Friday 20 September 2013

Penghijrahan Cinta

“Kalau Maira dapat rasa apa yang abang rasa…” Wafiq mengeluh berat. Benarkah cintanya pada pandangan Humaira sangat rendah nilainya?

“Maira, Maira nak abang lari jauh dari hidup Maira ke sayang?” soal Wafiq dalam sebak. Rasa sedih mula mengigit tangkai hati. Sakit.

“Kalau Maira nak abang pergi, ab.. abang pergi..” suara Wafiq sudah mula tersekat-sekat. Air mata lelakinya gugur satu persatu. Dibiarkan saja.

“Betul Maira dah tak perlukan abang lagi?” Wafiq berbicara lagi, bagaikan Humaira mendengar segala luahan dan soalannya.

“Tapi satu je yang abang nak bagitahu Maira, cinta abang tak semurah dan sekeji yang Maira sangka. Abang ambil Maira sebagai isteri untuk memelihara dan mengangkat maruah Maira. Cinta abang punya nilai yang tersendiri. Abang sedih sangat dengan tuduhan Maira. Sehina itukah abang pada pandangan Maira? Serendah itukah nilai cinta abang pada Maira?” Wafiq menyoal lagi, bagaikan Humaira mendengar segala luahannya. Tapi malangnya, isterinya itu sedang lena. Jika Humaira terjaga pasti dia takkan diberi peluang sebegitu. Pasti Humaira menuduhnya dengan lancang sekali.



Saturday 14 September 2013

PENGHIJRAHAN CINTA 25


BAB 25

            HUMAIRA bernyanyi-nyanyi kecil pagi itu. Sambil mengemas rumah, bibirnya petah menyanyikan beberapa buah lagu. Hatinya girang kini. Masih teringat dan terasa kehangatan pelukan Wafiq tika dia memberi khabar gembira itu malam tadi. Dengan sabun masih berada di tangan Wafiq memeluknya erat. Terlerai sudah persengketaan mereka hanya dengan khabar gembira itu. Alhamdulillah.

            Humaira melangkah ke bilik kerja, mujurlah kelasnya hari ini batal, dapatlah juga dia mengemas rumah. Dia melangkah masuk ke bilik kerja suaminya, ringkas tapi kemas tersusun. Hanya ada sebuah meja, sebuah rak buku dan sebuah sofa. Bilik yang kecil tapi selesa buat mata yang memandang.

            Mulut Humaira masih petah menyanyikan lagu, dari lagu melayu ke lagu inggeris dan beralih pula ke qasidah. Rasa penat lelah dan kurang sihat selama ini bagaikan hilang begitu saja dengan kehadiran benih yang kian bercambah dalam rahimnya kini. Moga anak ini menjadi saham akhirat buatnya dan Wafiq nanti.

            Humaira membuka luas-luas tingkap bilik itu, biar cahaya mentari dan angin luar masuk ke dalam bilik. Barulah fresh kan? Kakinya melangkah pula ke arah meja kerja Wafiq, mengemaskan fail dan buku yang berselerak sedikit. Disusun cantik fail dan buku tersebut di atas meja. Matanya terpandang pula frame yang menempatkan gambar pernikahan mereka. Diambil dan dikucupnya lembut. Rindunya pada Wafiq. Rindu, rindu, rindu.. Haish mabuk kepayang sudah! Huhu..

            Tangannya membuka pula laci meja kerja Wafiq, ingin mengemas apa yang patut. Baru saja membuka laci tersebut, matanya terpandangkan sesuatu. Diari! Ya diari miliknya tersimpan elok di dalam laci meja kerja milik Wafiq. Tangan Humaira sedikit terketar-ketar ingin menarik keluar diari tersebut.

            “Macam mana diari ni ada kat sini?” Humaira tertanya sendiri.

            “Ohh mungkin aku yang letak sendiri.” Sendiri tanya sendiri jawab. Bagus kan? Huhu..

Humaira menguatkan semangatnya, dia ingin membaca kembali diari yang didalamnya tersimpan seribu kenangan. Ada ibrah yang harus diambil dari kisah lalu.

            Humaira membaca kembali diari lama itu dan kenangan lalu kembali terimbau di mindanya. Kenangan cinta pertama yang hampir memusnahkan hidupnya, kenangan hitam yang hampir meragut kesucian dan harga dirinya. Air matanya kembali menitis mengenangkan khilaf semalam. Andai tanpa rahmat dan hidayah-Nya pasti dia masih melakukan dosa silam.

            Ada ibrah dan hikmah yang tersembunyi dari kisah silamnya, ada harga diri yang harus diangkat kembali. Ada air mata yang harus dibayar semula. Allah. Air matanya kian laju membasahi pipi. Rahsia yang selama ini tersimpan kukuh akhirnya terbongkar jua.

            Tangannya menyelak perlahan diari itu, membacanya dan air mata terus-terusan mengalir laju. Allah, layakkah aku menerima taubat-Mu? Layakkah aku mengangkat dan membayar kembali maruah dan kesucian diri? Layakkah aku menebus dan memperbaiki lagi diri? Tiba-tiba tangannya terhenti di halaman itu. Halaman yang mencoretkan dosa silam yang tak ingin diulangi kembali. Jika diberi pilihan, dia sama sekali tak mahu mengenali insan yang bernama Syafiq itu! Tapi aturan dan hikmah-Nya memujuk diri. Pasti ada sejuta hikmah dan ibrah yang tersembunyi. Dia pasti itu!

1 Jan 2008
Hari baru di tahun baru, aku kembali mengumpulkan semangat yang telah pergi. Mengutip kembali secebis maruah diri yang masih bersisa, mencantum kembali hati yang telah diluka. Sungguh bukan mudah bagiku menerima takdir ini. Hampir seminggu kenangan itu telah berlalu namun tak mudah untuk aku melupakan. Kenangan itu masih tersimpan kemas dalam lipatan memoriku dan mungkin takkan kulupa sepanjang hidupku!

            Minda Humaira melayang jauh lagi, mengingati kenangan silam itu. Hatinya jadi sebak sendiri. Walaupun hampir lima tahun berlalu namun setiap cebis kenangan lalu masih tersimpan kemas dalam memorinya. Sungguh dosa silam semalam takkan mudah dipadam.

            Masih segar diingatannya saat Syafiq mengajaknya ke rumah lelaki itu, kata Syafiq dia ingin memperkenalkan Humaira kepada keluarganya. Dia hanya menurut tanpa membantah, apalah yang diharapkan pada gadis naif yang berusia 16 tahun tika itu? Dia sedikit pun tidak dapat menghidu niat jahat Syafiq, sangkanya Syafiq ikhlas mencintai dirinya. Tetapi rupanya lelaki itu punya muslihat yang tersembunyi, ingin meragut kesucian diri gadis naif sepertinya. Setibanya di rumah Syafiq, lelaki itu mempelawanya masuk dan dia hanya menurut tanpa ragu-ragu walaupun dia sedikit hairan melihat keadaan rumah Syafiq yang sunyi seperti tidak berpenghuni.

