Monday, 27 May 2013

Penghijrahan Cinta 13


BAB 13

“Aku terima nikahnya Damia Humaira binti Sulaiman dengan mas kahwinnya senaskah al-Quran tunai” hanya sekali lafaz Humaira sah menjadi milik Wafiq.

Humaira menadah tangan mengaminkan doa yang dibaca Wafiq. Sungguh relung hatinya bagai disimbah air, tenang setenangnya. Tapi tak dinafikan ada rasa syahdu dan sayu dalam hatinya. Ya dia kini milik kepada Wafiq Rizqi. Hanya tempoh tiga bulan dia bertunang dengan Wafiq, itulah perancangan keluarganya dan Wafiq.

Humaira hanya ringkas dengan jubah putih bersulam manik-manik kecil. Simple sahaja jubahnya demi menjaga berkat majlis pernikahannya. Dia tidak mahu ada pembaziran dalam walimahnya, cukuplah dalam kesederhanaan.

Air mata yang sudah bertakung di tubir mata dilap dengan tisu oleh adiknya usai sahaja bacaan doa oleh Wafiq. Mana mungkin dia tidak sedih dan terharu, air mata ini bukanlah air mata kesedihan semata-mata tapi juga air mata kegembiraan. Rasa sedih bercampur baur dengan rasa gembira. Sedih kerana selepas ini syurganya bukan lagi di bawah tapak kaki ibunya, anak manja yang dahulunya hanya bergantung kepada redha ibu semata-mata telah pun menjadi suri untuk pemuda lain. Dan rasa gembiranya kerana akhirnya separuh dari agamanya telah disempurnakan sepertimana sabda Rasululllah S.A.W yang bermaksud:

"Apabila seorang hamba Allah berkahwin, maka telah sempurna separuh daripada agama. Maka hendaklah dia bertakwa kepada Allah pada separuh yang berbaki"

Dan sudah pastinya dia gembira kerana dia mahu menyalurkan cintanya dengan jalan yang halal. Bukankah pernikahan itu jalan yang halal untuk setiap pasangan menyalurkan cinta. Humaira tersentak saat adiknya membisikkan sesuatu di telinganya.

“Kak, kejap lagi upacara pembatalan air sembahyang” lembut suara Haziqah mengingatkan.

Humaira menanti dalam debar, sungguh dia rasa gugup untuk berhadapan dengan suami. Dalam hati tak henti-henti dia melafazkan istighfar dan selawat memohon ketenangan.

Wafiq melangkah perlahan ke arah Humaira usai sahaja dia solat sunat dua rakaat sebentar tadi. Dia merenung sang bidadari yang sedang tertunduk malu itu. Sungguh Humaira cantik di matanya, cantik dalam kesederhanaan, hanya make up yang nipis dikenakan.

Wafiq menghulurkan tangan dan Humaira menyambut sopan. Dikucupnya tangan si suami dengan rasa cinta yang mula membara. Mungkinkah ini barakahnya menjaga perhubungan? Rasa cinta yang sebelum ini tiada tiba-tiba bagaikan hadir dengan rasa luar biasa.

Wafiq memengang ubun-ubun Humaira, adat mengucup ubun-ubun isteri diganti dengan sunnah nabi iaitu membaca doa sambil meletakkan tangan di ubun-ubun isteri. Lalu dibacakan sepotong doa ajaran Rasulullah saat tangannya memengang ubun-ubun si isteri.

Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dari kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau tetapkan kepadanya, dan aku berlindung kepada-Mu dari kejahatannya dan kejahatan yang Engkau tetapkan padanya. Ya Allah berkatilah isteriku ini atasku dan lindungi dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya”

Air mata Humaira terus mengalir keluar, rasa terharu dengan doa tulus dari suami. Moga ada sinar bahagia buat mereka yang menegakkan sunnah rasul ini.

Wafiq tersenyum usai sahaja mengamalkan sunnah nabi itu. Dia memandang Humaira dengan rasa cinta. Tak perlu lagi dia perlu menundukkan pandangan apabila ingin menatap wajah lembut itu, kini semuanya telah halal. Bahkan insya-Allah mendapat pahala pula jika memandang isteri dengan rasa cinta. Dan dia teringat hadis riwayat daripada Abu Daud iaitu antara kunci kebahagiaan bagi seorang lelaki ialah isteri solehah. Isteri solehah, jika dipandang membuatmu semakin sayang. Dan jika kamu pergi membuatmu berasa aman kerana dia mampu menjaga kehormatan dirinya dan hartamu.

“Ehem, ehem” usik Haikal apabila dilihatnya kedua mempelai seperti dalam dunia mereka sendiri.

Wafiq dan Humaira bagaikan tersedar kembali di mana bumi dipijak, lantas kedua-duanya melarikan pandangan.

“Ishh budak ni, cubalah jangan dikacau akak dengan abang kamu tu” tegur Puan Hanis lembut. Dalam diam bibirnya tersenyum nipis melihat tingkah anak dan menantunya.

Humaira sudah tertunduk malu, haishh sempat pulak dia berangan kan? Panas rasa mukanya saat ini, hah free blushing gitu. Nasib baik tak pakai blusher tadi kalau tak alamatnya dah macam badut sarkas rupanya.

Wafiq dan Humaira bersalaman dengan keluarga terdekat, mereka juga menjemput tetamu untuk menjamah hidangan. Majlis walimahnya hanya simple, itu permintaannya. Cukuplah dalam keserhanaan tetapi barakahnya kian terasa.

“Humaira, mabruk! Barakallahu laka wa baraka ‘alaik, wa jama’a bainakuma fi khair”
Mudah-mudahan Allah memberkahimu, baik ketika senang mahupun susah dan selalu mengumpulkan kamu berdua pada kebaikan” ucap Liyana sebaik sahaja dia didekati Humaira. Sempat pula dititipkan doa untuk sang pengantin baru itu.

Humaira tersenyum lantas dia memeluk erat tubuh sahabat fillah yang banyak menasihati dirinya itu. Dia kemudian memeluk Syuhada yang nampak manis berjubah hijau itu. Bahagianya punya sahabat yang sentiasa berada dalam medan perjuangan yang sama.

“Liyana dan kawan cik bidadari silalah jemput makan” tiba-tiba muncul pula Wafiq menyertai mereka.

Humaira sudah tergelak kecil apabila mendengar gelaran baru untuk Syuhada. Sudah pasti Wafiq tidak tahu nama Syuhada.

'Kawan cik bidadari ya' hatinya bermonolog nakal.

