Thursday 17 January 2013

Assalamualaikum :) Sedikit sedutan buat yang rindukan SE


Bangun sahaja pagi itu Adriana mengucap syukur di dalam hati, masih diberi peluang untuk bernafas di bumi Ilahi. Kedinginan pagi di kampung membuatkan Adriana tersedar awal walaupun malam semalam dia tidur agak lewat. Dikerlingnya jam yang terletak di meja kecil tepi katil, baru jam empat setengah pagi. Direnungnya wajah Faris di sebelah, masih lena dibuai mimpi. Wajah yang polos seperti anak kecil, jujur dia semakin sayang kepada pemilik nama Faris Ar Rayyan iaitu suaminya sendiri. Pemilik cintanya selepas Allah dan Rasulullah.

            Adriana bermuhasabah sambil tangannya membelai lembut rambut Faris, lenanya Faris tidur. Setiap gerakan tangan Adriana sedikit pun tidak menganggu lelaki itu. Ini kalau bom meletup sebelah telinga pun belum tentu sedar ni!! Mungkin Faris keletihan menguruskan pengebumian Haji Mansor semalam, lelaki itu jugalah yang membantu memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan, mengangkat jenazah dan memasukkan jenazah ke liang lahad semalam. Bukti kasih sayang seorang cucu kepada datuknya sendiri.

            Benarlah cinta selepas nikah itu jauh lebih indah, jauh lebih barakah. Tetapi Adriana sedar cinta kepada manusia bukannya matlamat. Cinta kepada manusia hanya alat untuk mencapai cinta Allah. Oleh sebab itu, cintakan Allah itu haruslah melebihi dari cintakan sesama manusia. Faris hanya pinjaman untuknya di dunia.

            Adriana teringat kata-kata Ustaz Pahrol dalam bukunya Cinta Kerana Allah. Kata beliau:

            “Cinta Allah itu menjadi tapak kepada cinta yang lain, apabila cinta Allah goyah, cinta yang lain aku turut rebah! Cintailah Allah untuk mencintai orang lain, hanya apabila kita mencintai Allah, barulah semarak cinta kita sesama manusia..”

            ‘Cintakan manusia kerana Allah…’ hati Adriana bermonolog sendirian. Dijelingnya lagi jam di sisi katil. Lagi lima belas minit sebelum jam lima pagi. Masa untuk ber'dating’ dengan Allah pula. Paginya terasa lebih bertenaga dan bersemangat jika dia ber'dating’ dengan Allah sebelum subuh hari.

            Adriana bangkit dari katil, kakinya melangkah ke arah tingkap. Merenung pagi yang gelap, subhanallah tenangnya rasa melihat ciptaan-Mu sebelum terbit mentari. Hanya orang bangun solat tahajjud dan Subuh sahaja dapat merasakan ketenangan menatap ciptaan Ilahi pada dinihari. Tak percaya? Cuba bangun dan rasainya sendiri..

            Adriana melangkah pula ke sisi katil, mahu mengejutkan Faris yang masih lagi lena. Penatnya sungguh agaknya Faris sebab selalunya Faris yang mengejutkannya untuk bangun qiam. Diciumnya lembut dahi Faris.

            “Abang.. nak bangun qiam tak?” Adriana berbisik lembut di telinga Faris.

            “Emmm” hanya itu yang keluar dari mulut Faris, haishhh letih benar nampak. Adriana mula memasang strategi. Apa agaknya formula terbaik untuk mengejut sang suami bangun pagi? Mindanya mula memerah idea.

            “Cik abang sayang, jomlah kita ber'dating’ dengan Allah” Adriana masih terus memujuk. Kali ini dia cuba mengerakkan ibu jari kaki Faris. Kata orang dulu-dulu kalau nak kejutkan orang bangun pagi, gerakkan ibu jari kaki. Betul atau tidak teori itu hanya Allah yang tahu.