            Selepas sahaja dia melabuhkan punggungnya di ruang tamu rumah lelaki itu, sikap Syafiq sudah berubah rentak. Pandangannya penuh dengan nafsu, tingkahnya mula agresif. Keadaan hujan di luar rumah semakin menambahkan lagi nafsu berahi lelaki itu. Humaira sudah mengingil ketakutan dan tika itu dia tidaklah terlalu bodoh untuk menafsir pandangan dan tingkah lelaki itu. Pandangan dan tingkah yang ingin meragut dan menakhluk kesucian dirinya. Syafiq ketika itu bukan seperti Syafiq yang dikenalinya. Benarlah kata orang, apabila syaitan sudah menguasai diri, hanya iman yang mampu menyelamatkan diri.

            Hampir saja maruahnya diragut walaupun tanpa kerelaan dirinya, namun pertolongan Allah itu datang tepat pada masanya. Tiba-tiba dirinya mendapat kekuatan untuk melawan Syafiq dan dia tanpa gentar membaca doa nabi Yunus:

Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk orang-orang yang zalim”

Sungguh pertolongan Allah tika itu merupakan rahmat baginya. Hampir saja dia hanyut dalam pujuk rayu Syafiq namun apabila terlintas wajah ibu dan abahnya, dia seperti mendapat kekuatan yang luar biasa, pantas ditendangkan tubuh Syafiq dan dengan lantang dia membaca doa itu.

Humaira mengesat air mata yang mengalir. Air mata kekesalan kerana dosa semalam. Andai ada gadis yang tanpa segan silu melepaskan kesuciannya tapi tidak bagi dia! Dia sanggup mati memelihara maruahnya!

Dalam sisa sendu, Humaira menyelak dan membaca halaman seterusnya.

4 Jan 2008


Seminggu selepas peristiwa itu, peristiwa aku hampir-hampir merelakan maruahku dirampas oleh dia. Dia yang aku cinta sanggup mengkhianati diriku. Berani dia menyentuhku tanpa rela! Syafiq, saya takkan maafkan awak! Masih aku ingat pandangannya yang penuh dengan nafsu, tingkahnya yang rakus kerana ingin merampas kesucianku! Saya takkan maafkan awak dan saya benci awak, Syafiq! Dan hari ini abah dimasukkan ke ICU kerana kemalangan. Abah, please strong! Mungkinkah ini balasan anak derhaka sepertiku? Abah….

            Kali ini Humaira sudah menangis sayu. Terhinjut-hinjut bahunya menahan tangisan yang kian menggila. Rasa sebak semakin menggigit tangkai hati. Hiba. Abah.. kenapa tinggalkan Mia? Mia tak sempat balas jasa abah, Mia tak sempat mintak maaf dengan abah. Abah..

            Tiba-tiba Humaira tersedar. Halaman yang sudah basah dengan air matanya itu bagaikan sudah direnyuk kasar, komot helaian kertas diari itu. Hatinya berdebar maha hebat, dia pasti bukan dirinya yang merenyuk kasar helaian itu. Akalnya mencerna, ada orang lain yang sudah membaca diarinya itu!

            “Waf.. Wafiq..” tersekat-sekat bibirnya menutur sebaris nama itu. Adakah rahsia yang tersimpan kemas selama ini sudah terbongkar? Adakah aib yang selama ini tersimpan rapi sudah terbuka? Allah.. Adakah diari ini punca perubahan Wafiq?

            Humaira sudah tidak kuat lagi untuk membaca diari tersebut, lantas ditutupnya. Kepalanya kian serabut, satu persatu masalah yang mula timbul. Adakah rahsia diri yang selama ini tersimpan sudah diketahui oleh Wafiq? Adakah Wafiq memandang jijik terhadap dirinya? Adakah Wafiq tak mampu menerima dirinya kerana kesilapan lalu?

            Humaira pantas menutup laci meja kerja Wafiq, tak sanggup rasanya untuk menatap diari yang banyak meninggalkan kenangan pahit dalam hidupnya itu. Tapi belum sempat dia menutup laci tersebut hatinya tersentak lagi. Kali ini lebih hebat! Matanya terpandang pula diari pink miliknya yang hilang selama ini.

            Tangannya terketar-ketar mengambil diari itu. Jantungnya berdetak laju, hatinya bergetar maha hebat. Perlahan-lahan tangannya mencapai jua diari pink itu. Kini persoalan lain pula yang timbul.

            ‘Bagaimana diari tersebut boleh berada dalam simpanan Wafiq?’

            ‘Adakah Wafiq sudah menyelongkar isi diari itu?’

            ‘Di mana Wafiq menjumpai diari pink miliknya?’

            Pelbagai persoalan mula menghantui benaknya. Tiba-tiba Humaira berasa tertipu dengan sikap Wafiq. Biadabnya cara lelaki itu! Menyentuh privacynya tanpa izin. Hatinya merengus geram. Dari rasa sebak, kini amarahnya yang mula memuncak.

            “Adakah sebab diari ni, Wafiq jatuh cinta dengan aku?” Humaira mula membuat andaian sendiri. Ahh otaknya semakin serabut tika ini. Tapi tak mustahil andaiannya itu betul.

            Tiba-tiba akalnya mula mencerna, bagaimana Wafiq yang pada awal perkenalan mereka dingin boleh jatuh cinta dengannya? Mesti ada asbab yang kukuh yang menyebabkan lelaki itu menyintainya. Adakah sebab diari itu?

            Humaira menarik nafas panjang. Sesak. Sakit. Hiba. Sedih. Terasa diri dikhianati! Dia melangkah keluar bilik, terasa mood gembiranya terbang begitu saja dan yang tinggal adalah rasa sedih dan hiba apabila merasa dirinya dikhianati. Tak beradab sungguh cara Wafiq, mengambil hak orang lain tanpa izin!

            Humaira melangkah menuju ke bilik, bersiap-siap menyalin pakaian untuk keluar. Dia tidak betah berada di rumah ini. Dadanya sesak, hatinya sakit! Dia inginkan ruang sendiri. Lantas tangannya mendail nombor telefon teksi.

            Sepanjang perjalanan di dalam teksi Humaira hanya diam seribu bahasa tapi otaknya ligat berfikir. Akhirnya dia jadi lelah sendiri. Penatnya hidup ini. Allah.. Pesannya pada pemandu teksi tadi bawalah dia ke pantai. Mindanya tak mampu berfikir dengan waras. Terasa penat dengan dirinya sendiri. Adakah diri ini tak mampu mengecapi nikmat bahagia?