Syuhada hanya tersenyum.

“Awak, her name is Syuhada not 'kawan cik bidadari'” kata Humaira mengusik, dikenalkan Syuhada kepada Wafiq.

“Hah, maaflah tak tahu nama. Hah, jemput makan” ujar Wafiq lagi.

Liyana dan Syuhada sama-sama tersenyum, tumpang gembira dengan pernikahan yang baru dibina. Alhamdulillah, sunnah nabi telah terlaksana. Bukankah pernikahan adalah sunnah baginda?

“Aku menikahi wanita maka barangsiapa yang tidak suka dengan sunnahku, maka bukanlah dia dari golonganku” -HR Bukhari-

Mereka sama-sama beriringan dengan mempelai berjalan menuju ke khemah yang telah diasingkan kepada tiga kategori iaitu khemah untuk muslimin, muslimah dan untuk keluarga. Khemah untuk keluarga diletakkan meja bulat khas untuk mereka yang sudah berkeluarga menjamu selera. Biarpun majlis itu hanya untuk saudara-mara dan rakan terdekat tapi kemeriahannya tetap dirasa, alhamdulillah.

Usai solat Asar bersama, Humaira dan Wafiq hanya duduk berehat melepaskan lelah di bilik. Alhamdulillah berjalan lancar majlis pernikahan mereka pagi tadi. Bagaikan mimpi kini mereka sudah menjadi suami isteri.

“Err awak, nak turun bawah tak?” tanya Humaira menanggalkan telekung di kepala. Dia memandang wajah Wafiq.

“Hah, apa?” soal Wafiq kurang jelas, dia bagaikan dipaku melihat kecantikan si bidadari. Cantiknya Humaira. Terpaku melihat mahkota isteri yang selama ini dijaga rapi kini menjadi santapan buatnya seorang.

Humaira mula berasa tidak selesa dengan pandangan Wafiq. Haih pandang macam tak pernah jumpa orang. Dia akui mula-mula dahulu agak sukar untuk dia menerima Wafiq tapi melihat kesungguhan anak muda itu hatinya tertawan juga.

“Apa pandang orang macam tu?” tanya Humaira kurang selesa.

“Hah??” soal Wafiq blurr.

Humaira menyimpan telekungnya di tempat penyidai. Sejak bila pulak Wafiq ni asyik 'hah' 'hah' je? Adoi.

“Maira cakap apa tadi?” tanya Wafiq lembut.

Tegak terus bulu roma Humaira mendengar suara lembut Wafiq. Dia mengambil tudung yang siap tersidai. Ahh baik dia lariii dulu.

“Orang nak turun dulu, jumpa kat bawah” ujar Humaira kalut, langkahnya nampak tempang.

“Ok, kalau rajin buatkan abang air milo” balas Wafiq.

Terhenti langkah Humaira. ab.. abang? Selambanya Wafiq sedangkan dia dah macam nak terjun kolam ikan je.

“Err, insya-Allah” balas Humaira, cepat-cepat dilarikan diri. Baik dia lari sebelum macam-macam lagi yang diminta Wafiq.

Humaira mengetuk perlahan dahinya saat dia tiba di dapur. Haih macam mana nak jadi isteri solehah ni? Baru berapa jam kahwin dah nak lari dari suami? Err, dia bukan larikan diri cuma elakkan diri. Hah, tak sama kan?

“Assalamualaikum, sihat menantu mama?” soal Puan Wafiyyah sebaik dia tiba di dapur. Ibu mertuanya masih lagi berada di kampungnya selepas akad nikah mereka pagi tadi.

“Ishh, awak ni. Ada tanya soalan macam tu. Mestilah sihat, tengok muka je dah tahu” sampuk pula bapa mertuanya.

Humaira hanya tersengih, macam-macam gelagat pula keluarga barunya itu.

“Waalaikumsalam, alhamdulillah sihat ma. Mama and papa nak minum air apa? Biar Humaira buatkan” jawab Humaira tersenyum.

“Ala tak payah susah-susah, mama dengan papa dah minum dah” jawab Puan Wafiyyah. Dia memandang wajah bersih Humaira. Sejak jumpa kali pertama dengan gadis itu dia sudah jatuh hati.

“Betul tak nak ni? Bukan senang tau nak merasa air tangan Humaira ni” usik Humaira, dia mula menyesuaikan diri dengan mertuanya.

“Kalau orang memberi tak elok kita menolak. Bolehlah kalau kamu dah kata gitu” jawab Puan Wafiyyah.

“Encik Suami mana?” tanya Encik Razak mencari kelibat anak bongsunya.

Humaira angkat kening, Encik Suami. Dia tersenyum, aih macam-macam papa dan mamanya ni. Ada saja yang mencuit hati kecilnya.

“Err, dekat atas pa” jawab Humaira ringkas, dia mula mengambil teko dan memasukkan beberapa sudu nescafe ke dalam teko. Untuk Wafiq diletakkan beberapa sudu milo dan gula, diletakkan juga sedikit susu dan air panas. Siap, settle. Kemudian dia meletakkan gula dan menuangkan air panas ke dalam teko. Siap!

Humaira menghidangkan air di atas meja, dituangkan air tersebut ke dalam cawan untuk mertuanya.

“Jemput ma, pa. Air bujang je ni. Maira nak hantar air ke atas kejap” ujar Humaira.

Dibawa pula mug untuk Wafiq ke dalam bilik. Sempat dititipkan doa pengasih ajaran rasul ke dalam minuman Wafiq.

“Ya Allah, jadikanlah hamba-Mu ini menyintai orang yang beriman dan jadikanlah orang yang beriman menyintaiku” bisiknya perlahan.

“Awak..” panggil Humaira sebaik sahaja dia masuk ke dalam bilik. Dilihat elok saja Wafiq sedang merenung keluar jendela.

Wafiq berpaling apabila mendengar suara Humaira. Dia tersenyum.

“Minum..” jemput Humaira sopan, dihulurkan mug tersebut kepada Wafiq.

“Terima kasih” jawab Wafiq menyambut huluran Humaira.

“Sedap air yang Maira buat” puji Wafiq.

Humaira hanya tersenyum, macam tak percaya Wafiq yang dia kenal dulu bercakap selembut ni. Kelakar pula apabila teringatkan perangai tak matang mereka dulu.

“Kenapa senyum, tak percaya eh? Hah cuba Maira rasa sendiri” Wafiq sudah menghulurkan kembali mug tersebut kepada Humaira.

Humaira menggeleng kepala, haih misunderstanding pulak suami den ni!

