Sunday 4 December 2016

PROLOG PELANGI BUAT WARDAH

 

Ada orang apabila diuji,
Dia semakin dekat dengan Ilahi,
Ada orang apabila diuji,
Dia semakin menjauh dari Pencipta sendiri.


TANAH kubur yang masih merah itu disentuh perlahan. Air mata yang membasahi pipi hanya dibiarkan saja mengalir. Dia sudah tak mampu untuk menyeka air matanya sendiri. Tangan yang kotor apabila menyentuh tanah yang basah akibat hujan renyai malam tadi sedikit pun tak dipedulikannya. Jiwanya seolah-olah sudah mati. Pergi bersama si dia yang berada di dalam sana. Di dalam tanah yang  sedang disentuh kini.

            “Abang..” Perlahan nada suaranya. Sebak. Pedih. Terasa seolah-olah dia ikut sama pergi dan yang tinggal hanya jasadnya. Jiwanya memang sudah mati.

            Dipandangnya sekeliling, ada seorang lelaki sedang mendukung anak kecil. Memujuk anak kecil yang sedang menangis itu. Bagaikan mengerti yang dia tak akan lagi berjumpa dengan ayahnya. Dia sendiri tak kuat untuk terus memujuk anak itu. Dia sendiri rapuh. Dia sendiri sudah jatuh menyembah bumi dengan ujian Allah kali ini. Dibiarkan orang lain yang memujuk anak itu. Sungguh dia tak kuat!

            “Abang..” Bisiknya sayu. Wajah manis suaminya yang tersenyum masih lagi terbayang di matanya. Wajah yang rajin mengusiknya. Wajah yang tenang memujuk rajuknya. Sungguh baru sehari berpisah dia sudah mahu gila!

            “Macam mana sayang nak hidup tanpa abang? Abang.. kenapa abang tinggalkan sayang??” Bisiknya perlahan. Sungguh dia tak bersedia dengan kehilangan ini. Dia tak kuat untuk semua yang berlaku.

            “Abang. Kenapa tinggalkan sayang. Abang.. Macam mana sayang nak besarkan anak kita seorang diri. Abang dah janji...” Ayatnya tergantung di situ. Dia sebak. Gagal menahan tangisannya apabila terkenangkan anaknya akan membesar tanpa ayah di sisi. Sungguh dia takut untuk membayangkan masa depannya. Dia takut!

            “Dik. Jom balik.” Bahunya ditepuk perlahan. Menyedarkan dia dari terus meratap di hadapan pusara suaminya.

            “Lima minit lagi.” Pintanya, meminta sedikit lagi masa untuk dia terus berbual dengan suaminya.

Dia tak akan pernah puas untuk berbicara dengan suaminya walaupun yang ada di hadapannya cuma tanah kubur yang tak bernyawa. Dia tahu suaminya mendengar luahan hatinya. Dia tahu.

“Abang, sayang nak balik. Esok sayang datang lagi.” Bisiknya perlahan. Tiga tahun perkahwinan dia dan suaminya sedikit pun tak pernah membuatkan dia derita. Lelaki itu, sangat sempurna sebagai suami dan papa kepada anaknya.

“Ma.. Papa tak balik rumah kita lagi? Papa tidur sini ke ma?” Dalam pelat anak itu menyoal. Anak kecil yang masih belum mengerti hakikat yang papanya tak akan kembali lagi.

“Papa balik kan ma. Pa balik kan ma. Nak pa, nak pa..” Tangisan anak itu menambah lagi sedih di hatinya. Lecun sudah pipinya dengan air mata. Hidung dan mukanya terasa panas. Lantas diambil anak itu dan dipeluk erat.

‘Papa tak akan balik lagi sayang.’ Dalam hati dia menuturkan ayat itu. Pedih hatinya meskipun ayat itu keluar dari bibirnya sendiri. Sakit. Sakit dengan hakikat kehidupannya yang sebenar.

Pelukan dilepaskan. Tudung anak kecil itu dibetulkan. Air mata di pipi anak itu diusap penuh kasih. Anak itu, anak yang terlalu manja dengan papanya. Bagaimana anak itu mampu membesar tanpa papanya di sisi? Baru sehari berpisah, sudah berpuluh kali soalan tentang papa disoal.

“Sayang. Nanti kita jumpa papa. Nanti... nanti.. kita jumpa.” Bisiknya terputus-putus. Tangisannya sudah pecah. Dia tak mampu menipu diri sendiri. Melihat anak itu, hatinya pilu. Sedih mengenangkan yang anak itu akan membesar tanpa papanya.

“Kenapa mama nangis? Nanti papa marah Nina sebab buat mama nangis.” Anak itu mengelap air matanya pula. Anak itu semakin bijak. Cuba memujuk dirinya pula.

“Tak sayang. Mama tak menangis. Mama kuat. Sayang pun kena kuat.” Dia mengelap air matanya sendiri dan sekali lagi dia memeluk anaknya. Seakan tak mahu melepaskan anak itu.

Hanya puterinya yang tinggal sebagai hartanya yang paling berharga. Amanah yang ditinggalkan oleh suaminya untuk dijaga. Hanya anak itu yang tinggal bukti kasih sayang dia dan suami.

“Abang.. sayang balik dulu.” Perlahan dia bangun sambil mendukung puterinya. Berat kakinya mahu melangkah pulang. Tapi dia harus kuat. Paling tidak, untuk anak yang sedang berada di dalam pelukannya sekarang.

“Pa, Nina balik dulu. Bye pa. Nanti pa balik tau pa. Jangan tidur lama sangat. Nina rindu pa.” Anak kecil itu sudah menjerit. Dia masih belum mengerti hakikat yang papanya tak akan kembali lagi.


Makin laju air matanya yang mengalir di pipinya saat mendengarkan kata-kata naif puterinya. Apalah yang puterinya faham tentang hakikat hidup? Duhai bidadari kecil mama, kita kena kuat sayang...