            Selepas membayar tambang teksi, kakinya melangkah ke arah pantai yang terbentang luas. Nun di sana ombak yang tak jemu menghempas pantai. Nun di sana ada batu-batu yang setia di pinggir pantai. Terasa sedikit tenang di Pantai Remis ini. Melihat laut yang kebiruan, terasa angin pantai yang menghembus diri, jiwanya sedikit lapang. Allah..

            Humaira menarik nafas dan menghelanya perlahan-lahan. Kakinya sudah mencecah gigi air, suasana di pantai yang tidak ramai orang memberinya sedikit ruang untuk memuhasabah diri. Dipujuk hatinya yang sakit akibat dikhianati suami sendiri.

            Walaupun tampak kecil kesalahan Wafiq, hanya mengambil dan membaca diari itu tanpa izinnya tapi Humaira menganggap tindakan Wafiq sangat kurang sopan. Mana akhlak dan pribadi muslim dalam diri lelaki itu? Mengambil hak privacy orang lain tanpa izin?

            Humaira mengeluh berat, Wafiq tak jujur meraih cintanya dahulu. Mengkhianati dirinya dalam diam. Dia masih boleh menerima lagi jika Wafiq berterus terang dengannya selepas mereka berkahwin tapi tindakan Wafiq yang terus mendiamkan diri membuatkan dia kecewa. Ya, kecewa dan terasa dipermainkan! Salahkah jika Wafiq berterus terang dengannya? Wafiq tak jujur dengannya!

            Humaira memandang lagi laut yang terbentang luas, kakinya mula bermain di gigi air. Adakah ini kaffarah dosa semalam? Dosa yang sentiasa mengekori hidupnya. Andai ada butang delete, sudah pasti kenangan itu dihapuskan dalam memori hidupnya. Tapi tak semudah itu mahu membuang dosa semalam. Itulah harga yang harus dibayar atas kesilapan lalu.

            “Ya Allah, adakah aku tak mampu untuk bahagia?” monolog hatinya sendiri. Namun cepat pula lafaz istighfar meniti di bibir. Tidak elok jika dia mempersoalkan takdir Ilahi. Dia hanya hamba!

            Tapi hati yang kecewa dan sedih harus diubati! Maka apa pula solusinya? Allah.. Sedang mindanya menerawang jauh, terdengar pula suara comel menyapanya dari belakang.

            “Assalamualaikum..” Humaira berpaling ke belakang mencari si pemilik suara yang memberi salam.

            “Waalaikumsalam.” Humaira membalas dan mula mengukir senyuman. Tapi hanya senyuman hambar yang mampu dilepaskan.

            “Auntie tengok pantai eh? Aisy pun suka tengok pantai. Ummi kata tengok pantai dapat pahala.” Petah mulut comel itu menegur.

            Makin lebar senyuman Humaira, makin tertarik melihat telatah comel anak kecil di hadapannya itu. Di sisi anak kecil itu terdapat lagi seorang budak perempuan yang kelihatan agak malu-malu.

            “Haah. Nama awak Aisy?” Humaira mula peramah. Senang dengan kehadiran ulama’ kecil yang hadir untuk menghiburkan hatinya.

            “Haah, nama saya Aisy. Nama auntie? Ni adik Aisy, Humaira’” makin petah bicara anak kecil yang diberi nama Aisy itu. Humaira’ di sisi Aisy mula tersenyum malu.

            “Nama auntie pun Humaira!” Humaira sudah teruja. Tak sangka, sama pula namanya dengan mujahidah comel itu.

            “Humaira’ gelaran untuk Saidatina Aisyah. Abi kata maksudnya putih kemerahan.” Baru kini mulut kecil Humaira’ berbicara.

            Humaira jadi kagum. Anak sekecil itu sudah kenal isteri kesayangan nabi. Pasti hebat didikan yang diterapkan orang tuanya! Tiba-tiba tangannya mengusap pula perut, ya ada benih yang kini bercambah di rahimnya. Allahu..

            “Subhanallah, pandainyaaa” Humaira memuji. Kagum.

            “Auntie cantik, putih kemerahan. Tapi wajah auntie macam tak happy.” Jujur bicara Aisy.

            Humaira tersenyum kelat. Benarlah kata-kata anak kecil itu lebih jujur. Hati mereka juga lebih suci kerana mereka mudah memaafkan dan meminta maaf.

            Humaira tersenyum. Dia mengusap perlahan kepala Aisy dan Humaira’. Comel sekali anak kecil ini. Mujahidnya nampak lebih matang dan mujahidahnya comel menutup aurat. Mata Humaira memerhati sekeliling, mencari ummi dan abi ulama’ kecil ini. Kagum dengan tarbiyah yang diajar dalam jiwa Aisy dan Humaira.

            “Kalau auntie sedih, Allah kan ada? Ummi kata orang Islam special sebab kita sentiasa ada Allah. Kita sentiasa ada teman.” Kata-kata yang ringkas tapi terus menusuk ke jantung Humaira. Terasa seperti ditembak dengan kata-kata Aisy! Hah, hambekkk!

            “Aisy, Humaira’. Buat apa tu?” tiba-tiba muncul pula seorang wanita yang wajahnya penuh ketenangan. Langkahnya teratur disusun menuju ke arah mereka dan di tangannya sedang mengendong seorang nayi.

            ‘Mungkin ini ummi mereka’ desis hati Humaira.

            “Ummiiii…” Jerit Aisy dan Humaira’ girang.

            Adriana melemparkan senyuman. Kat sini rupa-rupanya ulama kecil dia dan Faris. Pantang terlepas pandang, ada saja ‘aktiviti’ Aisy dan Humaira’. Memang sengaja dibawa Aisy dan Humaira’ ke pantai.

            “Allah, anak-anak ummi kat sini rupanya. Risau ummi. Maaf ya awak kalau saintis kecil ni mengusik sedikit.” Lembut tutur kata Adriana. Humaira jadi bertambah kagum. Berhikmahnya cara Adriana menegur.

            “Ehh tak apa.”

            “Ummi, nama auntie ni Humaira. Sama nama macam Humaira’ ummi.” Makin petah bicara si mujahidah kecil yang nampak pendiam tadi.

            Adriana dan Humaira sama-sama tersenyum.

            “Saya Adriana. Awak Humaira ya? Manis namanya semanis orangnya.” Adriana mula meraikannya kenalan barunya.

            “Haah. Terima kasih.”

            “Sayang..” Sapa suara lain pula di belakang mereka.

            Adriana berpaling dan tersenyum. Ohh si kekasih hati sudah memanggil. Dihadiahkan senyuman dan pandangan mata yang sangat special buat si suami.

            “Abang, sebentar ya.” Dihulurkan bayi yang berada di tangannya kepada si suami yang menanti.

            “Awak, saya gerak dulu. Alhamdulillah gembira dapat kenal awak.” Adriana memeluk erat Humaira. Baru berkenalan tak semestinya kita tak boleh bermesra bukan? Islam mengajar lemparkanlah senyuman, sebarkanlah salam, dan barulah Islam mampu bertebaran!