“Cuba Maira rasa, betul abang tak tipu. Sedap” ujar Wafiq lagi, kali ini betul-betul disuakan mug tersebut ke bibir Humaira, terpaksa juga Humaira 'merasa' air tangannya sendiri.

Wafiq tersenyum puas. Dia memerhati wajah Humaira dihadapannya.

“Sedap kan?” soal Wafiq sebaik sahaja Humaira minum air tersebut.

Humaira hanya mengangguk, rasa segan tiba-tiba saja hadir.

“Maira, I have something for you” ujar Wafiq. Dia melangkah ke arah katil. Meletakkan mug di meja kecil tepi katil dan melangkah ke arah almari solek dan mengambil kad yang sudah tersedia di atas meja solek itu.

Dia melangkah perlahan ke arah Humaira. Dihulurkan kad tersebut.

Humaira mengambil kad tersebut, cantik.

“Boleh Maira baca?” soal Humaira polos.

“Bacalah, memang untuk dibaca” balas Wafiq.

Humaira membaca kad itu. Dia tersenyum sendiri saat membaca kad tersebut.

Dia yang aku cinta.

Dia yang aku cinta,
Buat kali pertama,
Moga dia jugalah selamanya,
Bersatu kita dalam kasih sayang-Nya,
Moga cinta kita kerana Dia.

Dia yang aku cinta,
Bukanlah mudah untuk meluahkan,
Cukuplah dalam kesederhanaan,
Kerana kutahu cinta itu bukan Tuhan,
Tapi aku mahu mencintaimu dengan redha Tuhan.

Dia yang aku cinta,
Sudikah kau menjadi sayap perjuangan,
Buat suami yang tak culas dengan kesilapan,
Yang sentiasa inginkan perubahan,
Sebelum kembali bertemu Tuhan.

Dia yang aku cinta,
Bukan kerana rupa,
Bukan jua kerana harta,
Tapi pada agama,
Dan akhlak yang kau jaga.

-Wafiq Rizqi-



Saturday, 25 May 2013

Penghijarahan Cinta 12


BAB 12

Humaira duduk termenung di atas katil, telekung yang masih tersarung di kepala masih belum dibuka. Hari ini sudah masuk hari ketiga Wafiq dan Haikal bermusafir ke rumah tok abahnya di Kota Tinggi.

Masih terngiang-ngiang di telinganya suara adiknya Haikal ketika mereka berbual di telefon sebentar tadi. Suara ceria adiknya menceritakan tingkah Wafiq di sana. Wafiq itu baiklah, Wafiq pandai ambil hati tok abahlah, Wafiq pemurah belanja mereka makanlah, Wafiq itu, Wafiq ini. Semua yang baik-baik tentang Wafiq diceritakan adiknya itu, bagaikan mempromosi barangan pula.

Nampaknya Wafiq mudah saja mengambil hati tok abahnya dan adiknya Haikal. Haikal juga tidak habis-habis memuji bacaan Wafiq yang merdu ketika menjadi imam, katanya bacaan Wafiq sempurna tajwidnya dan Wafiq juga pandai bertarannum.

Humaira menarik nafas panjang, nampaknya Wafiq berjaya dengan cabaran kali ini. Maka, apa lagi sebab dia harus menolak lelaki itu. Istikharahnya juga menunjukkan tanda-tanda positif. Memang Humaira tak dapat nafikan Wafiq seorang pemuda yang baik cuma dia jadi tertanya-tanya sendiri bagaimana Wafiq boleh menyukainya dan nekad merisik dia.

Dia masih teringat Wafiq yang gugup ketika berhadapan dengannya di ruang tamu rumahnya. Lain yang ingin dibincang pemuda itu lain pula yang terkeluar dari mulutnya.

“Err kenapa family awak panggil Mia?” soalan itu yang terlontar dari mulut Wafiq ketika itu. Humaira yakin sebenarnya itu bukanlah soalan yang ingin ditanya Wafiq. Melihat wajah gugup Wafiq saja sudah menyakinkan dia.

Dan selepas mendapat kenyakinan barulah pemuda itu serius membincangkan hubungan mereka di hadapan ibu dan adiknya Haikal. Masih dia ingat senyuman di bibir Haikal yang menahan tawa melihat wajah kalut Wafiq.

Humaira mengeluh panjang, dia membuka telekung di kepala. Mengikut perancangan Wafiq jika tiada aral dia ingin menikahi Humaira sebelum pemuda itu menjalani latihan praktikal. Ini bermakna hanya tinggal kira-kira empat bulan sahaja lagi.

Humaira menarik nafas panjang, bersediakah dirinya untuk menjadi isteri lelaki itu? Dan persoalannya masih belum dirungkai, mengapa dia yang dipilih Wafiq sebagai teman hidup? Bagaimana kehidupan mereka selepas bernikah nanti?

Humaira membuka tingkap bilik, angin pagi mula menerobos masuk ke dalam bilik. Sejuknya mendamaikan, fresh air lagi. Hari ini Wafiq akan pulang dari Kota Tinggi dan pemuda itu inginkan kata putus sebelum menghantar orang tuanya untuk majlis pertunangan.

Sedang Humaira ralit memerhati keindahan pagi, pintu biliknya diketuk.

“Masuklah ibu, pintu tak kunci” ujar Humaira, dia yakin ibunya yang mengetuk pintu biliknya sebentar tadi.

Puan Hanis melangkah masuk ke bilik anak sulungnya. Dia memerhati bilik yang kemas tersusun itu. Hatinya lega, anak yang dijaga selama ini kian menginjak dewasa malah semakin matang.

“Awalnya anak ibu ni dah termenung?” usik Puan Hanis. Dia melabuhkan punggungnya di katil. Memerhatikan Humaira yang ralit merenung suasana pagi.

Humaira mengorak langkah mengampiri ibunya. Dia tersenyum.

“Mana ada Mia termenung ibu” dalih Humaira, dia duduk di sebelah ibunya.

“Ibu, Mia nak baring dekat peha ibu. Boleh?” pinta Humaira manja.

“Boleh sayang” balas Puan Hanis lembut.

Humaira mula merebahkan kepalanya di atas peha ibunya. Terasa segala beban yang dihadapinya terbang begitu saja. Dia perasan ada tangan yang sedang mengusap lembut rambutnya. Ohh ibu, sentuhannya memang mendamaikan. Hilang segala resah di hati.

“Hari ni Haikal dengan Wafiq balik” ujar Puan Hanis memulakan bicara.

