh S
memang bijak menyusun bicara membuatkan aku semakin jatuh cinta! Dan
sememangnya diri ini tersangat bertuah kerana mendapat cinta lelaki yang hebat
seperti S. Tak sabarnya menanti pertemuan kami seterusnya dan sudah pasti mulai
hari ini aku akan terus menghitung pertemuan nanti.
Wafiq melemparkan senyum sinis. Melalui suara saja sudah
tahu lelaki itu mencintai dirinya? Ahh cinta monyet, semuanya indah belaka!
Wafiq menyelak lagi helaian seterusnya. Dirinya tertanya
sendiri. ‘Hebat sangatkah bekas kekasih Humaira?’
18 Dec 2007
Aku dan dia keluar bersama hari ini. Menatap wajahnya
meleraikan rindu yang semakin bermukim di hati. Sukarnya percintaan jarak jauh.
Kami ke taman dahulu, bertukar cerita setelah lama tak bersua. Mula-mulanya aku
agak malu namun S bijak saja membuatkanku selesa. Katanya dia mahu kami kerap bertemu dan mujurlah jarak
Batu Pahat dan rumahnya tidak terlalu jauh. Kami menghabiskan masa bersama,
menyulam impian masa depan bersama. Dan sudah pasti pertemuan ini berjaya
meleraikan rasa rindu yang menyesakkan dada.
Wafiq melemparkan senyuman hambar, kata-kata romantis
Humaira yang terlakar di diari membuatkan dadanya sesak sendiri. Kenapa Humaira
jarang sekali menuturkan bicara seperti itu dengannya? Adakah Humaira mencintai
S melebihi dirinya? Soal hatinya sendirian.
Dia menyelak lagi helaian seterusnya, keadaan pejabat yang
sunyi membuatkan semangat ingin tahu terhadap kisah silam isterinya semakin
berkobar. Helaian kali ini agak lain, dakwat pennya seolah telah comot dibasahi
air. Hati Wafiq semakin tertanya dan dia kembali meneruskan bacaannya.
25 Dec 2007
Saat aku menulis diari ini hatiku hancur, sehancurnya.
Hanya enam bulan percintaan kami dan S telah berjaya memperbodohkan aku.
Sedihnya rasa hati hanya Dia yang tahu! Dan aku akan ingat kenangan ini
selamanya! Inikah balasan kerana menderhaka kata ibu dan abah? Abah, maafkan
Mia! Aku tak kuat untuk mencoret nukilan seterusnya!
Rasa ingin
tahu semakin membukit di dada dan Wafiq pasti dakwat comot pada diairi tersebut
kerana kesan air mata Humaira. Humaira menangis sambil menulis, dia pasti itu!
Saat rasa ingin tahu semakin membara dalam dirinya, ada pula suara yang
menengurnya.
“Tak
keluar rehat bro?” Tanya Asyraf merangkap teman sekerjanya.
Wafiq
terkedu, lidahnya seakan kelu untuk menjawab soalan semudah itu. Saat hatinya
teruja untuk meneruskan bacaan, dia disapa pula dengan soalan sebegitu, mahu
tak terkedu!
“Err..”
sungguh lidahnya kelu menjawab soalan. Bagaikan pesalah yang sedang tertangkap
ketika melakukan kesalahan.
“Yang kau
macam nampak hantu ni kenapa?” Tanya Asyraf pelik. Hairan. Pucatnya wajah Wafiq
saat ini, kalau ditoreh pasti tak berdarah!
“Hah??”
soal Wafiq terpinga-pinga. Mindanya mula berfungsi saat ini.
“Kenapa
kau tak lunch hari ni?” Asyraf ulang semula soalannya sebentar tadi. Aihh
Wafiq, jauhnyaa kau mengelamun!
“Ohh tak.
Tak lapar.” Wafiq tayang sengih, sedar kesilapan diri yang sudah jauh
mengelamun. Tangannya laju memasukkan kembali diari Humaira ke dalam laci. Tertangguh
lagi niatnya macam membaca diari tersebut.
Asyraf
mengukir senyuman. Selalunya Wafiq yang akan bersemangat bila lunch time
mereka tapi hari ini?
“Pelik
betullah kau hari ni, ada masalah ke?” soal Asyraf prihatin.
“Er,
takdelah bro. Jom solat.” Dalih Wafiq, diajaknya pula Asyraf untuk solat Zuhur
bersama.
Asyraf
hanya mengikut langkah Wafiq tapi mindanya mula mengerah jawapan sikap Wafiq
hari ini dan dia tahu Wafiq punya masalahnya sendiri. Dia pasti! Mungkin Wafiq memerlukan
ruangnya sendiri.
P/s: 3 chapters to go :) kat blog nisa akan letak sampai bab 25 saja :)
And nisa akan letak scene Aisy al Hafiz dan Husna Humaira dalam bab last nanti (bab 25) insya-Allah :D