            Humaira tersenyum. Hati yang sakit sedikit lega. Allah hadirkan insan yang mentarbiyah diri. Baiknyaaa Allah!

            “Kami gerak dulu.” Kata Faris dan Adriana serentak. Humaira menghantar pemergian mereka. Matanya tak lepas memandang pasangan yang barakah itu. Mampukah dia dan Wafiq sebahagia mereka?

            Humaira merenung semula laut yang terbentang luas. Tiba-tiba hatinya disuntik rasa bersalah. Keluar rumah tanpa izin suami. Nusyuzkah dia? Tiba-tiba kakinya melangkah laju meninggalkan pantai. Ya, seharusnya dia tak patut lari dari masalah. Keluar rumah tanpa izin suami bukan jalan penyelesaiannya!

TEPAT JAM tiga petang Humaira tiba di rumah. Mujurlah mudah untuknya mendapatkan teksi. Kakinya melangkah masuk ke dalam rumah. Nasib baik dia sudah solat Zohor di surau berdekatan pantai sebentar tadi.

            Kunci dimasukkan ke dalam tombol pintu. Belum sempat dia membuka pintu, pintu sudah pun terkuak dari dalam. Terjengul wajah Wafiq yang risau. Humaira mengurut dadanya perlahan. Terkejut! Awalnya Wafiq pulang.

            “Maira pergi mana??” belum sempat dia masuk, Wafiq sudah menyergahnya dengan soalan itu.

            Humaira selamba masuk tanpa menjawab soalan Wafiq. Tiba-tiba hatinya sakit mengingat tentang diari itu. Rasa bersalah keluar rumah tadi hilang begitu saja dan diganti dengan rasa amarah.

            “Eh.. abang tanya ni..” balas Wafiq geram. Dia merentap tangan Humaira.

            “Sakit, lepaslah.” Humaira cuba merungkaikan pegangan Wafiq.

            Wafiq melepaskan pegangan. Rambut diraup kasar. Hari ini dia pulang awal kerana ingin membawa Humaira ke klinik tapi Humaira pula tiada di rumah. Suami mana yang tidak risau jika isteri keluar tanpa khabar berita? Telefon pula sengaja dimatikan.

            “Maira pergi mana?” Kali ini lembut Wafiq bertanya.

            “Buat apa nak tahu.” Balas Humaira dingin.

            “Maira tu isteri abang! Tahu kan hukum isteri keluar tanpa izin suami?” Wafiq sudah menahan geram. Orang tanya baik-baik dijawab kasar pula! Apa masalah Humaira ni agaknya eh? Memang orang mengandung emosi tak stabil eh? Semalam bukan main sopan lagi, tapi hari ni?

            “Ohhh, so apa pulak hukum orang yang mengambil hak orang lain tanpa izin?” Humaira memulangkan paku buah kerasnya. Tak tahan dah nak simpan rasa sakit hati ni lama-lama.

            “Maira cakap apa ni?” tanya Wafiq.

            “Abang ambil diari Maira kan?” soal Humaira berani. Dia menatap wajah Wafiq lama.

            “Dia.. diarii?” Wafiq tergagap-gagap.

            “Mengaku jelah abang ambil dan baca diari Maira. Maira tak sangka abang sekeji ni.” Makin lancang Humaira menyoal dan meluahkan rasa amarahnya.

            “Watch your words Damia Humaira!” wajah Wafiq sudah merah padam menahan amarah.

            “Kenapa? Salah apa yang Maira cakap ni? Abang tak jujur dengan cinta abang!” Humaira terus melontarkan amarah dan rasa hatinya.

            “Jangan mempersoalkan cinta abang pada Maira! Maira takkan pernah faham dan tahu!”

            “Maira tak rasa cinta abang tu ikhlas!” lain yang dihati, lain pula yang Humaira lontarkan. Apabila marah sudah menguasai diri.

            “Watch your words again Humaira, jangan cabar abang!” Wafiq sudah mengenggam penumbuknya. Menahan amarah, lancangnya Humaira mempersoal dan menuduhnya begitu.

            “So abang rasa tercabarlah ni?” Humaira semakin berani melumpuhkan kesabaran Wafiq.

            Wafiq merengus kasar, dia melangkah laju meninggalkan Humaira tanpa sepatah kata. Menjauhkan diri itu lebih baik dari amarahnya dilepaskan pada tempat yang tak sepatutnya.


            Humaira hanya memandang langkah Wafiq dan dia terduduk lemah di sofa. Tangannya laju menampar mulut sendiri. Lain yang di hati lain pula yang dilontarkan. Benarlah kata orang diam itu lebih baik!

Thursday 5 September 2013

Penghijrahan Cinta 24

BAB 24

            Sudah seminggu semenjak peristiwa itu dan sudah seminggu jugalah Wafiq melancarkan perang dinginnya. Wafiq yang dulu petah bicaranya kini bagaikan patung yang tak bernyawa. Kaku dan tak punya perasaan!

            Humaira mengeluh berat, tak tahu di mana silap dan salahnya sehingga Wafiq berubah sejauh ini. Dia lebih rela Wafiq memarahinya daripada lelaki itu mendiamkan diri. Puas ditanya apa salahnya tapi Wafiq hanya membisu seribu bahasa. Pening kepalanya memikirkan perubahan drastik Wafiq. Wafiq sudah pandai pulang lewat malam dan sibuk dengan kerja dijadikan alasan oleh lelaki itu apabila Humaira menyoalnya. Masa Wafiq juga banyak dihabiskan di bilik kerja berbanding bergurau dan bercerita dengannya.

            Humaira memicit kepalanya perlahan. Sejak akhir-akhir ini dia sering diserang sakit kepala dan badannya pula lemah tak bermaya. Letih melayan kerenah Wafiq yang semakin jauh berubah.

            “Maira, tak sihat ke?” soal Syuhada risau. Mana tak risaunya wajah Humaira pusat lesi. Pipi yang selalu kemerahan itu nampak benar pucatnya.

            “Hah?” tanya Humaira. Soalan dibalas soalan. Begitulah keadaannya sejak akhir-akhir ini, semakin kurang fokus dan sudah pandai termenung jauh.

            “Kau tak sihat eh? Jom pergi klinik.” Syuhada mengajak. Tak perlu mendengar jawapan dari Humaira dia sudah tahu temannya itu tidak sihat. Badan lemah tak bermaya.

            “Aku sihat.” Humaira menidakkan. Dilemparkan senyuman, tapi hanya senyuman hambar. Sehambar rasa hatinya saat ini.

            “Tipu. Aku tahu kau tak sihat. Tengok muka kau je aku dah tahu. Lepas kelas kita pergi klinik.” Syuhada sudah memberi kata putus. Muktamad!