Mata Humaira yang mula tertutup kembali terbuka. Dia jadi gugup sendiri. Apa agaknya yang terjadi selepas ini?

“Ibu suka Wafiq?” soal Humaira. Dia ingin mengetahui Wafiq dari pandangan kaca mata ibunya.

Puan Hanis tersenyum, dia terus membelai rambut Humaira yang panjang itu. Rambut lurus yang diwarisi daripada dirinya.

“Mia suka Wafiq?” soalan dibalas soalan, sengaja mahu menguji anak gadisnya.

Humaira tersentak, tak sangka soalan itu yang akan ditanya ibunya. Dia suka Wafiq? Nak kata suka tu taklah sangat, tapi rasa benci dengan Wafiq tu dah lama terpadam sejak lelaki itu menunjukkan kesungguhannya merisik dirinya.

“Entahlah Mia pun tak tahu. Kadangkala Mia rasa Mia fobia dengan cinta. Kenangan pahit dulu masih kukuh dalam ingatan Mia ni ibu, Mia takut” luah Humaira jujur.

Puan Hanis menggeleng, simpati dengan nasib anak sulungnya. Kasihan gadis ini, masa silamnya masih menghantui.

“Mia, semalam hanya tinggal sejarah. Yang penting kita ambil ibrah dari kesilapan lalu. Cinta tu kan fitrah” nasihat Puan Hanis lembut.

“Entahlah, Mia takut” jawab Humaira perlahan.

“Ibu rasa Wafiq macam mana?” soalnya lagi.

Puan Hanis tersenyum, sejujurnya dia sudah terpikat dengan tingkah Wafiq. Seorang anak muda yang bersungguh-sungguh dan bertanggungjawab. Insya-Allah dia tahu Wafiq akan berjaya membimbing Humaira nanti.

“Bagi ibu, dia seorang syabab yang bertanggungjawab dan matlamat hidupnya juga tersusun. Kata Haikal, agamanya juga baik dan cara dia bermuamalat juga baik sepanjang mereka di sana” ujar Puan Hanis. Ya, segala tingkah Wafiq di sana diberitahu oleh Haikal.

“Ibu setuju dengan risikan Wafiq?” soal Humaira, debaran di dada semakin kencang.

Puan Hanis menganggukkan kepalanya. Ukuran apa lagi yang diajar rasul selain memilih seseorang itu kerana agama dan akhlaknya?

“Ibu setuju dengan risikannya tapi kamu yang berhak memilih. Ibu takkan paksa malah ibu akan raikan apa saja pilihan kamu” Puan Hanis menjawab.

Humaira menarik nafas, dia bermain dengan hujung rambutnya. Nampak Wafiq berjaya memikat hati ibunya dan Haikal dengan caranya yang tersendiri. Maka, ada pilihan lain untuk dia menolak Wafiq yang baik agama dan akhlaknya?

Humaira teringat kepada sepotong hadis yang bermaksud:

Apabila datang kepadamu seorang laki-laki untuk meminang, yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi” -H.R al-Baihaqi-

Dan sepotong lagi hadis yang bermaksud:

“Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap urusan mandi dan kafan dan anak gadis setelah ditemui pasangan yang sesuai untuknya” -H.R. Tirmidzi-

Ya, moga pilihan yang dilakukan ini tepat. Memilih seseorang yang akan menjaga akhiratnya. Moga dirinya juga mampu menjadi sayap perjuangan buat si syabab agama.

Duhai Syabab Agama.

Duhai Syabab Agama,
Aku memilihmu bukan kerana harta,
Bukan jua kerana rupa,
Tapi kerana agama,
Jua kerana ilmumu di dalam dada.

Duhai Syabab Agama,
Aku punya cita-cita,
Agar kita sama-sama mengejar cinta-Nya,
Agar aku mampu menjadi sayap perjuanganmu,
Dan membawa cinta kita terus tembus ke syurga.

Duhai Syabab Agama,
Cintailah aku dengan seadanya,
Dengan sederhana,
Tak melebihi cinta-Nya,
Kerana aku juga manusia biasa,
Yang tak kurang silap dan salahnya.

Duhai Syabab Agama,
Lamarlah aku kerana cinta-Nya,
Bukan kerana dunia,
Bukan kerana rupa,
Kelak kau akan derita,
Jika bukan kerana agama.

Duhai Syabab Agama,
Cintailah aku kerana diriku,
Syukurilah kelebihanku,
Dan bimbinglah kekuranganku,
Agar kita bersatu,
Bukan kerana nafsu.

-Srikandi agama-

Wafiq memakirkan kereta di garaj, dia dan Haikal selamat tiba di rumah Humaira setelah tiga hari bermusafir di Kota Tinggi, Johor. Hari ini juga dia akan pulang ke Selangor selepas maghrib nanti. Pelbagai pengalaman yang sempat dikutipnya ketika berada di kampung tok abah Humaira. Sungguh dia semakin selesa berada dalam lingkungan keluarga Humaira.

Keluarga yang sederhana, keluarga yang selalu meraikan tetamu. Tok abah Humaira juga sangat peramah orangnya dan menyebabkan dia senang bergaul dengan orang tua itu. Pelbagai nasihat dan pengalaman yang diambilnya dari tok abah Humaira.

Sungguh dia tidak menduga, perjalanan dan niatnya untuk merisik Humaira dipermudahkan. Dia juga tidak menyangka yang tok abah Humaira yang sangat peramah melayaninya sebagai tetamu bertukar menjadi sangat serius berkaitan dengan agama. Pernah juga dia ditanya dengan soalan yang tak disangka iaitu berkenaan dengan mandi wajib dan jenis-jenis darah wanita. Sungguh dia tak menduga soalan itu yang diuji oleh tok abah Humaira. Mujurlah dia dapat menjawab soalan tersebut dengan mudah berkat daripada menghadiri kuliah maghrib di Pusat Islam yang jarang ditinggalkan.

Kata tok abah Humaira, lelaki sebagai ketua keluarga harus tahu berkaitan dengan hal-hal wanita. Mereka harus tahu walaupun soalan yang kadangkala dianggap remeh oleh sebahagian lelaki. Tersentap seketika dirinya ketika itu, bagaikan terkena batang hidung sendiri.

“Abang, ok tak? Tak nak masuk ke?” soal Haikal mematikan lamunannya. Dia memandang kelibat Haikal yang telah pun keluar dari perut kereta.

Wafiq pantas mengikut langkah Haikal. Dia semakin selesa dengan pemuda yang merangkap wali Humaira itu. Dan hari ini juga dia inginkan kata putus dari Humaira tentang risikannya. Jika berjaya, dia akan membawa orang tuanya bertemu keluarga Humaira sekaligus melangsungkan pertunangan mereka.