            “Riana…” panggil Faris lembut, kantuk masih menguasai diri.

            “Abang sayang, abang jomlah bangun. Nanti Riana bagi hadiah ‘special’ untuk abang” pancing Adriana lagi. Ishh, langsung tak gerak Faris ni.. nak buat macam mana lagi ya?

            Adriana mula memerah idea. Lantas kakinya diatur ke bilik air, mahu mengambil wuduk. Selepas mengambil wuduk Adriana menyarung telekung dan mengambil al-Quran kecil di atas rak. Dia duduk bersimpuh di atas lantai. Bersebelahan dengan tempat tidur Faris. Dipandangnya wajah kelihatan Faris, harap-harap kali ini berjayalah rancangannya mengejutkan Faris.

            Adriana mula mengalunkan surah An Nisa’. Suaranya memecah keheningan pagi. Surah An Nisa’ antara surah kegemarannya. An Nisa’ yang bermaksud wanita, banyak pengajaran yang boleh diambil dari surah itu. Sayangnya Allah kepada wanita, surah An Nisa’ diturunkan sebagai panduan. Benarlah al-Quran itu petunjuk jalan, hanya terpulang kepada diri sama ada mahu mengamalkan atau tidak. Tepuk dada tanyalah iman..

            Faris tersedar apabila terdengar suara lembut Adriana mengalun bingkisan cinta Ilahi.

            “Sayang, kenapa tak kejut abang?” Faris menyoal mamai.

            Adriana tersenyum, tak kejut?? Sahlah Faris tidur lena tadi.

            “Riana dah kejut tapi abang tak sedar. Dah dekat lima suku ni, bangun ya cik abang sayang. Sempat lagi kalau nak qiam. Riana tunggu abang” Adriana berkata perlahan. Tangannya mula menutup al-Quran.

            “Ok, thanks sayang..” Faris bingkas bangun, mahu menggosok gigi dan berwuduk.

            Adriana terus membentangkan sejadah untuknya dan Faris, dia melakukan solat sunat tahajjud dan solat sunat taubat dahulu. Sebentar lagi mereka akan solat Subuh berjemaah bersama.

           
Usai sahaja solat subuh mereka pagi itu Faris mengajak Adriana bertadarus bersama. Aktiviti yang agak lama tidak dilakukan bersama. Adriana tinggal di kolej, maka masa yang terluang bersama sangat sedikit.

            “Sayang, boleh terangkan abang maksud surah Al An’am ayat 130?” Faris bertanya lembut.

            "Kehidupan dunia telah menipu mereka dan mereka menjadi saksi kepada diri mereka sendiri, bahawa mereka adalah orang yang kafir" Adriana membaca perlahan terjemahan surah Al An’am.

            Adriana menerangkan kepada Faris maksud ayat surah Al An’am bersungguh-sungguh. Dunia ini hanya alat untuk mencapai akhirat tetapi ramai yang sudah terpedaya dengan tipu daya dunia. Akhirat tidak lagi menjadi matlamat apabila dunia diangkat menjadi matlamat.

            “Abang setuju, dunia umpama lautan, ramai orang yang memburunya ditenggelamkan. Dunia ini menipu daya, ramai pula manusia ditipunya. Betapa ramai orang yang memburunya dengan mengadaikan sesuatu yang menjadi miliknya yang sangat berharga. Tapi dunia tidak salah, selagi kita memburunya dengan niat yang betul. Kita jadikan ia alat untuk memburu kebahagian akhirat” Faris menambah lagi.

            Adriana tersenyum memandang Faris, mata bertentang mata. Biarlah mata hati mereka berbicara sendiri.

            “Abang mahu kita sama-sama tadabbur al-Quran. Al-Quran bukan hanya untuk dibaca tapi untuk dihayati dan diamalkan isu kandungannya” dalam diam Faris menasihat lembut.

            “Alhamdulillah, insya-Allah” Adriana menjawab.