            Humaira menarik nafas, akhirnya dia mengalah jua. Malas mahu bertekak tika kepalanya mula berdenyut-denyut.

            Selesai kelas mereka tengah hari itu Syuhada menarik tangan Humaira menuju ke Pusat Kesihatan university mereka. Tidak mahu memberi ruang untuk Humaira melepaskan diri dari dirawat.

            “Syu.. aku rasa kita pergi farmasi jelah.” Humaira menarik tangan Syuhada. Dia memang malas mahu ke klinik. Rasa seram semacam saja.

            “Ishh. Mana boleh.” Syuhada menjawab tegas.

            “Alaa please Syu. Sama je kalau pergi klinik ke farmasi ke. Aku malaslah pergi klinik, nanti tunggu lambat sangat, nak kena ambik nombor lagi.” Humaira mula mencipta pelbagai alasan. Mukanya mula meminta simpati.

            Langkah Syuhada terhenti. Dia memandang lama wajah Humaira yang bersungguh-sungguh merayu. Rasa kasihan pula.

            “Em ok, tapi janji kau akan makan ubat nanti?”

            “Promise!” Humaira membalas. Dia tersenyum lega.

            “Okay kita pergi farmasi je. Aku hantar kau.” Syuhada memberi kata putus. Langkah dihala menuju ke parkir kereta pula.

            “Thanks Syu.” Humaira membalas. Mujur dia punya sahabat yang prihatin dan memahami.

Sambil langkah diatur mengikut rentak kaki Syuhada, tangannya laju mengeluarkan telefon bimbit di handbag. Mahu menghubungi Wafiq sebentar meminta keizinan. Laju tangannya mendail nombor Wafiq.

“Assalamualaikum abang.” Humaira memberi salam sebaik saja panggilannya dijawab Wafiq.

“Waalaikumsalam.” Wafiq membalas ringkas. Sedang Humaira di hujung sana mula mengukir senyuman. Terlepas seketika rindu di dada apabila mendengar suara Wafiq walaupun hanya di dalam telefon.

“Maira nak pergi farmasi dengan Syu, boleh tak?” Humaira meminta keizinan.

Wafiq mula gelisah. Humaira tak sihatkah? Humaira sakit apa? Kenapa dia tak perasan keadaan isterinya sendiri? Ahh bagaimana dia mahu alert dengan perubahan isteri kalau diri seperti terperangkap dalam dunianya sendiri!

“Em, kenapa tak bagitahu abang Maira tak sihat?” tegas intonasi Wafiq tapi ada terselit nada kecil hati pada bicara Wafiq. Sepatutnya dia orang pertama yang tahu tentang kesihatan isterinya. Seakan dirinya tak penting pula bagi Humaira, terasa egonya tercabar. Isteri sendiri sakit tapi orang lain pula yang menghantar ke klinik. Terasa dirinya seperti suami yang tak bertanggungjawab pula.

Humaira mengetap bibir perlahan. Hatinya sebak. Bukan dia tak mahu memberitahu Wafiq tapi baru saja dia hendak membuka mulut Wafiq sudah mengasingkan diri. Salah dia jugakah?

Suasana hanya sepi antara mereka. Sesaat, dua saat berlalu.

“Em pergilah..” Wafiq memberi keizinan.

Humaira tersenyum hambar. Senyum tak bererti gembira, kadangkala senyum menyembunyikan duka di hati.

“Thanks abang.” Humaira membalas tanpa riak. Dia memutuskan talian.

Entah mengapa semakin hari dia merasakan dia semakin menjauh dari Wafiq. Bagaikan ada jurang dan halangan yang memisahkan mereka. Tapi halangan apa? Humaira menarik nafas dalam-dalam, mencari kekuatan yang semakin hari semakin menipis dalam diri. Baru tiga bulan usia perkahwinan mereka, mereka sudah diuji sebegini. Dimanakah silap mereka? Apakah benar berkahwin di usia muda tak menjanjikan bahagia? Ahh, dia buntu sendiri!

“Maira??” Panggilan Syuhada mematikan lamunannya. Lantas dihayun laju langkahnya mengikut langkah Syuhada yang semakin ke hadapan.

I’m coming!” Humaira tersenyum menutup duka dan rasa sebak di hati.

Baru Humaira melabuhkan punggungnya ke kerusi kereta, kereta Syuhada sudah meluncur laju. Nak drift ke apa Syuhada ni?

“Syu..” panggil Humaira perlahan. Kepalanya dipicit perlahan. Rasa loya pula apabila kereta dipandu laju sebegitu.

“Kenapa?” Riak Syuhada mula bertukar risau, diperlahankan kelajuan kereta.

Drive slow sikit, aku mabuklah kau bawak laju-laju ni,” kata Humaira, tangannya masih memicit kepala.

“Selama ni kau selamba je naik kereta dengan aku. Takde pulak mabuk, steady je.” Syuhada membalas selamba. Memang kereta selalu dipandunya laju. Baru thriller!

“Jangan-jangan kau…” bicara Syuhada tergantung. Mulutnya ditekup.

Humaira tersentak.

“Mengandung!!” serentak bicara Humaira dan Syuhada. Ohhhmaii…

“Kita pergi klinik jelah. Mana tahu ada good news.” Syuhada mula teruja. Melihat keadaan dan perangai Humaira yang pelik tak mustahil ada gambar gembira menanti mereka. Lihat saja perangai Humaira yang terlebih fanatik dengan buah tomato. Ada ke patut makan nasi putih dengan buah tomato saja. Tak ke pelik tu?

“Tak naklah Syu. Kita pergi farmasi je.” Humaira membalas.

“Ishh kau ni, dibuatnya kau mengandung. Mana boleh makan sebarangan ubat.” Syuhada membalas tegas.

“Aku tak nak beli ubat, aku nak beli pregnancy test!” Humaira sudah mengukir senyum. Berharap sangat ada berita gembira menanti mereka.

“Kenapa tak nak pergi klinik?” soal Syuhada pelik.

“Aku nak pergi dengan Wafiq.” Luah Humaira. Kalaupun dia mengandung dia mahu Wafiq orang pertama yang tahu. Tapi apabila melihat riaksi dingin Wafiq, sudikah lelaki itu meluangkan masa untuknya?

“Em oklah kalau macam tu. Kita pergi farmasi.” Syuhada beralah.

Suasana mula sepi di dalam kereta dan hanya kedengaran bunyi cd zikir terapi dari Hafiz Hamidun yang memecahkan kesunyian mereka. Otak Humaira ligat memikirkan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku. Diusapnya perlahan perut, benarkah ada benih yang bercambah di rahimnya kini?

Seperti biasa Wafiq pulang lewat malam itu. Selepas solat Isyak baru dia bertolak pulang. Esok hari terakhir praktikalnya. Wafiq mula menarik nafas lega. Wafiq melangkah masuk ke rumah sewa mereka. Sunyi dari sebarang bunyi. Bunyi televisyen pun tidak kedengaran. Hairan.