“Assalamualaikum” Wafiq memberi salam sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam rumah Humaira.

“Waalaikumsalam. Jemput duduk Wafiq” pelawa Puan Hanis dengan wajah mesranya. Tidak luntur wajah itu dengan senyuman.

Wafiq melabuhkan punggungnya di sebelah Haikal. Dia terpandangkan seteko air yang sudah pun berada di atas meja kecil itu. Dia tahu Humaira yang menghidangkan minuman itu sebelum dia dan Haikal tiba di rumah itu. Dia juga tahu Humaira seolah-olah cuba melarikan diri daripadanya, mungkin juga gadis itu malu dan mungkin juga gadis itu tidak suka dengan risikannya.

“Hah, jemput minum. Sejuk pulak nanti air tu” Puan Hanis mempelawa apabila dilihatnya pemuda itu masih tidak menjamah minuman yang dihidang.

Wafiq menuangkan air tersebut ke dalam tiga cawan. Dia memerhati ruang tamu yang hanya menempatkan mereka bertiga. Dia tercari-cari kelibat Humaira. Ya, ada hal yang ingin dibincangkan lagi sebelum dia pulang ke Selangor malam ini.

“Mak cik, saya nak mintak izin cakap dengan Humaira boleh?” pintanya sopan.

Puan Hanis hanya tersenyum. Dia bingkas bangun.

“Kejap, mak cik panggilkan” jawab Puan Hanis sebelum berlalu pergi.

“Mia, Wafiq nak jumpa kejap. Ada hal nak dibincangkan” ujar Puan Hanis sebaik saja dia tiba di hadapan pintu bilik anaknya itu.

Humaira hanya mengangguk tanda mengerti sebelum dia mengemaskan kembali lipatan tudungnya. Dia mengekori langkah ibunya dari belakang. Debaran di dada usah dicakap, seperti jantungnya tak mampu berfungsi mengepam darah.

“Assalamualaikum” sapa Humaira perlahan. Dia duduk di sebelah ibunya. Kepala ditunduk ke lantai. Malu. Haih sejak bila dia jadi pemalu bila berhadapan dengan Wafiq? Mungkin hormonnya ada masalah agaknya.

“Waalaikumsalam” jawab Wafiq dan Haikal serentak. Wafiq memandang wajah Humaira yang sedang menunduk. Sungguh gadis itu semakin menenangkan di pandangannya. Dia kembali mengalihkan pandangan apabila merasakan dirinya sudah terhanyut dalam dunia sendiri. Astaghfirullah, mujahid sila jaga pandangan!

“Sebenarnya hari ni saya nak mintak kata putus dari Humaira sendiri tentang risikan saya tempoh hari” ujar Wafiq berterus terang.

Humaira menelan air liur, kesat.

“Humaira, setuju atau tidak untuk menjadi isteri saya?” sambung Wafiq lagi. Dia menarik nafas, mencari kekuatan menerima apa saja keputusan Humaira.

Puan Hanis sudah tersenyum, dia tahu Humaira dan Wafiq masing-masing sedang gugup. Dia memengang tangan Humaira menyalurkan kekuatan.

Humaira mengangkat wajah apabila dirasakan ada tangan yang sedang memengang tangannya. Dia memandang wajah ibunya yang sedang tersenyum.

Apabila melihatkan Humaira masih tidak memberi respon, Wafiq jadi bertambah debar. Dalam hati dia berdoa agar dipermudahkan. Sungguh ini pertama kali dia jatuh cinta dan dia bersungguh-sungguh mahukan hubungan yang halal dengan Humaira.

“Maira, jujur saya ingin menjadikan awak suri dalam hidup saya melalui jalan yang paling diredhai Allah. Kalau ditanya mengapa saya ingin menikahi awak, jawapannya adalah kerana agama. Saya ingin menjaga hati saya dari terfitnah. Saya ingin mencintai awak dengan cara yang Allah redha” ujar Wafiq sungguh-sungguh. Dia sendiri tidak tahu daripada mana kekuatan itu datang.

Humaira terharu, hatinya jadi syahdu mendengar ucapan ikhlas yang terluah dari bibir Wafiq. Dia mengumpul kekuatan untuk membalas bicara lelaki itu.

“Mak cik, izinkan saya untuk mengambil puteri sulung mak cik sebagai isteri. Sungguh saya bukanlah pemuda yang terbaik untuk dia tapi insya-Allah saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi yang terbaik” luah Wafiq, kali ini dia memandang tepat wajah Puan Hanis. Air matanya sudah bergenang di tubir mata.

“Wafiq, saya juga bukanlah perempuan yang baik dan solehah. Saya juga punya kesilapan dan masa silam saya sendiri. Saya masih lagi mencari nilai solehah dalam diri dan sedang berusaha ke arah itu” Humaira mula membuka mulut.

“Humaira, semua orang punya khilafnya sendiri. Saya ingin awak menjadi sayap perjuangan agama saya” luah Wafiq lagi.

“Mia serahkan pada ibu” jawab Humaira. Ya, dia menyerahkan keputusan pada ibunya. Dia yakin ibunya pandai menilai.

Puan Hanis terkaku sendiri. Dia menarik nafas panjang.

“Mia, buatlah keputusan untuk diri sendiri. Kami akan raikan keputusan Mia” jawab Puan Hanis. Dia tidak mahu memberi kata putus, biarlah Humaira yang memilih.

Humaira menarik nafas, mencari keyakinan untuk meluahkan. Ya dengan basmallah aku mulakan hubungan ini.

“Tiada yang lebih membahagiakan dua orang yang saling menyukai kecuali menikah” Humaira berkias memberi jawapan, dibacanya hadis yang diriwayatkan daripada Suyuti itu. Sungguh hatinya mula tersentuh dengan sikap bersungguh-sungguh Wafiq.

Alhamdulillah, Wafiq mengucapkan syukur di dalam hati. Walaupun Humaira berkias namun dia tahu jawapan gadis itu.

“Alhamdulillah, nanti bawaklah orang tua kamu datang ke sini. Lagi elok kalau dipercepatkan urusannya” ujar Puan Hanis pula.

Haikal menepuk perlahan bahu Wafiq, pemuda yang berjaya membuka hati kakak sulungnya.

“Tahniah bang, mabruk” ujar Haikal tersenyum.

“Insya-Allah mak cik. Maira thanks” ujar Wafiq gembira, hilang terbang segala gelisahnya.