            Adriana memuhasabah diri, kalau surat cinta dari manusia kita mampu hayati kenapa tidak kita cuba sungguh-sungguh untuk menghayati bingkisan cinta dari Ilahi kan? Sedangkan cinta Ilahi yang menjadi matlamat, cinta manusia hanya alat untuk mencapai cinta Ilahi.

            “Ayuh sama-sama kita capai cinta Ilahi” ajak Faris bersemangat.

            “Insya-Allah cik abang sayang. Boleh terangkan maksud tadabbur al-Quran?” Adriana menghadiahkan senyuman.

            Faris mengangkat keningnya dua tiga kali. Dia tahu Adriana sengaja menduga, sudah pasti isterinya tahu maksud tadabbur al-Quran.

            “Boleh bidadariku sayang. Tadabbur al-Quran bermaksud berfikir dan memperhatikan ayat-ayat al-Quran untuk memahaminya, mengetahui makna-maknanya, hikmah-hikmahnya, dan maksudnya” terang Faris.

            Adriana tersenyum puas mendengar jawapan Faris. Berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.

            “Pintarnya suami soleh Riana ni, Alhamdulillah.. abang sayang, apa tanda-tanda hati kita sudah bertadabbur dengan al-Quran?” Adriana menyoal lagi, suka meraikan fikrah Faris.

Faris membaca surah Al Ma’idah ayat 83 yang bermaksud:

“Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al-Quran) yang telah mereka ketahui (dari kitab-kitab mereka sendiri); seraya berkata, “Ya Rabb kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al-Quran dan kenabian Muhammad)”

Adriana mengerutkan dahinya, dia mahukan penjelasan yang lebih lagi mengenai ayat yang dibacakan Faris sebentar tadi.

“Boleh abang terangkan dengan lebih details? Riana kurang faham” tulus pertanyaan yang keluar dari bibir kecil Adriana.

“Maksudnya, tanda-tanda hati kita sudahpun bertadabbur dengan al-Quran ialah kita mampu mengalirkan air mata kerana kebenaran al-Quran, kita memahami apa yang terkandung di dalam al-Quran itu dengan sebenar-benarnya. Tanda lain hati kita tadabbur terhadap bingkisan cinta ini ialah apabila kita berjaya menyatukan hati dan fikiran ketika membaca al-Quran, menangis kerana takut kepada Allah, merasa bertambahnya iman dan merasa bahagia dan gembira dengan al-Quran” terang Faris panjang lebar.

“Subhanallah begitu rupanya. Indahnya hati apabila merasai kemanisan iman” Adriana menambah.

“Abang ada nak share something dengan Riana, sayang sudi dengar?” Faris menyoal.

“Silakan abang, sharing is caring right?” wajah Adriana beriak nakal, sengaja mengusik Faris. Sesekali bergurau apa salahnya kan?

“Abang nak share formula habiskan bacaan al-Quran dalam masa sebulan. Sebelum tu, abang ada soalan kuiz untuk Riana, satu juzuk ada berapa helai muka surat?” Faris angkat kening dua tiga kali. Senyuman nakal dihadiahkan untuk Adriana.

Kuiz?? Owhh Faris pun dah pandai main soalan kuiz eh? Belajar dari siapa agaknya ya? Huhu..

“Ada dua puluh satu muka surat? Betul tak cikgu?” Adriana membalas nakal.

Faris sudah tertawa kecil, pandainya Adriana menghidupkan suasana ceria. Usikan dibalas usikan, salah satu teknik untuk memperbaharui hubungan mungkin. Tetapi usikan janganlah terlalu melampau sampai menghiris perasaan orang lain, betul tak?? Huhu..

“Pandainyaa murid cikgu ni, so kalau kita nak khatamkan al-Quran dalam masa sebulan, kita kena baca al-Quran kira-kira empat muka surat setiap kali solat. Solat ada berapa sehari semalam?” Faris menyoal lagi, dilayannya kerenah Adriana yang seperti anak kecil ketika ini.