            Salam diberi tapi langkah Wafiq masih kaku di muka pintu. Gelap gelita rumahnya. Hanya ada cahaya malap-malap dari ruang dapur. Blackout ke? Soalnya sendiri. Rasa ingin tahu membawanya ke ruang dapur.

            “Surprise!” Humaira memeluk pingang Wafiq dari belakang. Rindunya dengan haruman tubuh Wafiq. Seminggu perang dingin mereka cukup membuatkan jiwa Humaira terseksa!

            Wafiq mengurut dada. Terperanjat. Dia meleraikan pelukan di pingangnya. Pelik, hari ini bukan hari istimewa. Humaira meraikan apa sebenarnya ni?

            “Kenapa gelap?” soal Wafiq pelik.

            “Saja.” Humaira membalas selamba. Ditariknya tangan Wafiq ke meja makan.

            Humaira menghadiahkan senyuman semanis yang mungkin. Cuba menarik perhatian Wafiq malam ini. Malam ini dia tampil secantik dan se‘ekslusif’ di depan suami sendiri. Cuba mencairkan ais dingin Wafiq Rizqi yang semakin menebal dalam diri. Langkah diatur selembut mungkin ala-ala model yang sedang catwalk di hadapan pentas. Cuba menggoda suaminya sendiri. Ahh seboleh mungkin dia cuba membuangkan rasa malu, menggoda suami sendiri tak menjadi satu kesalahan bukan?

            Wafiq hanya mengikut langkah Humaira, ekor matanya mengerling tingkah Humaira yang agak menggoda malam ini. Beraninya Humaira menggoda dia sebegitu! Wafiq tersengih melihat keberanian Humaira malam ini.

            “Jemput duduk abang.” Lembut suara Humaira mempelawa. Ditariknya kerusi perlahan dan dia mula mencedok lauk untuk Wafiq, melayan suami seanggun mungkin! Hehe..

            “Tapi abang dah kenyang,” dalih Wafiq. Tangannya menghentikan gerak tangan Humaira yang ingin mencedok lauk ke dalam pinggan.

            Humaira menahan sabar. Dihadiahkan juga senyuman walaupun dalam hati ada rasa amarah yang mula membara.

            “Jemputlah jamah sikit. Maira masak special untuk abang.”

            “Emm, okayyy,” putus Wafiq perlahan.

            “Maira tak makan?” soal Wafiq pelik. Maira hanya menompang dagu melihat wajahnya. Langsung tiada pinggan lain di atas meja selain pinggannya.

            “Tak.” Humaira membalas. Dia memandang wajah Wafiq. Ingin melepaskan rindu sepuas-puasnya.

            Wafiq membaca bismillah sebelum menjamah masakan Humaira. Tapi ekor matanya sempat menjeling tindak-tanduk Humaira di hadapannya. Hari ini Humaira berperangai pelik, selalunya Humaira sudah terlena ketika dia pulang dari tempat kerja. Dengan gaya lembut dan renungan mata Humaira seakan menggodanya pula. Haih.

            “Abang dah kenyang.” Wafiq menolak pinggan. Lima suap saja dijamah masakan Humaira.

            Humaira tersedar, jauhnya khayalannya kali ni. Melepaskan rindu yang saban hari tak pernah surut.

            “Abang, Maira ada something nak bagitahu abang ni.”

            Wafiq melangkah ke sinki. Diangkut sekali pinggan yang kotor tadi.

            “Esok kita bincang boleh tak? Abang letihlah.” Wafiq membalas. Memang dia agak busy hari ini, dan mood tiada untuk berbincang malam ini.

            “Tapi abang..” Humaira membalas, kurang berpuas hati. Matanya memandang baki lauk yang masih banyak lagi di atas meja. Gagal lagi nampaknya plannya kali ini.

            “Maira mengandung!” nekad Humaira ingin memberitahu Wafiq berita gembira itu.


            “Hah??” terlepas pinggan di tangan Wafiq, nasib baik terus masuk ke dalam sinki pinggan tersebut. Kalau tak, alamatnya pecah berderailah!

Wednesday 4 September 2013

Penghijrahan Cinta 23

BAB 23

            Humaira termenung melayani lamunan sendiri. Jauh jiwanya melayang kali ini. Sedikit tersentap dan kecil hati dengan tingkah Wafiq hari ini, melayani dirinya persis dirinya tak wujud di depan lelaki itu. Humaira mengeluh berat. Separuh dari hatinya mahu bersangka baik dengan Wafiq manakala separuh lagi hatinya menyangka buruk pula.

            Lama dia termenung memikirkan sikap Wafiq hari ini. Pagi subuh mereka berlalu tanpa solat berjemaah seperti biasa. Itu Humaira boleh sabar lagi, tapi bila Wafiq langsung tak menjamah sarapan yang disediakan, hatinya mula terasa. Dan tika tangan dihulur untuk bersalaman seperti kebiasaan mereka tetapi Wafiq pula hanya menyambut kaku huluran tangannya hatinya bertambah-tambah terseksa! Wafiq seperti tak punya perasaan! Tiada rasa hangat dan kucupan di dahi seperti selalu.

            Humaira mengeluh berat lagi, kalau bagi wanita lain perubahan suami itu tak memberi kesan kepada mood mereka tapi tidak bagi Humaira. Sungguh dia terasa hati, masih terbayang di fikirannya saat Wafiq hanya memandang sepi makanan yang telah disediakan pagi tadi. Menjamah sedikit pun tidak sudi! Rasa hati ditahan saja ketika itu dan apabila Wafiq bersikap dingin lagi dengannya saat bersalaman pagi tadi, hatinya tersentap maha hebat! Ketiika enjin kereta Wafiq menderu pergi meninggalkannya, laju air mata yang mengalir. Pagi ini dalam sejarah, suara Wafiq tidak kedengaran.

            Belum sempat Humaira mengeluh lagi, Liyana sudah datang menyapa. Diusapnya lembut tangan Humaira.

            “Dari tadi akak perhati, banyaknya mengeluh. Do you want to share something with me?.” Liyana menyoal prihatin. Wajah muram Humaira dipandang lama.

            Humaira mengangkat wajah. Sedikit kaget dirinya saat itu.

            “Err akak, bila sampai?” soalan dibalas soalan.

            “Almost three minutes ago.” Liyana menjawab selamba.

            Three minutes ago? Ohhmaii lama tu! Humaira ketuk dahi laju. Apesal dia tak perasan pun kehadiran Liyana? Erk, mana nak perasan kalau otak dah melayang jauh! Huhu..

            “Ketuk kepala pulak dah. Haha.” Liyana tertawa. Macam-macam gelagat junior yang sorang ni!

            “Err akak tanya apa eh tadi? Maira tak dengar.” Humaira membalas selamba.