Humaira hanya tersenyum sebelum dia mengalihkan pandangannya. Ya, moga hubungan yang baru ini dipermudahkan dan sentiasa dalam rahmat-Nya.

Dia berharap agar Wafiq mampu menerima dirinya seadanya. Dia juga manusia biasa yang punya banyak kekurangan. Dia sendiri pelik, rasa bencinya yang dahulu membuak dalam dada kian menjauh pergi. 

Wednesday, 22 May 2013

Penghijrahan Cinta 11


BAB 11

“Apa?? Dia nak biodata aku?” soal Wafiq agak kuat, terperanjat sungguh. Zaman sekarang pun ada orang nak mintak biodata bagai ke time merisik. Biar betul.

Hafiz hanya mengangguk, tersenyum melihat riak terkejut Wafiq.

“Ha'ah, dia nak biodata kau. Liyana bagitahu macam tulah tadi. Ala bukan susah buat biodata” ujar Hafiz selamba, keningnya diangkat mengusik. Dia tahu Humaira punya agendanya yang tersendiri. Merisik akhlak Wafiq. Kreatif juga caranya.

Dahi Wafiq sudah berkerut. Err dah macam nak hantar resume dah, siap profile bagai. Memanglah tak susah buat biodata tu, tapi dia peliklah. Ada jugak yang spesis macam Humaira ni.

“Alaaa, kau buat jelah. Mungkin ni antara cara untuk dia kenal kau. Wanita solehah tu unik tau” balas Hafiz selamba.

“Yelah, nanti aku buat. Siap create yang cantik-cantik lagi” balas Wafiq.

Wafiq meraup kasar rambutnya, betul juga cakap Hafiz. Mungkin ini cara orang solehah berkenalan. Tak perlu mesej atau dating lama-lama. Tapi dia bersyukur kerana Humaira sudi memberi peluang kepadanya dan tidak menolaknya mentah-mentah walaupun mereka bagaikan anjing dengan kucing kalau bertemu.

“Hah, lagi satu. Dia ajak kau datang rumah. Jumpa terus dengan wali” sambung Hafiz lagi. Apa yang disampaikan Liyana, itu jugalah yang disampaikannya.

Jatuh rahang Wafiq, haih tadi nak biodata sekarang nak jumpa wali? Jalan nak menikah itu bukan mudah rupanya. Err haruslah tak mudah bukan? Sebabnya kita nak bina masjid, tapi taklah sesukar mana. Kalau susah takde siapalah nak kahwin kan? Eh betul ke teori ni?

Wafiq mengetuk kepalanya perlahan. Sedar diri sudah terlalu jauh merapu. Siap berteori bagai. Alahaii..

“Dah kenapa ketuk kepala sendiri?” soal Hafiz.

Wafiq tersengih, menutup malu sendiri. Kepala digelengnya beberapa kali.

“Haish, tadi dok ketuk kepala sendiri. Sekarang dok geleng kepala pulak dah” rungut Hafiz. Pelik betullah dengan orang yang nak nikah ni.

“Err cuaklah pulak, nak jumpa wali ni” luah Wafiq jujur.

“Mestilah bro, yang kau nak nikah ni anak orang. Bukan anak ayam. Kena jumpa wali, mintak izin. Tanda hormat” balas Hafiz selamba.

“Kau dah sedia ke nak jumpa wali dia?” tanya Hafiz.

“Insya-Allah dah” balas Wafiq yakin.

“Hah, thats good bro. Kalau nak tahu, salah satu ciri lelaki yang baik dia akan mintak anak dara orang dengan cara baik. Bukan ajak dating ke hulu ke hilir. Pegang tangan dari siang sampai ke malam. Dia akan direct mintak dengan wali si perempuan, guna cara terhormat” panjang lebar Hafiz menerangkan.

Wafiq hanya tersenyum, dalam diam mengiakan. Hah, sekali Exco Dakwah dah bukak mulut, panjang lebar huraiannya. Tak gitu? Tapi sangat bermanfaat.

“Thanks bro, doakanlah yang terbaik untuk kawan kau ni” pinta Wafiq, mana tahu doa orang macam Hafiz ni lagi cepat Allah makbulkan.

“Insya-Allah, dalam hujung bulan ni kau datanglah ke Johor, rumah Humaira” ucap Hafiz.

Wafiq hanya menganggukkan kepalanya tanda faham. Ya selepas ini dia akan mula sibuk dengan langkah yang baru bermula. Dengan hubungan yang baru bermula.

“Ok bro, aku keluar kejap. Moga dipermudahkan segala urusan” pinta Hafiz, dia mahu memberi ruang sendiri kepada Wafiq. Dia tahu sahabatnya itu perlukan ruang sendiri.

Wafiq hanya tersenyum menghantar pemergian Hafiz. Dia mula membuka lap-topnya, mahu memberi biodatanya kepada Humaira. Rasa macam budak-budak pula, siap dengan biodata bagai ni. Hehe.

Dalam biodatanya diselitkan sekali prinsip dan matlamat hidupnya. Biar gadis itu tahu dia punya matlamat hidupnya yang tersendiri dan dia mahu gadis itu tahu yang dia bersungguh-sungguh dengan lamarannya tempoh hari. Tak lupa juga Wafiq turut menghantar plan hidupnya yang telah ditunjukkan kepada orang tuanya kelmarin kepada Humaira.

Selesai menyediakan apa yang patut, Wafiq mengambil kertas kecil di atas meja yang diberikan Hafiz sebentar tadi. Ya, kertas kecil yang mengandungi e-mel gadis itu. Dalam diam, bibirnya mengukir senyum. Bijak teknik Humaira untuk mengelakkan mereka mesej tanpa urusan, gadis itu tidak memberi nombor telefon sebaliknya hanya memberi e-mail addressnya. Barangkali untuk mengelakkan urusan yang lagha.

Dengan lafaz bismillah bersama debaran di hati, dia mula menghantar e-mail tersebut kepada Humaira. Apa saja keputusan gadis itu dia akan terima dengan hati yang lapang sebab dia tahu dia sudah lakukan yang terbaik. Selebihnya biarlah Allah aturan dengan cara-Nya yang tersendiri. Kata orang, biarlah cinta itu mengikut aliran Allah.

Wafiq menarik lafaz lega. Ya, perjuangan cintanya baru saja bermula.

“Maka, dengan bismillah kuatur langkah ini” bisiknya sendiri.