“Ada lima cikgu!!” Adriana menjawab bersungguh, persis anak kecil yang masih bersekolah tadika.

“Subhanallah, memang betul-betul pandailah student cikgu ni” Faris mengusik lagi.

Faris menyambung kembali. “So, solat ada lima kali sehari semalam. Kalau kita baca al-Quran setiap kali selepas solat empat muka surat, kita dapat baca lebih kurang dua puluh muka surat sehari. Maknanya kita dapat baca sehari satu juzuk, al-Quran ada tiga puluh juzuk. Sehari satu juzuk, tiga puluh hari tiga puluh juzuk. So, dapatlah kita khatamkan sebulan sekali al-Quran” terang Faris.

“Alhamdulillah, ilmu yang sangat berguna. Pandainya suami Riana” Adriana terus menerus meraikan Faris.

“Abang, Riana ada something yang nak ceritakan dengan abang. Abang nak dengar tak?” Adriana menyoal lembut, matanya memandang wajah suami tercinta.

“Tafaddhol ya zauji (silakan isteriku)” Faris membalas dalam bahasa Arab.

Daripada Aisyah r.a. Rasulullah SAW bersabda: Orang yang mahir membaca Al Quran darjatnya bersamaan dengan malaikat yang mulia. Dan orang yang mmbaca Al Quran sedangkan dia tersekat-sekat iaitu belum mahir) dan terasa berat lidahnya, dia akan mendapat dua pahala” –HR Muslim.

Senyuman Adriana makin meleret, dia tahu Faris sudah mengetahui apa yang bakal disampaikan tadi. Tapi tak salahkan dia selalu memperingatkan suami sendiri?? Hidupkan al-Quran dan Hadis di dalam rumah tangga, barulah barakahnya kian terasa.

“Pandainyaa isteri abang ni, jom baca doa selepas membaca al-Quran” Faris mula mengangkat tangan, bersedia membaca doa.

            “Ya Robbul Izzati, tunjukkanlah kami dengan petunjuk Al Quran, selamatkan kami dari api neraka dengan kemuliaan Al Quran, tinggikan darjat kami dengan dengan kelebihan Al Quran, dan hapuskan dosa kejahatan kami dengan membaca Al Quran" doa Faris tulus memecah keheningan pagi.


Ya Rabb, moga cinta berlabuh di dalam redha-Mu, moga cinta ini menuju cinta-Mu, moga ikatan ini menuju syurga-Mu.. Aamiin Ya Mujib.


Cinta itu indah andai bertemu dan berpisah kerana Ilahi,
Cinta itu indah andai saling nasihat menasihati,
Cinta itu indah andai berpaksikan iman dan takwa di hati,
Cinta itu indah andai redha Ilahi yang dicari,
Cinta itu indah andai sama-sama menuju cinta Ilahi,
Cinta itu indah andai hidup dan  mati hanya untuk mengejar cinta abadi.


Adriana Qistina Nazri.



Thursday 10 January 2013

Aku tak sempurna ~sekadar contengan luahan perasaan~

Aku tak sempurna, aku juga tak mencari yang sempurna kerana aku tahu tiada makhluk yang sempurna. Fitrah manusia itu sendiri tidak sempurna, harus ada lopak-lopak kekurangan. Kesempurnaan adalah milik Dia, Dia yang Maha Sempurna. Siapa Dia? Tentulah si Pencipta, Sang Ilahi. Aku hanya mencari si dia yang sempurna iman dan ilmu, yang sama-sama ingin memperbaiki diri dan melengkapi kekurangan diriku ini.. Bukankah diciptakan pasangan itu untuk saling melengkapi? Melengkapi menuju ke arah cinta Ilahi. Aku mahu si dia yang berusaha  membawa aku berpimpinan tangan menuju ke syurga Ilahi. Tapi cinta manusia itu hanya alat, cinta Allah juga yang menjadi matlamat.