            Liyana tersenyum. Humaira, Humaira.. Jauhnya awak mengelamun. Agak-agak dah sampai ke bulan tak? Ke dah sampai ke Pluto?

            “Akak tanya kenapa mengeluh? Nak share something dengan akak tak?” Liyana ulang soalan yang sama. Kali ini nadanya lebih tersusun, lebih lembut.

            Humaira hanya tersenyum sambil menggeleng kepalanya perlahan. Aib rumah tangga harus disimpan. Harus dijaga maruahnya dan Wafiq. Hidup ni tak semua benda kita boleh berkongsi dengan orang lain, hidup ni harus punya privacy tersendiri.

            Liyana tersenyum mengerti.

            “Don’t worry sis, Maira okay!” ujar Humaira. Dia harus kuat, ini baru sedikit ujian untuknya. Humaira tersenyum.

            Liyana menepuk perlahan bahu Humaira, mengalirkan sedikit kekuatan. Walaupun Humaira cuba menyembunyikan kesedihannya namun Liyana mengerti dan nampak wajah mendung Humaira. Lagi pula bukan sehari dua dia mengenali Humaira! Sudah dua tahun dia mengenali gadis yang semakin matang menutur bicaranya itu.

            “Sahabat sayang, ingat janji Allah. Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan dan Allah sentiasa bersama orang yang sabar.” Liyana menasihat lembut. Liyana, nama yang selembut orangnya. Bicaranya sentiasa tersusun dan penuh berhikmah.

            Humaira tersenyum dalam duka. Air matanya sudah di tubir mata. Beruntungnya punya sahabat yang saling menguatkan ketika sahabatnya yang lain lemah.

            “Terima kasih kak. Akak sentiasa ada bila Maira perlukan seseorang.” Humaira menahan sebak.

            “Ucapkanlah alhamdulillah, akak hanya manusia biasa. Allah jugalah sandaran Humaira, akak hanya perantaraan dari-Nya saja.” Liyana membalas, tangannya mengenggam erat tangan Humaira.

            “Alhamdulillah.” Ujar Humaira perlahan.

            Liyana menarik Humaira rapat kepadanya, diusap lembut bahu Humaira.

            “Maira sayang, sandarkan segala harapan kita pada-Nya. Dia yang Maha Berkuasa. Mintalah pada Dia, Dia suka hamba-Nya yang meminta dengan rasa rendah diri. Walaupun Allah tahu apa yang kita mahu, tapi teruskan juga meminta kerana itu tanda seorang hamba!”

            Humaira tersenyum. Kagum dengan naqibah usrahnya. Berbahagianya andai dirinya mempunyai semangat mujahadah seperti Liyana. Gadis yang nampak lembut luarannya tapi dalamannya sangat kuat. Semangat mujahadahnya menyubur dalam diri. Jangan disangka wanita itu lemah, sirah telah membuktikan manusia pertama yang syahid ialah Sumayyah! Jangan disangka tangan yang lembut menghayun buaian itu tak mampu mengenggar dunia!

            “Syukran kak. Alhamdulillah punya sahabat yang banyak mentarbiyah diri.”

            “Petang nanti, jom join bulatan gembira kita. Akak rindukan Humaira.” Liyana mengajak.

            Bulatan gembira atau usrah. Humaira sudah tersenyum. Lamanya dia tak berkesempatan menyertai mereka selepas dia berumah tangga. Allah, Allah, Allah.. Lalainya aku dengan dunia-Mu.

            “Maira, akak nak ajak Maira jadi guru ganti masa cuti sem nanti. Nak try apply tak?” tanya Liyana. Diangkat kening dua, tiga kali. Sengaja menyakat Humaira.

            Humaira sudah teruja. Macam best je!

            “Nak, nak..” semangat Humaira membalas.

            “Nanti Maira tanya Wafiq dulu.” Humaira menyambung. Statusnya kini sudah berubah, pendapat dan keizinan suami harus diutamakan.

            “Okay, nanti bagitahu akak keputusannya.” Liyana membalas dan mereka tersenyum bersama.

Petang itu Wafiq masih lagi di pejabat, menyiapkan tugasannya walaupun jam di dinding sudah merangkak ke angka tujuh malam. Sengaja dia pulang lewat hari ini, menenangkan hati dan mencari ruang sendiri.

            Entah apa yang merasuk dirinya pun dia tidak tahu. Hanya kerana sebuah diari dan sebuah kisah silam hatinya panasaran. Ahh dia jadi bingung sendiri. Dia tetap lelaki yang punya ego, tambahan pula sejak kecil lagi dia tidak suka berkongsi barangnya dengan orang lain. Anak tunggal lelaki dalam keluarga sedikit sebanyak membentuk sikapnya begitu.

            Wafiq mengeluh berat, keadaan di luar semakin gelap tapi hatinya langsung tak terasa ingin pulang. Kebiasaannya tepat jam lima petang dia sudah sibuk mengemas barang untuk pulang ke rumah. Tapi hari ini?

            “Lepas maghriblah baru balik,” putus Wafiq. Keadaan di pejabat semakin sunyi, hanya tinggal beberapa orang pekerja. Dalam seminggu ni dia sibuk turun ke tapak projek dan tak lama lagi juga dia akan menamatkan praktikalnya. Masa-masa terakhir sebagai jurutera pelatih memang agak sibuk, hendak menyiapkan laporan, hendak menyiapkan presentation lagi. Ohh masa sangat-sangat mencemburuinya!

            Baru hendak menyambung tugasannya, handphone di atas meja berbunyi minta diangkat. Tangannya laju mencapai handphone yang berwarna hitam-merah itu. Nama Humaira tertera di skrin.

            “Assalamualaikum.” Sapa suara di hujung sana. Lembut.

            “Waalaikumsalam.” Wafiq membalas perlahan.

            “Abang busy ke?” tanya Humaira perlahan. Sekarang sudah jam tujuh malam, batang hidung Wafiq pun dia tak nampak. Sudahnya dia hanya duduk termenung di hadapan Pusat Islam menanti ketibaan Wafiq. Hampir satu jam dia menunggu Wafiq, usrahnya sebentar tadi sudah tamat pada jam enam petang. Hanya sekadar sedikit perkongsian, tadarus serta bertadabbur al-Quran bersama.

            “Emm, busy jugak.” Wafiq membalas mendatar. Entah kenapa hatinya tidak lagi girang menyambut panggilan Humaira.

            “Maira kat u lagi ni.” Humaira membalas teragak-agak.

            Wafiq menarik nafas dan dihela nafasnya perlahan. Terlampau mengikut hati sampai dia terlupa untuk mengambil Humaira. Terbit pula rasa kasihan, rasa bersalah membiarkan Humaira menunggunya sampai malam-malam begini.

            “Maira balik teksi boleh kan? Abang busy ni.” Lain yang di hati lain pula yang terkeluar di mulut Wafiq.