Sedar tak sedar sudah hampir sebulan peristiwa Wafiq menghantar biodata pemuda itu. Bukan hanya setakat biodata biasa tapi lengkap dengan perancangan hidup lelaki itu sekali. Humaira tak dapat menafikan bahawa Wafiq seorang pemuda yang berwawasan. Seorang pemuda yang berfikiran jauh dan bertanggungjawab.

Dan kini hatinya semakin terbuka untuk lelaki itu, cuba memberi peluang untuk Wafiq. Wafiq nampak mudah mengharungi cabaran pertama. Hari ini juga Wafiq akan bertemu dengan adiknya, Haikal. Hari ini juga bermakna Wafiq berkunjung ke rumahnya.

Humaira hanya berpakaian sopan dan ringkas, hanya jubah labuh berwarna ungu dipadankan dengan tudung yang warna senada dengan baju. Dia memerhati jam yang bergerak di dinding, mungkin tidak lama lagi pemuda itu akan tiba di rumahnya.

Mengikut perancangan ibu dan adiknya Haikal, Wafiq akan bermusafir dengan Haikal selama tiga hari dua malam. Pelbagai rancangan telah diatur oleh ibunya untuk merisik akhlak Wafiq dan bakal dilaksanakan oleh adiknya Haikal. Mereka akan bermalam di rumah tok abahnya di Kota Tinggi Johor.

“Haiii kak, lamanya tenung jam tu” sapa adiknya Haziqah.

Humaira hanya tersenyum, tak rasa ingin membalas gurauan Haziqah.

“Ishh akak ni, nampak sangat nervousnya. Macam nak nikah” giat Haziqah mengusik Humaira.

Humaira sudah membulatkan matanya. Bingkai cermin mata dibetulkan. Heh, memanglah dia kalut. Dia bukannya rapat dan biasa sangat dengan Wafiq tu.

“Eh pandai-pandai je Ziqa ni. Dia SPM pun habis lagi” Humaira mencebik.

“Amboi kak, masuk SPM terus” jawab Haziqah.

Humaira hanya tersengih. Luaran pun dia dah nampak nervous inikan pula dalam hati. Ohh rasa tak cukup oksigen. Err yang dia gelabah sangat ni kenapa? Bukannya tak pernah jumpa si Wafiq tu. Siap boleh buat drama dekat cafe lagi. Haih.

“Kak Mia, abang Wafiq dah nak sampai” beritahu adiknya Haikal.

Memang Wafiq sering berhubung dengan Haikal berbanding dengan dirinya. Lagi pula pemuda itu hanya ada alamat emailnya bukan nombor telefonnya. Memang sengaja dia tidak memberi nombor telefonnya kepada Wafiq.

“Err, ok” balas Humaira ringkas. Cuba berlagak tenang, tapi dalam hati hanya Allah yang tahu.

“Hah, pergilah siapkan air kat dapur tu” jawab ibunya pula.

Humaira sudah tersipu malu. Hah, yang dia dok tercegat kat depan ni kenapa eh? Aiyoo.

Humaira bangkit menuju ke dapur. Dia mencapai teko yang sederhana besar itu lalu seuncang teh dimasukkan ke dalam teko, dituangkan air panas yang sedia ada dalam cerek dan diletakkan tiga sudu gula. Siap!

Humaira menggaru kepalanya yang tidak gatal. Hah, takkan buat air je. Paling tidak mesti ada makanan panas kan? Dia melangkah ke arah peti sejuk, mencari bahan yang boleh dimasak. Tiba-tiba matanya terpandangkan kerepok lekor yang baru dibeli adiknya Haikal.

“Emm, goreng pun sedap ni” balasnya sendiri.

Humaira mula menghidupkan api dapur gas, dicelurkan keropok lekor tadi ke dalam air panas seperti yang selalu dilakukan ibunya. Dipotong sederhana kerepok lekor tersebut. Bila minyak di dalam kuali sudah panas, dimasukkan pula keropok lekor yang siap dipotong tadi ke dalam kuali.

Hampir setengah jam kemudian, dia menatang pinggan ke hadapan. Tetamu belum pun sampai tapi dia sudah menghidangkan makanan dan air. Salah satu tekniknya supaya tidak bertembung dengan Wafiq nanti. Haih sejak bila pulak dia jadi pemalu depan mamat tu.

Baru dia meletakkan pinggan di atas meja kecil itu, kedengaran pula enjin kereta di halaman rumah. Tanpa menjenguk dia sudah tahu si empunya diri. Cepat-cepat dia melarikan diri masuk ke bilik.

Kedengaran salam diberi, dan pastinya Haikal dan ibunya sedang menyambut tetamu di luar. Dan dia? Err enak aja bersembunyi di dalam bilik. Mujurlah hanya Wafiq saja yang datang bukan bakal ibu dan bapa mertuanya. Ehh. Ibu mertua? Bapa mertua? Cuakss.

“Hah, jemputlah masuk Wafiq. Senang jumpa jalan ke sini?” tanya Puan Hanis.

Wafiq hanya tersenyum, taklah susah mana dia mencari jalan ke rumah Humaira sebab rumah Humaira tidak terlalu jauh ke dalam. Hanya terletak di pinggir jalan besar. Dia memerhati rumah Humaira, sederhana besar tapi kemas. Matanya mula menebar ke seluruh rumah, mencari sesuatu yang kurang. Ohh yang kurangnya si mawar agama. Di manakah dia?

“Alhamdulillah senang jugak auntie” balas Wafiq, dia mula berjabat tangan dengan Haikal. Ya, si pemuda yang merangkap wali Humaira. Dia tahu Humaira sudah tidak punya bapa.

“Ehh, apa panggil auntie. Macam orang putih, mak cik ni orang kampung je” balas Puan Hanis. Humaira di dalam bilik sudah tersengih. Aduihaii bakal suamiku, err..

Wafiq hanya tertawa kecil, menutup rasa malu. Haih gugup sangat.

“Hah, jemput duduk nak. Si Mia ni entah ke mana, tadi dia jugak yang hidangkan” bebel Puan Hanis.

Humaira hanya menepuk dahi, err ibu ni memang tak menolong langsung. Huhu.

Haikal turut mempelawa Wafiq sopan. Dari gaya Wafiq dia tahu pemuda itu seorang yang baik. Seorang yang bersungguh-sungguh.

Wafiq tersenyum, dia memang sudah lama mengenali Haikal. Sering kali dia berbual dengan Haikal di telefon semenjak dia mendapat nombor telefon pemuda itu. Selain Haikal, Wafiq juga tahu yang Humaira punya seorang adik lagi, itupun berdasarkan biodata Humaira yang dibalas gadis itu selepas dia menghantar biodatanya melalui email.