            Humaira tersentak. Busy sangatkah Wafiq? Untuk mengambilnya pun tiada masa? Allah..

            “Boleh.” Humaira membalas. Sebak.

            “Assalamualaikum.”

            Klik. Talian diputuskan sebelum Humaira sempat membalas salam. Humaira bangun perlahan-lahan. Entah mengapa dia semakin terasa dengan sikap Wafiq. Hatinya tertanya sendiri, mengapa Wafiq berubah sejauh ini? Kaku dan dingin!

            Sedang di pejabat Wafiq termangu sendiri. Dia meraup kasar rambutnya ke belakang. Ahhh serabut! Kerja yang bertimbun di hadapan mata dipandang sepi.

            Wafiq merengus kasar. Geram dengan diri sendiri. Separuh hatinya seolah-olah ingin berlari mendapatkan Humaira tapi separuh lagi hatinya seperti tak punya perasaan. Wafiq terperangkap dalam dirinya sendiri!

            Lantas dicapai briefcase di atas meja, mengemaskan apa yang patut dan kakinya melangkah keluar dari pejabat. Berjalan laju ke arah parkir kereta. Enjin kereta dihidupkan dan lantas keretanya meluncur laju membelah keningan senja.

            Dipandu keretanya menuju ke arah UiTM Shah Alam untuk menjemput Humaira. Tidak sampai hati membiarkan Humaira balik dengan menaiki teksi. Sampai saja di university Humaira, matanya mencari kelibat Humaira. Tiada! Tempat yang selalu dia menghantar dan mengambil Humaira kosong.

            Wafiq merengus kasar. Dia terlambat! Tangannya menghentak stereng kereta kasar. Lantas nombor telefon isterinya didail laju.

            “Maira kat mana ni?” tanpa salam Wafiq bertanya.

            “Err Maira dalam teksi.” Humaira membalas dan dia tahu suara Wafiq di sana menunjukkan Wafiq bukan dalam mood yang baik. Mungkinkah Wafiq berubah kerana tekanan kerja? Hatinya bermonolog sendiri.

            “Em okay.” Wafiq membalas dingin. Terus diputuskan talian. Laju keretanya menuju ke masjid untuk solat maghrib berjemaah. Mencari ruang untuk menenangkan hati dan jiwa yang semakin serabut.

            Humaira tersentak lagi. Hairan dengan sikap Wafiq. Datang tanpa salam dan perginya juga tanpa salam. Ahh lama-lama dia yang bengong kerana memikirkan sikap Wafiq! Aduhai Suamiku!

            Lima belas minit dalam perjalanan akhirnya Humaira tiba di rumah, dia harus cepat-cepat membersihkan diri sebelum menghadap Pencipta-Nya. Masa untuk menunaikan solat maghrib tidaklah terlalu lama, takut terlepas pula.

            Usai membersihkan diri dia menuju ke dapur, mencari makanan untuk dialas perut yang mula minta diisi. Sambil bernyanyi-nyanyi kecil dia membuka peti sejuk, mengeluarkan ikan dan sayur untuk digoreng. Makan malam-malam ni memang alamatnya sengaja cari pasallah untuk menternak lemak! Huhu..

            Belum sempat Humaira menutup peti ais, dia terperasankan pula buah tomato. Laju saja tangannya mencapai buah tersebut. Tiba-tiba kecur air liur pula tengok buah tomato ni! Alahai menggoda sungguh buah tomato ni.

            Dibasuh dan dimakan begitu saja buah tersebut, habis sebiji dimakannya lagi sebiji. Tekaknya begitu berselera memakan buah tersebut malam ini. Selalunya nak pandang sebelah mata pun dia tak hairan. Humaira menggaru kepalanya yang tak gatal. Hairan dan pelik mula menguasai diri. Ohh dengan dirinya sekali tersampuk perangai pelik Wafiq! Ni namanya suami borek, isteri rintik. Huhu..

            Humaira mengerling jam di dinding, sudah hampir waktu solat isyak tapi bayang Wafiq masih tak nampak. Humaira mengeluh perlahan, bosannya apabila Wafiq tiada. Mungkin Wafiq benar-benar sibuk agaknya. Humaira memujuk diri sendiri.

            Niat Humaira untuk memasak terus terbantut. Nak masak apanya, dah pukul lapan lebih! Disimpan kembali ikan dan sayur ke dalam peti sejuk. Tapi niat memasaknya saja terbantut, niat untuk ‘mengunyah’ buah tomato tidak. Selamba saja dia memakan buah tersebut, macam makan keropok saja. Lagi masam, lagi sedap! Wohoaa..

            Dengar saja azan berkumandang dari masjid yang berdekatan, Humaira terus bersiap untuk menunaikan solat pula. Selesai solat, dia duduk termenung di ruang tamu, memasang televisyen tapi otaknya melayang ke tempat lain. Rancangan televisyen malam itu gagal menarik minatnya.

Dari posisi duduk dia mula berbaring santai di atas sofa. Matanya kian memberat dan bagaikan menjadi habit kini, usai sahaja solat isyak dirinya sudah diserang mengantuk yang maha hebat. Kalah orang bersawah saja penatnya. Penat dan mengantuk tak terperi! Humaira cuba menahan kantuk, sesaat, dua saat dirinya sudah dibuai mimpi.

Wafiq membuka pintu rumah perlahan, salam diberi. Hatinya terasa lebih tenang kini. Sengaja dia pulang agak lewat sedikit selepas berjemaah di masjid tadi. Jam menginjak ke angka sepuluh malam baru dia bertolak pulang.

Masuk saja ke dalam rumah, Wafiq beristighfar panjang. Dilihatnya Humaira sedah terlena di atas sofa dengan televisyen yang masih terpasang. Kepalanya digeleng laju. Dengan rumah tak berkunci, dengan tv terpasang. Alahaii Puan Humaira sayang..

Kakinya melangkah ke arah sofa. Memerhati wajah yang sedang lena tidur itu. Wajah yang tenang dan persis seperti anak kecil yang tertidur selepas penat seharian bermain. Wafiq membetulkan perlahan rambut Humaira yang sudah terjuntai di dahi. Diselitnya perlahan ke tepi telinga. Lenanya Humaira tidur! Dicium pula dahi Humaira lama. Kasihnya tumpah di situ, mesti Humaira tertidur kerana menunggu dia. Lantas dikendongnya tubuh Humaira dan dia melangkah ke bilik. Matanya memerhati Humaira yang lena tidur. Tak sedar langsung, bergerak pun tak! Haih penat sangat ke sayang??


Diletak perlahan tubuh itu ke atas katil. Diusap pula pipi Humaira. Wafiq tersenyum sendiri. Rindu dengan gurauan mereka, rindu dengan kenangan manis mereka. Ahh rindunya semakin membuak di dalam dada! Rindu kepada isteri yang di depan mata..