“Abang, nanti boleh kita jalan-jalan kampung ni. Ambil angin” ajak Haikal. Dia mula menyesuaikan diri dengan Wafiq.

“Insya-Allah, ada pantai tak dekat sini?” tanya Wafiq. Dia memang gemarkan pantai. Melihat saja pantai yang terbentang luas dan mendengar bunyi deruan ombak merupakan seolah-olah terapi buat dirinya.

“Pantai? Air terjun abang nak tak? Nanti kita pergi rumah tok abah dekat Kota Tinggi. Bermalam dekat sana” ujar Haikal memulakan strategi. Dah alang-alang Wafiq yang bertanya, elok juga dia mulakan langkah kan?

“Air terjun, macam best tu..” balas Wafiq, di mindanya mula terbayang air yang mengalir dari atas gunung, dikelilingi hutan. Perghh best tu.

“Lepas makan tengah hari nanti kita boleh gerak ke rumah tok abah. Takpe, biar Haikal yang drive nanti” cadang Haikal, matanya dikenyit ke arah ibunya. Masing-masing mula memainkan peranan.

Wafiq hanya tersenyum, bersetuju sahaja apa rancangan Haikal untuknya. Dia mula menghirup perlahan air di cawan setelah mempelawa ibu Humaira dan Haikal. Dan jujur dia mula selesa dengan keluarga itu.

Tiba untuk makan tengah hari Humaira terpaksa juga keluar dari 'tempat persembunyian' . Dia menolong ibunya memasak, menajamkan skills memasak sedangkan Haikal dan Wafiq sibuk di luar rumah. Memanjat pokok kelapa untuk diambil kelapa muda dan dijadikan air untuk hidangan mereka tengah hari itu.

Selepas satu jam lebih memasak, akhirnya terhidang juga juadah tengah hari mereka di atas meja. Lauk yang ringkas tapi membuka selera. Ayam masak , sayur paku pakis yang digoreng cili dan ikan pari masak asam pedas. Perghh memang kecur air liur ni.

“Mia, pergi panggil Haikal dengan Wafiq. Hah, kamu Ziqa tolong ibu susun pinggan dengan gelas” suruh ibunya lembut.

Humaira tersentak, dia kena panggil Haikal dengan Wafiq? Ohh memang segan.

“Mia, dengar tak?” soal Puan Hanis apabila dilihatnya Humaira masih kaku berdiri. Tiada respon.

“Err, dengar bu” jawab Humaira. Diatur juga langkahnya lambat-lambat. Kenapa dia segan dengan Wafiq eh? Padahal bukan tak pernah jumpa? Siap dah kena simbah air and kena ketuk lagi mamat tu dia kerjakan.

Belum sempat dia memanggil adiknya dan Wafiq, dilihatnya Haikal sudah masuk ke dalam rumah. Tapi mana pulak mamat tu?

“Kak, abang Wafiq kat luar lagi” jawab Haikal, seolah-olah dapat membaca fikirannya.

Humaira tersenyum kelat. Kaki diatur ke luar rumah.

“Awak.. ibu panggil makan” tuturnya sebaik saja dia berdiri di belakang Wafiq. Mukanya ditunduk ke bawah, malu.

Wafiq menoleh ke belakang. Terperanjat mendengar suara Humaira sesopan itu. Selalunya kalau jumpa mana mereka pernah cakap baik-baik kan?

Humaira terus berpaling, dia terus melangkah laju masuk ke dalam rumah. Tak dihiraukan langsung riak Wafiq yang masih terpinga-pinga.

Wafiq hanya tergelak kecil menghantar langkah kalut Humaira. Amboii pemalunya cik adik.

Ketika makan Wafiq perasan yang Humaira tidak banyak bicara, mungkin gadis itu malu dengan dirinya. Tapi dia semakin yakin dengan pilihannya. Melihat Humaira yang masih menutup aurat walaupun bertemu dengannya dalam rumah sendiri semakin menyakinkan yang pilihannya itu tepat.

Usai sahaja makan tengah hari mereka, Humaira menolong mengemas meja makan. Diambil pinggan-pinggan kotor lalu dibawa ke sinki untuk dibasuh oleh adiknya Haziqah.

Wafiq hanya memerhati tingkah Humaira. Dia mahu membincangkan sesuatu dengan gadis itu tapi bila melihat Humaira yang sedang sibuk mengemas meja dan pinggan kotor, maka dibatalkan saja hasrat hati.

“Abang, ada nak discuss something dengan Kak Mia ke?” soal Haikal mematikan lamunan Wafiq. Bijak sungguh pemuda itu menduga tingkahnya.

“Ha'ah” balas Wafiq ringkas, dia tersenyum.

“Nanti Haikal bagitahu Kak Mia. Abang duduklah depan dulu, insya-Allah nanti lepas Zuhur kita bertolak pergi rumah atok” ujar Haikal.

“Ok” ringkas jawapan Wafiq. Dia hendak menolong di dapur tapi tidak banyak pula kerja yang boleh dia bantu. Lagi pula segan dengan si gadis yang turut berada di dapur.

Haikal melangkah ke arah Humaira yang sedang meletakkan pinggan di sinki.

“Kak Mia, abang Wafiq ada hal nak bincang. Dia dekat depan” ujar Haikal, dia memerhatikan riak wajah kakaknya yang sedikit terkejut.

Tingkah Humaira kaku. Dia terkedu. Peluh di dahi dikesat kasar. Bukan tidak mahu berbincang tapi dia takut bicaranya kaku di hadapan Wafiq nanti. Sehebat manapun dahulu dia bertikam lidah dengan Wafiq, tapi malu dalam dirinya tetap ada. Lagi pula situasi mereka kini sudah berbeza.

“Ehem, akak ok tak?” dehem Haikal. Dilihatnya Humaira seperti dalam dunianya sendiri.

“Err, ok” pendek jawapan Humaira.

“Haikal ke depan dulu ya kak”

“Kak Mia, pergilah depan. Takpe Ziqah boleh buat kerja ni. Tinggal sikit je lagi” sampuk Haziqah pula.

“Err takpe ke?” tanya Humaira.

“Takpe kak” jawab Haziqah tersenyum.

Humaira membasuh tangannya sebelum tangan tersebut dilap dengan kain bersih yang dikhaskan untuk mengelap tangan. Dia melangkah perlahan ke ruang hadapan. Dalam hatinya tertanya-tanya apa yang ingin dibincangkan Wafiq.